Ancaman Allah Ta’ala untuk Membinasakan Negeri Orang Kafir
Surah 28: Al-Qasas (58 – 59)
Ayat 58
وَكَمْ أَهْلَكْنَا مِن قَرْيَةٍۭ بَطِرَتْ مَعِيشَتَهَا ۖ فَتِلْكَ مَسَـٰكِنُهُمْ لَمْ تُسْكَن مِّنۢ بَعْدِهِمْ إِلَّا قَلِيلًا ۖ وَكُنَّا نَحْنُ ٱلْوَٰرِثِينَ
Dan berapa banyaknya (penduduk) negeri yang telah Kami binasakan, yang sudah bersenang-senang dalam kehidupan mereka. Maka itulah tempat kediaman mereka yang tidak didiami (lagi) sesudah mereka, kecuali sebahagian kecil. Dan Kami adalah Pewaris(nya).
Allah Ta’ala mengingatkan dan mengancam penduduk Mekah bahawa sudah banyak negeri yang dibinasakan kerana penduduknya berlaku sombong dan kufur kepada nikmat-Nya. Setelah mereka hancur, tempat itu menjadi kosong tidak berpenghuni. Akhirnya ia berbalik kepada pemiliknya yang hakiki iaitu Allah.
Ayat 59
وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ حَتَّىٰ يَبْعَثَ فِىٓ أُمِّهَا رَسُولًا يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِنَا ۚ وَمَا كُنَّا مُهْلِكِى ٱلْقُرَىٰٓ إِلَّا وَأَهْلُهَا ظَـٰلِمُونَ
Dan tidaklah Rabbmu membinasakan negeri-negeri, sebelum Dia mengutus di ibu kota itu seorang Rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka, dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan negeri-negeri, kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman.
Selanjutnya Allah Ta’ala menyatakan keadilan-Nya bahawa Dia tidak akan membinasakan seorang pun dengan zalim. Dia hanya akan membinasakan mereka setelah tertegaknya hujjah atas mereka.
Allah Ta’ala juga berfirman dalam ayat yang lain:
“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezeki melimpah ruah datang kepadanya dari seluruh tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah, kerana itu Allah menimpakan kepada mereka bencana kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang mereka lakukan. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka seorang Rasul daripada (kalangan) mereka sendiri, tetapi mereka mendustakannya, oleh itu mereka ditimpakan azab dan mereka adalah orang-orang yang zalim.”
An-Nahl 16:112-113