Cemuhan Allah Swt di Akhirat Kelak kepada Orang yang Mensyirikkan-Nya
Surah 28: Al-Qasas (74 – 75)
Ayat 74
وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ فَيَقُولُ أَيْنَ شُرَكَآءِىَ ٱلَّذِينَ كُنتُمْ تَزْعُمُونَ
Dan (ingatlah) hari ketika Dia (Allah) menyeru mereka, seraya berkata, “Di manakah sekutu-sekutu-Ku yang dahulu kamu katakan?”
Pada Hari Kiamat dan pada saat hisab kelak, Allah Ta’ala menyeru orang-orang musyrik itu dengan seruan yang menghinakan supaya mereka memanggil sembahan-sembahan yang mereka jadikan sekutu-sekutu-Nya semasa di dunia dahulu agar datang membela dan menolong mereka melepaskan diri daripada azab.
Ayat ini juga adalah sebagai satu peringatan bahawa tidak ada yang lebih menimbulkan kemurkaan Allah Ta’ala selain mensyirikkan-Nya sebagaimana tiada suatu yang lebih membawa keredhaan-Nya selain mentauhidkan-Nya.
Ayat 75
وَنَزَعْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيدًا فَقُلْنَا هَاتُوا۟ بُرْهَـٰنَكُمْ فَعَلِمُوٓا۟ أَنَّ ٱلْحَقَّ لِلَّهِ وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ
Dan Kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi, lalu Kami berkata “Tunjukkanlah bukti kebenaranmu,” maka tahulah mereka bahawasanya yang hak (benar) itu milik Allah dan lenyaplah daripada mereka apa yang dahulunya mereka ada-adakan.
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan kelak Dia akan membawa seorang saksi iaitu Nabi daripada tiap-tiap umat masing-masing yang mendustakan-Nya. Nabi ini akan bersaksi atas apa yang terjadi di dunia daripada perbuatan syirik mereka dan pendustaan yang mereka lakukan terhadap Rasul-rasul mereka.
Seterusnya, Allah Ta’ala meminta kepada orang-orang yang mendustakan Rasul-rasul dan risalah yang mereka bawa dari sisi-Nya agar menunjukkan bukti-bukti kebenaran pengakuan mereka bahawa Dia mempunyai sekutu.
Ketika itu barulah mereka menyedari bahawa sesungguhnya bukti yang kuat milik Allah Ta’ala telah menyanggahi mereka.
Sesungguhnya kebenaran itu kepunyaan Allah Ta’ala dan lenyaplah apa yang mereka ada-adakan atas nama sembahan mereka. Semuanya tidak bermanfaat bagi mereka bahkan mencelakakan mereka kerana sembahan mereka itu menjerumuskan mereka ke dalam Neraka Jahannam.