Surah 28: Al-Qasas (76 – 82)

Kisah Qarun

Surah 28: Al-Qasas (76 – 82)


Ayat 76

إِنَّ قَـٰرُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ ۖ وَءَاتَيْنَـٰهُ مِنَ ٱلْكُنُوزِ مَآ إِنَّ مَفَاتِحَهُۥ لَتَنُوٓأُ بِٱلْعُصْبَةِ أُو۟لِى ٱلْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُۥ قَوْمُهُۥ لَا تَفْرَحْ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْفَرِحِينَ

Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka dia berlaku zalim terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (ingatlah) Ketika kaumnya berkata kepadanya, “Janganlah kamu terlalu bangga. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri.”

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Qarun itu termasuk kaum Nabi Musa as daripada kalangan Bani Israil. Qarun telah melampaui batas dengan kesombongan dan berlaku zalim terhadap kaumnya sendiri.  

Allah Ta’ala telah memberikan Qarun harta kekayaan yang melimpah sehingga kunci-kunci gudangnya sangat banyak dan berat. Oleh itu terpaksa dipikul oleh sekelompok orang yang berbadan kuat.  

Ketika Qarun memperlihatkan kebanggaan dan kesombongan dengan harta yang dia miliki, maka sekumpulan Bani Israil menasihatinya dengan berkata agar jangan berlaku sombong dan berbangga dengan harta yang dia miliki. Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak menyukai orang-orang yang menyombongkan diri dan angkuh serta tidak bersyukur atas apa yang dianugerahkan-Nya. 

Ibnu ‘Abbas ra menafsirkan firman Allah, “Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa,” bermaksud dia adalah sepupu Nabi Musa as, salah seorang anak kepada bapa saudara Nabi Musa as. 

Ayat 77

وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ

Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuatlah baik (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.

Mereka meneruskan nasihat kepada Qarun supaya menggunakan harta yang melimpah dan nikmat yang banyak daripada kurniaan Allah Ta’ala untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan pelbagai ibadah yang dapat menolongnya di dunia dan akhirat. 

Ayat 78

قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِىٓ ۚ أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِۦ مِنَ ٱلْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا ۚ وَلَا يُسْـَٔلُ عَن ذُنُوبِهِمُ ٱلْمُجْرِمُونَ

Dia (Qarun) berkata, “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku.” Dan tidakkah dia mengetahui, bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka.

Allah Ta’ala menyebutkan reaksi Qarun kepada kaumnya ketika mereka menasihati dan membimbingnya ke jalan yang benar.  Qarun enggan menerima segala nasihat tersebut dan berkata kepada kaumnya dengan sombongnya bahawa dia berhak mendapat harta yang banyak itu kerana ilmu dan kepandaian yang dia miliki sehingga membuatkan dia kaya raya seperti itu. 

Firman-firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain: 

“Maka apabila manusia ditimpa bahaya, dia menyeru Kami. Kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat daripada Kami, dia berkata, “Sesungguhnya aku diberi nikmat ini hanya kerana kepintaranku.” Sebenarnya, itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”  

Az-Zumar 39:49 

“Dan jika Kami berikan kepadanya suatu rahmat daripada Kami setelah ditimpa kesusahan, pastilah dia berkata, ‘Ini adalah hak aku……….’” 

Fussilat 41:50 

Sesungguhnya Qarun telah tertipu dengan harta yang banyak dan ilmu yang ada padanya lalu dia menjadi sombong dan kufur nikmat terhadap Allah Ta’ala. Dia lupa tentang kekuasaan Allah Ta’ala yang telah membinasakan banyak umat yang kafir sebelumnya meskipun mereka lebih kuat, lebih pandai dan lebih banyak harta daripada yang dimiliki Qarun. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala mengatakan ketika di akhirat kelak para pendosa tidak akan ditanya tentang dosa-dosa mereka, tetapi mereka akan menerima janji-janji-Nya yang berupa azab dan pada masa itu sebarang alasan daripada mereka tidak akan diterima. Oleh itu, ayat-ayat berupa pertanyaan kepada orang-orang kafir hanyalah sebagai penghinaan dan ancaman kepada mereka. 

Ayat 79

فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِۦ فِى زِينَتِهِۦ ۖ قَالَ ٱلَّذِينَ يُرِيدُونَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا يَـٰلَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَآ أُوتِىَ قَـٰرُونُ إِنَّهُۥ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ

Maka keluarlah dia (Qarun) kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia, “Semoga kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun. Sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keuntungan yang besar.”

Ayat 80

وَقَالَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ ٱللَّهِ خَيْرٌ لِّمَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا وَلَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلصَّـٰبِرُونَ

Dan berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu, “Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar.”

Allah Ta’ala menceritakan pada satu hari Qarun keluar menemui kaumnya dengan mempamerkan kemegahan dan perhiasan kebesarannya berupa kenderaan, pakaian, para pembantu serta pengiringnya. Ketika menyaksikan kemegahan dan kemewahan Qarun itu, orang-orang yang inginkan keduniaan melihatnya dengan penuh takjub dan berangan-angan serta menzahirkan dengan ucapan bahawa mereka juga inginkan kenikmatan dunia seperti itu.  

Namun ketika ucapan itu didengar oleh orang-orang beragama dan ahli ilmu yang memahami hakikat kehidupan yang sebenarnya, mereka mengatakan alangkah celakanya orang-orang yang menginginkan apa yang diberikan Allah Ta’ala kepada Qarun sedangkan dia adalah orang yang sombong dan ujub terhadap diri sendiri. Ini kerana balasan Allah Ta’ala kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di akhirat lebih baik dan lebih bernilai daripada apa yang didapati oleh Qarun. 

Sesungguhnya hanya orang-orang yang sabar dalam berbuat ketaatan kepada Allah Ta’ala dan mereka juga bersabar dalam meninggalkan maksiat kepada-Nya memahami betapa besarnya ganjaran di sisi Allah Ta’ala. 

Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis sahih: 

“Allah Ta’ala berfirman, ‘Aku persiapkan bagi hamba-hambaKu yang soleh sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata, terdengar oleh telinga, dan terlintas dalam hati.’ Jika kalian suka bacalah, ‘Maka tidak seorang pun mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (pelbagai jenis nikmat) yang menyenangkan hati sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.’” (As-Sajdah: 17) 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Ayat 81

فَخَسَفْنَا بِهِۦ وَبِدَارِهِ ٱلْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُۥ مِن فِئَةٍ يَنصُرُونَهُۥ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُنتَصِرِينَ

Maka Kami benamkanlah dia (Qarun) bersama-sama rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tidaklah dia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya).

Setelah Allah Ta’ala menyebutkan kesombongan Qarun dan sikap berbangga diri dengan kekayaannya serta melakukan kezaliman kepada kaumnya, akhirnya Qarun dibenamkan ke dalam bumi bersekali dengan tempat tinggalnya sebagai balasan terhadap perbuatannya. Perkara ini disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari tentang balasan orang-orang yang menyombongkan diri, Rasulullah saw bersabda: 

“(Pada zaman dahulu), pada saat seorang lelaki (berjalan dengan) menyeret pakaiannya (sampai bawah kaki, menggambarkan orang yang sombong terhadap kekayaannya), saat itu pula dia ditenggelamkan (ke dalam bumi). Dia akan terus bergerak-gerak (menuju dasarnya) hingga tiba Hari Kiamat.” 

(HR. Al-Bukhari) 

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain: 

“Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun, Firaun dan Haman. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan (membawa) keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata. Tetapi mereka berlaku sombong di bumi, dan mereka orang-orang yang tidak luput (daripada azab Allah).” 

Al-‘Ankabut 29:39 

Allah Ta’ala menyatakan bahawa harta dan pengikut Qarun tidak dapat menyelamatkannya daripada azabNya. Qarun juga tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri mahupun orang lain. 

Ayat 82

وَأَصْبَحَ ٱلَّذِينَ تَمَنَّوْا۟ مَكَانَهُۥ بِٱلْأَمْسِ يَقُولُونَ وَيْكَأَنَّ ٱللَّهَ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ ۖ لَوْلَآ أَن مَّنَّ ٱللَّهُ عَلَيْنَا لَخَسَفَ بِنَا ۖ وَيْكَأَنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلْكَـٰفِرُونَ

Dan jadilah orang-orang yang kelmarin mencita-citakan kedudukannya (Qarun) itu, berkata, “Aduhai, benarlah Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hambanya dan menyempitkannya. Kalau Allah tidak melimpahkan kurniaan-Nya atas kita benar-benar Dia telah membenamkan kita (pula). Aduhai benarlah, tidak beruntung orang-orang yang mengingkari (nikmat Allah).”

Orang-orang yang sebelum itu memimpikan agar mendapat kekayaan seperti Qarun telah menyesal dan sedar akan hakikat yang sebenar. Mereka terkejut dengan hukuman yang menimpa Qarun dan barulah mereka mengetahui bahawa keluasan rezeki bukanlah menunjukkan keredhaan Allah Ta’ala sebagaimana sempitnya rezeki bukanlah tanda kemurkaan-Nya. 

Mereka memuji Allah Ta’ala atas kurniaan, rahmat dan pemeliharaan-Nya kepada mereka. Seandainya bukan kerana belas kasihan Allah dilimpahkan kepada mereka kerana berharap sangat untuk menjadi seperti Qarun, tentulah mereka akan menerima azab yang sama. 

Mereka meyakini bahawa tidak ada keuntungan atau kemenangan di sisi Allah Ta’ala bagi orang-orang yang berakhlak sama seperti Qarun yang mengingkari nikmat-Nya.