Surah 29: Al-‘Ankabut (38 – 40)

Kisah Kehancuran Kaum-Kaum yang Mendustakan Rasul-Rasul Mereka

Surah 29: Al-‘Ankabut (38 – 40)


Ayat 38

وَعَادًا وَثَمُودَا۟ وَقَد تَّبَيَّنَ لَكُم مِّن مَّسَـٰكِنِهِمْ ۖ وَزَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ أَعْمَـٰلَهُمْ فَصَدَّهُمْ عَنِ ٱلسَّبِيلِ وَكَانُوا۟ مُسْتَبْصِرِينَ

Dan ingatlah (juga) kaum ‘Aad dan Thamud, dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) daripada (bekas-bekas) tempat tinggal mereka. Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan buruk mereka, lalu ia menghalang mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang berpandangan tajam.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah membinasakan kaum ‘Aad iaitu kaum Nabi Hud as yang tinggal di Ahqaf. Dia juga membinasakan kaum Thamud iaitu kaum Nabi Saleh as yang tinggal di kota Hijr. Kota kaum Nabi Saleh as masih boleh dilihat sehingga sekarang. Orang-orang Arab sangat kenal dengan tempat-tempat tinggal mereka ini kerana mereka telah biasa melaluinya dalam perjalanan ketika menjalankan perniagaan mereka.

Mereka dibinasakan kerana kekufuran mereka terhadap Allah Ta’ala dan Rasul-Nya. Syaitan telah menjadikan perbuatan-perbuatan buruk mereka indah pada pandangan mereka, lalu menghalang mereka dari jalan Allah. Padahal mereka adalah orang-orang yang berakal dan mampu untuk menganalisa serta melihat dengan mata hati kesan-kesan kehancuran kaum-kaum terdahulu. Oleh itu, tidak ada alasan bagi mereka untuk tidak beriman kepada-Nya. Namun mereka tidak mahu mengambil manfaat daripada apa yang mereka lihat lalu tenggelam dalam kesesatan.

Ayat 39

وَقَـٰرُونَ وَفِرْعَوْنَ وَهَـٰمَـٰنَ ۖ وَلَقَدْ جَآءَهُم مُّوسَىٰ بِٱلْبَيِّنَـٰتِ فَٱسْتَكْبَرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا كَانُوا۟ سَـٰبِقِينَ

Dan Qarun, Firaun dan Haman. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan (membawa bukti-bukti) keterangan-keterangan yang nyata. Akan tetapi mereka berlaku sombong di (muka) bumi, dan tidaklah mereka orang-orang yang luput (daripada kehancuran itu).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah membinasakan Qarun, Firaun dan Haman dengan sebab kekufuran mereka kepada-Nya dan kepada rasul-Nya.

Sesungguhnya Nabi Musa as telah datang kepada mereka semua dengan membawa ayat-ayat keterangan dan dalil-dalil yang nyata, tetapi mereka menyombongkan diri di muka bumi. Maka mereka dihukum dan sesungguhnya mereka tidak akan dapat melarikan diri daripada azab Allah Ta’ala.

Ayat 40

فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنۢبِهِۦ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ ٱلصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ ٱلْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا ۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَـٰكِن كَانُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Maka mereka semua Kami azab kerana dosa-dosanya, di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil, ada yang ditimpa suara kuat yang menggemparkan, ada yang Kami benamkan terus ke dalam bumi, dan ada pula yang Kami tenggelamkan. Allah tidak sama sekali mahu menzalimi mereka, tetapi mereka yang menzalimi diri mereka sendiri.

Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan orang-orang yang mendapat seksaan itu adalah disebabkan oleh dosa-dosa yang mereka lakukan. Pelbagai bentuk azab ditimpakan kepada mereka, antaranya:

▪️  Angin yang sangat kencang yang disertai dengan batu yang panas terbakar dan diterbalikkan tempat mereka tinggal. Mereka adalah kaum Nabi Lut as.

▪️  Dibinasakan oleh pekikan suara yang sangat dahsyat. Mereka adalah kaum Nabi Saleh as dan kaum Nabi Syua’ib as.

▪️  Dibenamkan ke dalam bumi seperti Qarun.

▪️  Ditenggelamkan dalam lautan. Mereka adalah kaum Nabi Nuh as, Firaun dan bala tenteranya.

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia sama sekali tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri dengan melakukan kekufuran dan kemaksiatan kepada-Nya.

Allah Ta’ala berfirman dalam ayat-ayat yang lain:

“Tidakkah mereka memerhatikan dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa-dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka umat yang lain.”

Al-An’am 6:6

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu.’”

Al-An’am 6:11