Surah 29: Al-‘Ankabut (24 – 25)

Nabi Ibrahim as Diselamatkan daripada Api yang Membakarnya

Surah 29: Al-‘Ankabut (24 – 25)


Ayat 24

فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوا۟ ٱقْتُلُوهُ أَوْ حَرِّقُوهُ فَأَنجَىٰهُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلنَّارِ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maka tidak adalah jawapan kaum Ibrahim, selain mengatakan, “Bunuhlah atau bakarlah dia,” lalu Allah menyelamatkannya daripada api. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang beriman.

Dalam ayat yang lepas, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Ibrahim as menunjukkan kepada kaumnya dalil-dalil dan bukti-bukti yang kuat tentang keesaan Allah Ta’ala.

Manakala dalam ayat ini pula, Allah Ta’ala menyatakan oleh sebab kaum Nabi Ibrahim as tidak memiliki jawapan untuk menolak hujjah yang ditegakkan oleh Nabi Ibrahim as, mereka pun menggunakan kekerasan dan kekuasaan untuk menghentikan dakwah baginda sebagaimana firman-Nya dalam surah yang lain:

“Mereka berkata, “Buatlah sebuah tempat (unggun api) untuknya (membakar Ibrahim), lalu dicampakkan dia ke dalam api yang menyala-nyala itu.” Mereka hendak membuat tipu daya dengan (membakar)nya, (namun Allah menyelamatkannya), lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang hina.”

As-Saffat 37:97-98

Daripada ‘Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Ketika Ibrahim dilemparkan ke dalam api, semua binatang berusaha memadamkan api itu kecuali cicak, binatang ini malah berusaha meniupkan api untuknya (agar tidak padam).”

(HR. Muslim)

Maka Allah Ta’ala menyelamatkan Nabi Ibrahim as daripada api yang sedang marak itu sebagaimana dalam firman-Nya dalam surah yang lain:

“Kami (Allah) berfirman, “Wahai api, jadilah kamu dingin dan penyelamat bagi Ibrahim,” dan mereka hendak berbuat jahat terhadap Ibrahim, maka Kami menjadikan mereka itu orang-orang yang paling rugi.”

Al-Anbiya’ 21:69-70

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala mengatakan bahawa sesungguhnya apa yang berlaku dalam kisah Nabi Ibrahim as dan kaumnya ini benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran-Nya bagi orang-orang yang beriman.

Ayat 25

وَقَالَ إِنَّمَا ٱتَّخَذْتُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ أَوْثَـٰنًا مَّوَدَّةَ بَيْنِكُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ ثُمَّ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ يَكْفُرُ بَعْضُكُم بِبَعْضٍ وَيَلْعَنُ بَعْضُكُم بَعْضًا وَمَأْوَىٰكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن نَّـٰصِرِينَ

Dan dia (Ibrahim) berkata, “Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah hanyalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini kemudian pada Hari Kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain), dan tempat kembalimu ialah neraka, dan sekali-kali tidak ada penolong pun bagimu.”

Kemudian Allah Ta’ala menyebutkan jawapan Nabi Ibrahim as setelah terselamat daripada api dalam nada cemuhan dan penghinaan kepada kaumnya terhadap perbuatan mereka yang buruk iaitu menyembah patung berhala.

Nabi Ibrahim as mengatakan bahawa berhala-berhala yang disembah oleh kaumnya selain Allah Ta’ala adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara mereka dalam kehidupan dunia ini, namun pada Hari Kiamat kelak sebahagian mereka mengingkari sebahagian yang lain dan mereka saling melaknat. Maka tempat kembali mereka ialah neraka dan ketika itu sekali-kali tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka daripada azab-Nya.

Allah Ta’ala berfirman dalam surah yang lain:

“Dan mereka menyembah selain Allah, tanpa dasar yang jelas tentang itu, dan mereka tidak mempunyai pengetahuan (pula) tentang itu. Bagi orang-orang yang zalim sekali-kali tidak ada seorang penolong pun.”

Al-Hajj 22:71