Surah 28: Al-Qasas (3 – 6)

Kekejaman Firaun dan Janji-janji Allah Swt kepada Bani Israil

Surah 28: Al-Qasas (3 – 6)


Ayat 3

نَتْلُوا۟ عَلَيْكَ مِن نَّبَإِ مُوسَىٰ وَفِرْعَوْنَ بِٱلْحَقِّ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Kami membacakan kepadamu sebahagian daripada kisah Musa dan Firaun dengan benar untuk orang-orang yang beriman.

Ayat ini bermaksud bahawa Allah Ta’ala menceritakan kepada Rasulullah saw tentang peristiwa-peristiwa yang telah terjadi, seakan-akan baginda menyaksikan secara langsung dalam rangkaian peristiwa-peristiwa tersebut supaya kaumnya membenarkan apa yang diturunkan kepadanya.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Kami menceritakan kepadamu (Muhammad) kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Quran ini kepadamu, dan sesungguhnya engkau sebelum itu termasuk orang-orang yang tidak mengetahui.”

Yusuf 12:3

Ayat 4

إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِى ٱلْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَآئِفَةً مِّنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَآءَهُمْ وَيَسْتَحْىِۦ نِسَآءَهُمْ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلْمُفْسِدِينَ

Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenangnya di bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dia menindas segolongan daripada mereka (Bani Israil), dia menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia (Firaun) termasuk orang-orang yang membuat kerosakan.

Dalam surah ini, Allah Ta’ala menyebutkan sebahagian daripada kisah-kisah Nabi Musa as dan Firaun sebagai pelajaran, nasihat dan dalil atas kebenaran Rasulullah saw bahawa baginda adalah seorang Rasul serta Al-Quran yang diturunkan kepada baginda bukanlah ciptaan manusia.

Firaun, seorang raja Mesir melakukan sewenang-wenangnya dan sombong di negerinya. Dia seorang raja yang zalim, melampaui batas dan menindas rakyatnya.

Pada ketika (zaman) itu, Bani Israil adalah bangsa yang terbaik yang menjadi pilihan Allah Ta’ala. Namun mereka dijajah oleh seorang raja yang sangat kejam dan zalim yang menindas mereka melakukan pekerjaan yang hina siang dan malam untuk melayani raja dan rakyatnya. Di samping itu, Firaun membunuh anak-anak lelaki mereka kerana takut akan munculnya seorang lelaki daripada Bani Israil yang boleh menggugat takhta kerajaannya.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dan (ingatlah) ketika Kami menyelamatkan kamu daripada (Firaun dan) pengikut-pengikut Firaun. Mereka menimpakan seksaan yang amat berat kepadamu. Mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu. Dan pada yang demikian itu merupakan ujian yang besar daripada Rabbmu.”

Al-Baqarah 2:49

Ayat 5

وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى ٱلَّذِينَ ٱسْتُضْعِفُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ ٱلْوَٰرِثِينَ

Dan Kami hendak memberi kurniaan kepada orang-orang yang ditindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi).

Namun tindakan Firaun tidak dapat mencegah takdir Allah Ta’ala. Oleh itu dalam ayat ini, Dia menyatakan janji-Nya kepada kaum Bani Israil yang ditindas bahawa Dia akan:

▪️   Memberikan anugerah dan kenikmatan kepada mereka dengan cara membebaskan mereka daripada cengkaman Firaun serta menyelamatkan mereka daripada kezalimannya.

▪️  Menjadikan mereka pemimpin, penguasa dan pemegang pemerintahan yang maju sama ada dalam urusan agama mahupun dalam hal keduniaan.

▪️  Mewarisi kerajaan Firaun, tanah dan apa sahaja yang dia kuasainya ketika dia memerintah.

Ayat 6

وَنُمَكِّنَ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَنُرِىَ فِرْعَوْنَ وَهَـٰمَـٰنَ وَجُنُودَهُمَا مِنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَحْذَرُونَ

Dan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan Kami perlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama bala tenteranya apa yang selalu mereka takutkan daripada mereka.

▪️   Allah Ta’ala memberikan Bani Israil kekuatan dan kekuasaan yang akhirnya berdirilah sebuah kerajaan yang besar dan kuat di negeri Syam. Kemudian mereka mempunyai kekuasaan yang besar di Mesir, sedangkan dahulunya mereka amat lemah sehingga dijadikan hamba. Ini merupakan pembalasan yang adil kepada orang-orang yang tertindas dan hukuman kepada orang-orang yang zalim.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dan Kami wariskan kepada kaum yang telah tertindas itu, negeri-negeri di bahagian timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami berkati. Dan telah sempurnalah kalimah Rabbmu yang baik itu (sebagai janji) untuk Bani Israil disebabkan kesabaran mereka. Dan Kami hancurkan apa yang telah dilakukan Firaun dan kaumnya dan apa yang telah dibangunkan oleh mereka.”

Al-A’raf 7:137

▪️   Allah Ta’ala memperlihatkan kekuasaan-Nya kepada Firaun dan Haman serta bala tentera mereka yang selama ini bermegah dan berbangga dengan kekuatan, kekuasaan dan kebesaran mereka. Apa yang mereka bangga-banggakan itu semuanya binasa di tangan Bani Israil. Inilah yang selama ini mereka takuti sehingga Firaun memerintahkan agar setiap bayi lelaki daripada kalangan Bani Israil yang lahir dibunuh.

Allah Ta’ala telah menjadikan keputusan-Nya itu suatu kenyataan apabila Dia menjadikan kehancuran Firaun dan kaumnya oleh anak yang lahir daripada kaum Bani Israil yang dididik serta dibesarkan oleh Firaun iaitu Nabi Musa as. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Kemudian Kami keluarkan (Firaun dan kaumnya) dari taman-taman dan mata air, dan daripada harta kekayaan dan kedudukan yang mulia (kerajaan, kebesaran dan sebagainya), demikianlah halnya, dan Kami anugerahkan semuanya (itu) kepada Bani Israil.”

Asy-Syu’ara’ 26:57-59