Nabi Lut as beriman dengan Nabi Ibrahim as dan Anugerah Allah Swt ke atas Nabi Ibrahim as
Surah 29: Al-‘Ankabut (26 – 27)
Ayat 26
فَـَٔامَنَ لَهُۥ لُوطٌ ۘ وَقَالَ إِنِّى مُهَاجِرٌ إِلَىٰ رَبِّىٓ ۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Maka Lut membenarkan (kenabian Ibrahim) dan dia (Ibrahim) berkata, “Sesungguhnya aku akan berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Rabbku (kepadaku). Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Allah Ta’ala menyatakan Nabi Lut as membenarkan kenabian Nabi Ibrahim as. Menurut sebahagian para mufassir, ayat ini menunjukkan tidak ada yang mengimani dakwah Nabi Ibrahim as yang disampaikan kepada kaumnya kecuali isterinya sendiri, Sarah dan Nabi Lut as.
Seterusnya, Allah Ta’ala menjelaskan tentang penghijrahan Nabi Ibrahim as meninggalkan kaumnya dengan tujuan agar gerak dakwah dan agama semakin berkembang. Qatadah mengatakan Nabi Ibrahim as, Sarah dan Nabi Lut as berhijrah dari daerah di pinggir kota Kufah menuju ke negeri Syam.
Sesungguhnya Allah Swt, Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana dalam pengaturan-Nya, Dia meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.
Ayat 27
وَوَهَبْنَا لَهُۥٓ إِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ وَجَعَلْنَا فِى ذُرِّيَّتِهِ ٱلنُّبُوَّةَ وَٱلْكِتَـٰبَ وَءَاتَيْنَـٰهُ أَجْرَهُۥ فِى ٱلدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
Dan Kami anugerahkan kepada Ibrahim, Ishak dan Yaakub, dan Kami jadikan kenabian dan kitab pada keturunannya, dan Kami berikan kepadanya balasannya di dunia, dan sesungguhnya dia di akhirat, benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.
Setelah Nabi Ibrahim as meninggalkan kaumnya, baginda dianugerahkan zuriat yang baik, kenabian yang terus menerus daripada keturunannya dan juga pujian-pujian.
Firman-firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:
“Maka ketika dia (Ibrahim) sudah menjauhkan diri daripada mereka, dan daripada apa yang mereka sembah selain Allah, Kami anugerahkan kepadanya Ishak dan Yaakub. Dan masing-masing Kami angkat menjadi Nabi.”
Maryam 19:49
“Dan Kami menganugerahkan kepadanya (Ibrahim), Ishak dan Yaakub sebagai suatu anugerah. Dan masing-masing Kami jadikan orang yang soleh.”
Al-Anbiya’ 21:72
Allah Ta’ala menganugerahkan kenabian dan kitab kepada keturunan Nabi Ibrahim as. Ini merupakan kurniaan yang paling besar, kerana selain Dia menjadikan baginda kekasih-Nya, dan menjadikannya sebagai ikutan bagi umat manusia, juga memberikan kepada keturunannya kenabian dan kitab, maka tiada seorang Nabi pun sesudah baginda melainkan berasal daripada keturunannya.
Semua Nabi kaum Bani Israil berasal daripada keturunan Nabi Yaakub bin Ishak bin Ibrahim, sehingga Nabi yang terakhir daripada kalangan mereka adalah Nabi ‘Isa bin Maryam.
Kemudian bangkitlah daripada kalangan para nabi semuanya seorang nabi daripada kalangan orang-orang Arab keturunan kabilah Quraisy daripada keluarga Bani Hasyim iaitu Nabi Muhammad saw. Baginda diutuskan sebagai pembawa berita gembira dan penutup para rasul secara mutlak, juga penghulu seluruh anak Adam, baik di dunia mahupun di akhirat.
Allah Ta’ala telah memilih Nabi Muhammad saw daripada kalangan orang-orang Arab, berasal daripada keturunan Nabi Ismail bin Ibrahim as. Tiada seorang pun yang menjadi Nabi daripada kalangan keturunan Nabi Ismail as selain Nabi Muhammad saw.
Allah Ta’ala menghimpunkan bagi Nabi Ibrahim as dua kebahagiaan iaitu di dunia dan kebahagiaan di akhirat secara berkesinambungan. Di dunia, baginda beroleh rezeki yang luas, kesejahteraan dan rumah yang luas dan menjadi buah mulut yang baik serta semua orang menyukai dan menyenanginya, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Qatadah dan lain-lainnya.
Selain itu, Nabi Ibrahim as adalah orang yang selalu taat kepada seluruh perintah Allah dan melaksanakannya dengan sempurna, sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah dan hanif. Dan sekali-kali bukanlah Dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Allah), (lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah. Allah telah memilihnya dan menunjukinya kepada jalan yang lurus, dan Kami berikan kepadanya kebaikan di dunia dan sesungguhnya Dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang saleh.”
An-Nahl 16:120-122