Surah 28: Al-Qasas (48 – 50)

Orang Musyrikin Mekah Menyakiti Hati Nabi Muhammad saw

Surah 28: Al-Qasas (48 – 50)


Ayat 48

فَلَمَّا جَآءَهُمُ ٱلْحَقُّ مِنْ عِندِنَا قَالُوا۟ لَوْلَآ أُوتِىَ مِثْلَ مَآ أُوتِىَ مُوسَىٰٓ ۚ أَوَلَمْ يَكْفُرُوا۟ بِمَآ أُوتِىَ مُوسَىٰ مِن قَبْلُ ۖ قَالُوا۟ سِحْرَانِ تَظَـٰهَرَا وَقَالُوٓا۟ إِنَّا بِكُلٍّۢ كَـٰفِرُونَ

Maka tatkala datang kepada mereka kebenaran (Al-Quran) dari sisi Kami, mereka berkata, “Mengapakah tidak diberikan kepadanya (Muhammad) seperti yang telah diberikan kepada Musa dahulu?” Dan bukankah mereka itu telah ingkar (juga) kepada apa yang telah diberikan kepada Musa dahulu? Mereka dahulu telah berkata, “(Musa dan Harun) adalah dua ahli sihir yang saling membantu.” Dan mereka (juga) berkata, “Sesungguhnya Kami sama sekali tidak mempercayai mereka itu.”

Allah Ta’ala menyatakan ketika datang kebenaran dari sisi-Nya iaitu Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah saw, penduduk Mekah yang belum pernah didatangi Rasul sebelumnya berkata mengapa baginda tidak diberikan mukjizat-mukjizat sebagaimana yang diberikan kepada Nabi Musa as berupa tongkat, tangan, naungan awan dan mukjizat-mukjizat yang lain lagi. Ini merupakan kedegilan, penentangan dan kesombongan mereka sehingga mereka terus menerus berada dalam kekufuran dan kebodohan.

Allah Ta’ala menceritakan sikap kaum yang apabila ditimpakan azab, mereka beralasan belum datang kepada mereka Rasul yang membawa kebenaran. Namun apabila diutuskan Rasul kepada mereka, mereka menentangnya dan berpaling dari kebenaran sebagaimana kaum Nabi Musa as dan Nabi Harun as mendustakan risalah yang dibawa oleh baginda berdua. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Mereka berkata, ‘Apakah kamu datang kepada kami untuk memalingkan kami daripada apa yang kami dapati nenek moyang kami mengerjakannya, dan supaya kamu berdua mempunyai kekuasaan di muka bumi? Kami tidak akan mempercayai kamu berdua.’”

Yunus 10:78

Ayat 49

قُلْ فَأْتُوا۟ بِكِتَـٰبٍ مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ هُوَ أَهْدَىٰ مِنْهُمَآ أَتَّبِعْهُ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Katakanlah (Muhammad), “Datangkanlah olehmu sebuah kitab dari sisi Allah yang kitab itu lebih (dapat) memberi petunjuk daripada kedua-duanya (Taurat dan Al-Quran) nescaya aku mengikutinya, jika kamu sungguh orang-orang yang benar.”

Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Muhammad saw menjawab pertuduhan mereka dengan mencabar mereka mendatangkan kitab yang lebih baik daripada Taurat dan Al-Quran yang dapat memberi petunjuk kepada manusia jika mereka di pihak yang benar.

Allah Ta’ala menyatakan kelebihan kitab Taurat dan Al-Quran yang merupakan petunjuk kepada kebenaran dan rahmat kepada manusia dalam firman-firman-Nya:

“Kemudian Kami telah berikan kepada Musa kitab (Taurat) untuk menyempurnakan (nikmat Kami) kepada orang yang melakukan kebaikan, untuk menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat, agar mereka beriman akan adanya pertemuan dengan Rabbnya.”

Al-An’am 6:154

“Mereka (kaum jin) berkata, ‘Wahai kaum kami, sesungguhnya, kami telah mendengar kitab (Al-Quran) yang diturunkan selepas Musa, membenarkan (kitab-kitab) yang datang sebelumnya, membimbing kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus. Wahai kaum kami, terimalah (seruan) orang (Muhammad) yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, nescaya Dia akan mengampuni dosa-dosamu, dan melepaskan kamu daripada azab yang pedih.’”

Al-Ahqaf 46:30-31

Ayat 50

فَإِن لَّمْ يَسْتَجِيبُوا۟ لَكَ فَٱعْلَمْ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهْوَآءَهُمْ ۚ وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ ٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ بِغَيْرِ هُدًى مِّنَ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maka jika mereka tidak menjawab (cabaranmu), ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka hanyalah semata-mata mengikuti hawa nafsu mereka. Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk daripada Allah sedikitpun?   Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Kemudian Allah Ta’ala mengatakan sekiranya kaum kafir musyrik tidak dapat menyahut cabaran Rasulullah saw, sesungguhnya mereka berada dalam kebatilan dan hanya mengikut hawa nafsu tanpa berdasarkan dalil atau hujjah yang benar.