Surah 28: Al-Qasas (56 -57)

Hanya Allah Ta’ala Sahaja yang Dapat Memberi Hidayah kepada Hamba-Nya untuk Beriman

Surah 28: Al-Qasas (56 -57)


Ayat 56

إِنَّكَ لَا تَهْدِى مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ

Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.

Dijelaskan dalam hadis sahih, Al-Bukhari dan Muslim, ayat ini turun berkaitan dengan Abu Talib, bapa saudara Rasulullah saw. Dialah yang telah menjaga, menolongnya dan menjadi orang yang berada di barisan hadapan ketika membela baginda serta amat menyayanginya tetapi rasa sayang itu hanya lahir daripada jiwa kemanusiaan bukan bersifat syar’i. Ketika Abu Talib dalam sakaratul maut dan ajalnya hampir tiba, Rasulullah saw mengajaknya untuk beriman iaitu masuk ke dalam agama Islam. Namun takdir telah menentukan lain dan berlaku atas dirinya, bahawa dia tetap berada dalam kekufuran namun Allah Ta’ala memiliki hikmah yang amat sempurna.

Az-Zuhri berkata, Sa’id bin Al-Musayyab bercerita kepadanya, daripada ayahnya, iaitu Al-Musayyab bin Hazn Al-Makhzumi, dia berkata, “Ketika wafat menghampiri Abu Talib, Rasulullah saw mendatanginya, waktu itu di sisinya terdapat Abu Jahal bin Hisyam dan ‘Abdullah bin Abi Umayyah bin Al-Mughirah. Lalu Rasulullah saw bersabda:

“Wahai bapa saudaraku, ucapkanlah, لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله  satu kalimat yang aku jadikan dalil untukmu di sisi Allah nanti.”

Maka Abu Jahal dan ‘Abdullah bin Umayyah berkata, ‘Wahai Abu Talib, apakah engkau hendak membenci agama ‘Abdul Muttalib?’ Maka tidak henti-henti Rasulullah saw mengucapkan kalimah itu ke telinga Abu Talib serta mengulang-ngulangnya dan kedua-dua orang itupun mengulang perkataan mereka hingga pada akhir ucapan Abu Talib ialah dia menyatakan keputusannya untuk memegang teguh ajaran ‘Abdul Muttalib dan menolak untuk mengucapkan ‘Laa ilaaha illallaah.’ Maka Rasulullah saw bersabda:

“Demi Allah, sesungguhnya aku akan memintakan keampunan untukmu jika aku tidak dilarang oleh Allah untuk melakukannya.”

Lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat,

“Tidak sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman meminta ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya).”

At-Taubah 9:113

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw tidak dapat membukakan hati seseorang untuk masuk Islam walaupun orang yang baginda cintai. Tugas baginda hanyalah menyampaikan dan mengajak kepada agama yang lurus sedangkan Allah sahaja yang dapat memberikan hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau sangat menginginkannya.”

Yusuf 12:103

“Bukanlah kewajipanmu (Muhammad) menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki…………….”

Al-Baqarah 2:272

Ayat 57

وَقَالُوٓا۟ إِن نَّتَّبِعِ ٱلْهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَآ ۚ أَوَلَمْ نُمَكِّن لَّهُمْ حَرَمًا ءَامِنًا يُجْبَىٰٓ إِلَيْهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَىْءٍۢ رِّزْقًا مِّن لَّدُنَّا وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Dan mereka berkata, “Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami akan diusir dari negeri kami.” Dan apakah Kami tidak meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah haram (tanah suci) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala jenis (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagimu) dari sisi Kami? Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Allah Ta’ala mengatakan alasan yang dikemukakan oleh orang-orang musyrik dalam hal mereka tidak mahu beriman kepada Rasulullah saw adalah alasan yang lemah.

Mereka mendakwa jika mereka mengikuti ajaran baginda, mereka akan menyelisihi amalan penduduk di Tanah Arab dan akan menyakiti mereka yang masih musyrik. Keadaan ini akan menyebabkan mereka dimusuhi, lalu mereka akan diusir dari kampung halaman mereka.

Allah Ta’ala menyangkal alasan batil mereka kerana Dia telah menjadikan tanah haram sebuah negeri yang aman dan diagungkan. Mereka hidup dengan tenteram dari dahulu lagi ketika dalam kejahilan dan apatah lagi setelah datangnya agama yang benar.

Antara keistimewaan Al-Haram Mekah adalah pelbagai jenis buah-buahan dan pelbagai barang dagangan didatangkan dari pelbagai negara sebagai anugerah Allah Ta’ala, namun sebahagian besar mereka jahil dan tidak memikirkan semua kenikmatan tersebut adalah daripada Allah Ta’ala, satu-satunya Tuhan yang berhak disembah.