Surah 28: Al-Qasas (33 – 37)

Nabi Musa as Bertemu dengan Firaun

Surah 28: Al-Qasas (33 – 37)


Ayat 33

قَالَ رَبِّ إِنِّى قَتَلْتُ مِنْهُمْ نَفْسًا فَأَخَافُ أَن يَقْتُلُونِ

Dia (Musa) berkata, “Wahai Rabbku, sesungguhnya aku telah membunuh seorang daripada golongan mereka, maka aku takut mereka akan membunuhku.

Ketika Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as pergi menemui Firaun, baginda teringat bahawa baginda meninggalkan Mesir kerana ingin menghindarkan diri daripada ancaman dan rasa takut kepada kekejaman Firaun.

Lalu Nabi Musa as mengadu kepada Allah Ta’ala bahawa baginda pernah membunuh rakyat Firaun dan baginda takut sekiranya Firaun melihatnya pasti dia akan dibunuh.

Ayat 34

وَأَخِى هَـٰرُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّى لِسَانًا فَأَرْسِلْهُ مَعِىَ رِدْءًا يُصَدِّقُنِىٓ ۖ إِنِّىٓ أَخَافُ أَن يُكَذِّبُونِ

Dan saudaraku Harun dia, lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah Dia bersama-samaku sebagai pembantuku untuk membenarkan (perkataan)ku. Sesungguhnya aku takut mereka akan mendustakanku.”

Selain menyatakan rasa takutnya kepada Firaun, Nabi Musa as juga menyatakan bahawa baginda tidak fasih atau kurang lancar untuk berbicara apabila menghadapi Firaun kelak. Oleh itu, baginda memohon kepada Allah Ta’ala agar mengutuskan Nabi Harun as yang lebih lancar berbicara pergi bersama dengannya.

Ayat 35

قَالَ سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخِيكَ وَنَجْعَلُ لَكُمَا سُلْطَـٰنًا فَلَا يَصِلُونَ إِلَيْكُمَا ۚ بِـَٔايَـٰتِنَآ أَنتُمَا وَمَنِ ٱتَّبَعَكُمَا ٱلْغَـٰلِبُونَ

Dia (Allah) berfirman, “Kami akan membantumu dengan saudaramu, dan Kami berikan kepada kamu berdua kekuasaan yang besar, maka mereka tidak dapat mencapaimu, (berangkatlah kamu berdua) dengan membawa mukjizat Kami, kamu berdua dan orang yang mengikuti kamulah yang akan menang.”

Allah Ta’ala memperkenankan permohonan Nabi Musa as untuk menjadikan Nabi Harun as sebagai pembantunya untuk menghadapi Firaun dan para pembesarnya.

Allah Ta’ala akan memberikan kekuasaan kepada mereka berdua iaitu hujjah yang kuat yang menyebabkan kemenangan berpihak kepada mereka terhadap musuh dan mereka tidak akan disakiti.

Firman Allah dalam ayat yang lain:

“Dan (ingatlah) ketika Rabbmu menyeru Musa (dengan firman-Nya), ‘Datangilah kaum yang zalim itu (iaitu) kaum Firaun. Mengapa mereka tidak bertakwa?’ Dia (Musa) berkata, ‘Wahai Rabbku, sesungguhnya aku takut mereka akan mendustakanku, sehingga dadaku terasa sempit dan lidahku tidak lancar, maka utuslah Harun (bersamaku). Sebab aku berdosa kepada mereka, maka aku takut mereka akan membunuhku.’” (Allah) berfirman, “Jangan takut (mereka tidak akan dapat membunuhmu), maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mukjizat-mukjizat). Sesungguhnya Kami bersamamu mendengar (apa yang mereka katakan), maka datanglah kamu berdua kepada Firaun dan katakan, ‘Sesungguhnya kami adalah Rasul-rasul (kepada) Rabb seluruh alam.’”

Asy-Syua’ara’ 26:10-16

Ayat 36

فَلَمَّا جَآءَهُم مُّوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَا بَيِّنَـٰتٍ قَالُوا۟ مَا هَـٰذَآ إِلَّا سِحْرٌ مُّفْتَرًى وَمَا سَمِعْنَا بِهَـٰذَا فِىٓ ءَابَآئِنَا ٱلْأَوَّلِينَ

Maka tatkala Musa datang kepada mereka dengan (membawa) mukjizat-mukjizat Kami yang nyata, mereka berkata, “Ini tidak lain hanyalah sihir yang dibuat-buat dan kami belum pernah mendengar (seruan yang seperti) ini pada nenek moyang kami dahulu.”

Allah Ta’ala menceritakan tentang kedatangan Nabi Musa as dan saudaranya Nabi Harun as ke tempat Firaun dan para pembesar istana. Mereka kemudiannya menunjukkan dua mukjizat yang agung dan tanda-tanda kerasulan untuk membuktikan kebenaran ajaran Allah yang mereka sampaikan.

Ketika Firaun dan para pembesar istana menyaksikan mukjizat-mukjizat yang agung itu, mereka menyakini bahawa peristiwa besar itu adalah bersumber dari Allah. Namun sikap mereka yang angkuh, kufur dan zalim itulah menghalang mereka untuk mengikuti jalan yang benar. Lalu mereka menentang serta mendustakan Nabi Musa as dan mengatakan semua itu hanyalah sihir yang diada-adakan.

Mereka juga mengatakan bahawa mereka tidak pernah mendengar ajaran seperti yang dibawa oleh baginda berdua daripada nenek moyang mereka. Mereka menyandarkan diri pada taklid buta kepada nenek moyang mereka yang tiada hujjah atau dalil atas hal itu.

Ayat 37

وَقَالَ مُوسَىٰ رَبِّىٓ أَعْلَمُ بِمَن جَآءَ بِٱلْهُدَىٰ مِنْ عِندِهِۦ وَمَن تَكُونُ لَهُۥ عَـٰقِبَةُ ٱلدَّارِ ۖ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Musa menjawab, “Rabbku lebih mengetahui siapa yang (layak) membawa petunjuk dari sisi-Nya dan siapa yang akan mendapat kesudahan (yang baik) di negeri akhirat. Sesungguhnya tidaklah akan mendapat kemenangan orang-orang yang zalim.”

Lalu Nabi Musa as mengatakan bahawa Allah Ta’ala lebih mengetahui orang yang membawa kebenaran dari sisi-Nya dan orang yang berhak mendapatkan kesudahan yang baik di dunia iaitu kemenangan terhadap musuh-musuh-Nya dan di akhirat pula beroleh syurga.

Sesungguhnya orang-orang yang menganiaya diri mereka sendiri dengan memilih kekufuran dan kesyirikan sama sekali tidak akan memperoleh sesuatu kebaikan pun di sisi Allah Ta’ala sama ada di dunia mahupun di akhirat.