Surah 28: Al-Qasas (14 – 28)

Nabi Musa as Meninggalkan Mesir dan Menetap di Madyan

Surah 28: Al-Qasas (14 – 28)


Ayat 14

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُۥ وَٱسْتَوَىٰٓ ءَاتَيْنَـٰهُ حُكْمًا وَعِلْمًا ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ

Dan setelah dia (Musa) dewasa dan sempurna akalnya, Kami anugerahkan kepadanya hikmah (kenabian) dan pengetahuan. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Setelah menceritakan tentang masa kecil Nabi Musa as dalam beberapa ayat sebelum ini, dalam ayat-ayat berikutnya pula Allah Ta’ala menjelaskan kisah baginda ketika dewasa dan kemudian dianugerahkan kepadanya hikmah dan ilmu.

Ayat 15

وَدَخَلَ ٱلْمَدِينَةَ عَلَىٰ حِينِ غَفْلَةٍ مِّنْ أَهْلِهَا فَوَجَدَ فِيهَا رَجُلَيْنِ يَقْتَتِلَانِ هَـٰذَا مِن شِيعَتِهِۦ وَهَـٰذَا مِنْ عَدُوِّهِۦ ۖ فَٱسْتَغَـٰثَهُ ٱلَّذِى مِن شِيعَتِهِۦ عَلَى ٱلَّذِى مِنْ عَدُوِّهِۦ فَوَكَزَهُۥ مُوسَىٰ فَقَضَىٰ عَلَيْهِ ۖ قَالَ هَـٰذَا مِنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۖ إِنَّهُۥ عَدُوٌّ مُّضِلٌّ مُّبِينٌ

Dan dia (Musa) masuk ke kota ketika penduduknya sedang leka, maka didapatinya di dalam kota itu dua orang lelaki yang sedang bergaduh, seorang daripada golongannya (Bani Israil) dan seorang (lagi) daripada musuhnya (kaum Firaun). Maka orang yang daripada golongannya meminta pertolongan kepadanya, untuk mengalahkan orang yang daripada musuhnya lalu Musa menumbuknya, dan matilah musuhnya itu. Dia (Musa) berkata, “Ini adalah perbuatan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang menyesatkan lagi nyata (permusuhannya).”

Ketika Nabi Musa as memasuki kota Mesir pada waktu pertengahan hari yang ketika itu suasananya lengang, baginda mendapati ada dua orang lelaki terlibat dalam pertengkaran yang sengit. Salah seorang daripada keturunan Bani Israil iaitu bangsanya sendiri dan seorang lagi daripada musuhnya, bangsa Qibti Mesir iaitu rakyat Firaun.

Lelaki Bani Israil itu meminta pertolongan dan bantuan daripada Nabi Musa as bagi menghadapi musuhnya. Apabila melihat keadaan tersebut dan lelaki Bani Israil itu dalam keadaan yang sangat memerlukan pertolongannya, baginda pun memukul lelaki Qibti itu. Kekuatan pukulan baginda telah menyebabkan kematian lelaki Qibti tersebut.

Melihatkan apa yang berlaku, Nabi Musa as menyesali perbuatannya dan mengatakan bahawa perbuatan itu adalah daripada bisikan syaitan kerana telah membuatnya bertindak secara berlebihan.

Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi manusia, menyesatkan dan membuatkan manusia jatuh dalam kesalahan dan kesesatan. Ini amat jelas permusuhan dan penyesatannya terhadap manusia.

Ayat 16

قَالَ رَبِّ إِنِّى ظَلَمْتُ نَفْسِى فَٱغْفِرْ لِى فَغَفَرَ لَهُۥٓ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Dia (Musa) berdoa, “Wahai Rabbku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, oleh itu ampunilah aku.” Maka Dia (Allah) mengampuninya. Sesungguhnya Allah Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ayat 17

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًا لِّلْمُجْرِمِينَ

Dia (Musa) berkata, “Wahai Rabbku, demi nikmat yang telah Engkau anugerahkan kepadaku, maka aku sekali-kali tidak akan menjadi penolong bagi orang-orang yang berdosa.”

Nabi Musa as bertaubat daripada perbuatannya sambil berdoa seperti dalam ayat-ayat di atas. Lalu Allah Ta’ala memaafkan baginda dan menerima taubatnya. Sesungguhnya Dia Maha Pengasih dan Penerima taubat kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat dan kembali kepada-Nya.

Oleh sebab Nabi Musa as dikurniakan nikmat berupa kedudukan yang tinggi dan kemuliaan, baginda tidak akan menjadi penolong kepada orang-orang menentang perintah Allah Ta’ala yang terdiri daripada Firaun dan bala tenteranya.

Ayat 18

فَأَصْبَحَ فِى ٱلْمَدِينَةِ خَآئِفًا يَتَرَقَّبُ فَإِذَا ٱلَّذِى ٱسْتَنصَرَهُۥ بِٱلْأَمْسِ يَسْتَصْرِخُهُۥ ۚ قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰٓ إِنَّكَ لَغَوِىٌّ مُّبِينٌ

Oleh itu, jadilah dia (Musa) di kota itu berasa takut menunggu-nunggu dengan bimbang (akibat perbuatannya), maka tiba-tiba orang yang meminta pertolongan kelmarin berteriak meminta pertolongan (sekali lagi) kepadanya. Musa berkata kepadanya, “Sesungguhnya kamu benar-benar orang yang nyata sesat.”

Selepas berlaku pembunuhan tanpa sengaja oleh Nabi Musa as, baginda berasa amat takut untuk tinggal di kota itu lagi. Baginda sentiasa berwaspada dan menunggu sekiranya berlaku sesuatu berkaitan dengan pembunuhan itu.

Dalam keadaan bimbang itu, Nabi Musa as bertemu dengan lelaki Bani Israil yang ditolongnya kelmarin dan kali ini dia bergaduh dengan lelaki Qibti yang lain.

Lelaki Bani Israil itu meminta pertolongan Nabi Musa as untuk mengalahkan lelaki Qibti tersebut. Lalu baginda mengatakan bahawa lelaki Bani Israil itu benar-benar dalam kesesatan kerana kelmarin dia telah bergaduh dengan lelaki Qibti lain dan hari ini bergaduh dengan lelaki Qibti yang lain pula.

Ayat 19

فَلَمَّآ أَنْ أَرَادَ أَن يَبْطِشَ بِٱلَّذِى هُوَ عَدُوٌّ لَّهُمَا قَالَ يَـٰمُوسَىٰٓ أَتُرِيدُ أَن تَقْتُلَنِى كَمَا قَتَلْتَ نَفْسًۢا بِٱلْأَمْسِ ۖ إِن تُرِيدُ إِلَّآ أَن تَكُونَ جَبَّارًا فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا تُرِيدُ أَن تَكُونَ مِنَ ٱلْمُصْلِحِينَ

Maka tatkala dia (Musa) hendak memukul dengan keras orang yang menjadi musuh bagi mereka berdua, berkatalah lelaki (Bani Israil) itu, “Wahai Musa, apakah kamu bermaksud hendak membunuhku, sebagaimana kamu kelmarin telah membunuh seorang manusia? Kamu tidak bermaksud melainkan hendak menjadi orang yang berbuat sewenang-wenang di negeri (ini), dan tidaklah kamu hendak menjadi salah seorang daripada orang-orang yang mengadakan perdamaian.”

Kemudian Nabi Musa as mendekati lelaki Bani Israil dan lelaki Qibti yang sedang bertengkar. Baginda ingin menolong lelaki Bani Israil tersebut namun disebabkan lelaki Bani Israil telah tersalahfaham terhadap kata-kata Nabi Musa as kepadanya, dia menyangka baginda juga akan memukulnya. Lalu lelaki Bani Israil pun menyebut tentang pembunuhan sebelum ini.

Pembunuhan lelaki Qibti sebelum ini pada mulanya tidak ada yang mengetahuinya selain lelaki Bani Israil dan Nabi Musa as sendiri, namun telah diketahui oleh musuh mereka iaitu lelaki Mesir ini. Maka tersebarlah berita Nabi Musa as membunuh lelaki Qibti kelmarin sehingga berita itu sampai ke istana Firaun. Hal ini menimbulkan kemarahan Firaun lalu Firaun mengerahkan tentera-tenteranya mencari dan menangkap untuk dibunuhnya Nabi Musa as.

Ayat 20

وَجَآءَ رَجُلٌ مِّنْ أَقْصَا ٱلْمَدِينَةِ يَسْعَىٰ قَالَ يَـٰمُوسَىٰٓ إِنَّ ٱلْمَلَأَ يَأْتَمِرُونَ بِكَ لِيَقْتُلُوكَ فَٱخْرُجْ إِنِّى لَكَ مِنَ ٱلنَّـٰصِحِينَ

Dan datanglah seorang lelaki bergegas dari hujung kota seraya berkata, “Wahai Musa, sesungguhnya pembesar negeri sedang bermesyuarat tentang kamu untuk membunuhmu, oleh itu keluarlah (dari kota ini), sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu.”

Seorang lelaki mukmin dari hujung kota merupakan ahli keluarga Firaun yang menyembunyikan keimanannya, bergegas datang kepada Nabi Musa as dan memberitahunya tentang rancangan jahat yang telah diatur oleh Firaun dan orang-orangnya untuk membunuh baginda.

Lelaki itu menasihati Nabi Musa as agar keluar dari kota tersebut kerana bimbang tentang keselamatan baginda dan mengatakan bahawa beliau boleh dipercayai.

Ayat 21

فَخَرَجَ مِنْهَا خَآئِفًا يَتَرَقَّبُ ۖ قَالَ رَبِّ نَجِّنِى مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maka keluarlah (Musa) dari kota itu dengan rasa takut menunggu-nunggu dengan rasa bimbang, dia berdoa, “Wahai Rabbku, selamatkanlah aku daripada orang-orang yang zalim.”

Nabi Musa as mengikut nasihat lelaki tersebut lalu keluar dari kota Mesir dalam keadaan takut, menoleh ke sana ke sini untuk mengawasi sekiranya ada intipan daripada pihak musuh sambil berdoa kepada Allah Ta’ala agar menyelamatkannya daripada orang-orang yang zalim iaitu Firaun dan tenteranya.

Ayat 22

وَلَمَّا تَوَجَّهَ تِلْقَآءَ مَدْيَنَ قَالَ عَسَىٰ رَبِّىٓ أَن يَهْدِيَنِى سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ

Dan ketika dia (Musa) menuju ke arah negeri Madyan, dia berdoa (lagi), “Mudah-mudahan Rabbku memimpinku ke jalan yang benar.”

Allah Ta’ala menyatakan ketika Nabi Musa as berjalan menuju ke negeri Madyan dan keluar dari daerah kekuasaan Firaun, baginda berdoa semoga Allah Ta’ala memimpinnya dengan sebaik-baik petunjuk menuju negeri Madyan.

Ayat 23

وَلَمَّا وَرَدَ مَآءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِّنَ ٱلنَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِن دُونِهِمُ ٱمْرَأَتَيْنِ تَذُودَانِ ۖ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا ۖ قَالَتَا لَا نَسْقِى حَتَّىٰ يُصْدِرَ ٱلرِّعَآءُ ۖ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ

Dan tatkala dia (Musa) sampai ke tempat sumber air di negeri Madyan dia mendapati di sana sekumpulan orang yang sedang memberi minum (binatang-binatang ternakan mereka), dan di sebelah belakang orang ramai itu didapatinya dua orang wanita yang sedang menghambat (ternakan mereka). Dia (Musa) berkata, “Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?” Kedua-dua wanita itu menjawab, “Kami tidak dapat memberi minum (ternakan kami), sebelum penggembala-penggembala itu menghalau pulang (ternakan mereka), sedangkan bapa kami adalah seorang yang telah lanjut umurnya.”

Ketika Nabi Musa as sampai di kawasan yang terdapat sumber air di negeri Madyan, baginda menyaksikan sekumpulan penggembala sedang memberi minuman kepada binatang ternakan mereka.

Kemudian baginda terlihat di belakang kumpulan penggembala-penggembala itu dua orang wanita terpisah daripada kumpulan tersebut dan menghalang binatang ternakan mereka daripada menghampiri tempat minuman bersama para penggembala yang lain, supaya tidak mengganggu dan bercampur dengan binatang ternakan yang lain.

Apabila Nabi Musa as melihat keadaan itu, baginda menghampiri kedua-dua wanita tersebut sambil bertanya kenapa mereka berdua tidak ikut bersama-sama penggembala-penggembala lain memberi minum kepada ternakan mereka.

Lalu kedua-dua wanita itu menceritakan keadaan yang sebenar iaitu mereka akan menunggu sehingga semua penggembala lelaki selesai memberi minum kepada ternakan mereka dan pulang meninggalkan sumber air tersebut. Kemudian barulah mereka berdua memberikan minuman kepada binatang ternakan mereka. Ini kerana keadaan ayah mereka yang sudah tua dan uzur untuk memberi minum binatang ternakan mereka.

Lagipun mereka berdua adalah wanita yang masing-masing lemah fizikal, juga sifat malu yang ada pada diri mereka untuk bersaing dan berada dalam kumpulan orang-orang lelaki menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk menunggu.

Ayat 24

فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰٓ إِلَى ٱلظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلْتَ إِلَىَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Maka dia (Musa) memberi minum ternakan itu untuk (menolong) kedua-dua wanita itu, kemudian Dia kembali ke tempat yang teduh lalu berdoa, “Wahai Rabbku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”

Apabila Nabi Musa as mengetahui kedudukan yang sebenar, baginda berasa kasihan terhadap kedua-dua wanita itu. Lalu baginda menolong mereka berdua dengan memberi minum kepada binatang ternakan mereka.

Setelah itu baginda kembali menuju ke sebatang pokok untuk berteduh dan berehat di bawahnya sambil berdoa dengan doa di atas. Ini menunjukkan bahawa hati baginda sentiasa bergantung kepada Allah Ta’ala dan sentiasa memohon pertolongan kepada-Nya agar dipermudahkan segala urusannya.

Ayat 25

فَجَآءَتْهُ إِحْدَىٰهُمَا تَمْشِى عَلَى ٱسْتِحْيَآءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِى يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا ۚ فَلَمَّا جَآءَهُۥ وَقَصَّ عَلَيْهِ ٱلْقَصَصَ قَالَ لَا تَخَفْ ۖ نَجَوْتَ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang daripada kedua-dua wanita itu berjalan dengan malu-malu, dia berkata, “Sesungguhnya bapaku memanggil kamu agar dia dapat memberikan balasan terhadap (kebaikan)mu memberi minum (ternakan) kami.” Maka tatkala Musa mendatangi bapanya (Syu’aib) dan menceritakan kepadanya cerita (tentang dirinya), dia (Syu’aib) berkata, “Janganlah kamu takut. Kamu telah selamat daripada orang-orang yang zalim itu.”

Setelah selesai urusan memberi minum kepada kambing-kambing mereka, kedua-dua wanita tersebut pulang ke rumah lebih awal daripada kebiasaan sebelum ini. Ini menjadikan bapa mereka berasa hairan. Mereka berdua pun menceritakan apa yang telah dilakukan oleh Nabi Musa as. Lantas bapa mereka menyuruh salah seorang anak gadisnya itu pergi mengundang baginda agar datang ke rumahnya untuk diberi upah sebagai balasan atas bantuannya memberi minum ternakan mereka.

Lalu salah seorang daripada anak gadis Nabi Syu’aib as telah pergi menemui Nabi Musa as dalam keadaan malu dan penuh beradab menyampaikan apa yang telah diucapkan oleh bapanya.

Ketika Nabi Musa as datang menemui bapa mereka iaitu Nabi Syu’aib as, Nabi Musa as menceritakan segala perkara tentang dirinya sehingga dia meninggalkan Mesir. Mendengarkan hal itu, Nabi Syu’aib as menyatakan baginda tidak perlu lagi berasa takut kerana baginda telah selamat daripada kaum yang zalim kerana sudah berada jauh dari daerah kekuasaan Firaun.

Para ulama berbeza pendapat mengenai siapakah bapa kepada kedua-dua wanita ini. Majoriti ulama atau yang masyhur menurut ulama bahawa bapa kedua-dua wanita tersebut adalah Nabi Syu’aib as.

Ayat 26

قَالَتْ إِحْدَىٰهُمَا يَـٰٓأَبَتِ ٱسْتَـْٔجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ ٱسْتَـْٔجَرْتَ ٱلْقَوِىُّ ٱلْأَمِينُ

Salah seorang daripada dua (wanita) itu berkata, “Wahai bapaku, ambillah dia sebagai orang yang bekerja (untuk kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (dengan kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai.”

Salah seorang anak gadis Nabi Syu’aib as mencadangkan kepada bapanya agar mengambil Nabi Musa as bekerja dengan mereka sebagai penggembala ternakan untuk mereka. Ini kerana dia melihat Nabi Musa as seorang yang kuat untuk menjaga ternakan mereka dan boleh dipercayai. Dengan itu bapanya tidak perlu lagi khuwatir baginda akan berkhianat kepadanya.

Ayat 27

قَالَ إِنِّىٓ أُرِيدُ أَنْ أُنكِحَكَ إِحْدَى ٱبْنَتَىَّ هَـٰتَيْنِ عَلَىٰٓ أَن تَأْجُرَنِى ثَمَـٰنِىَ حِجَجٍ ۖ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِندِكَ ۖ وَمَآ أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ ۚ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Berkatalah dia (Syu’aib), “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang daripada dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) daripada kamu. Maka aku tidak hendak memberatkan kamu. Dan kamu insya Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik.”

Nabi Syu’aib as menyatakan hasratnya untuk menikahkan Nabi Musa as dengan salah seorang anak gadisnya yang telah dilihat dan dikenali oleh Nabi Musa as ketika berada di tempat sumber air.

Nabi Syu’aib as menyatakan bahawa pernikahan itu adalah dengan syarat Nabi Musa as bekerja dengannya selama lapan tahun. Nabi Syu’aib as menyatakan lagi, jika Nabi Musa as menyempurnakan yang lapan tahun itu menjadi sepuluh tahun secara sukarela maka itu adalah suatu kebaikan daripada Nabi Musa as, bukan satu kewajipan yang mengikat.

Meskipun demikian Nabi Syu’aib as menyatakan itu hanyalah cadangan baginda sahaja, baginda tidak bermaksud untuk memberatkan Nabi Musa as dan baginda akan selalu berusaha menjadi orang yang menepati janji dan Nabi Musa as akan mendapati baginda termasuk orang yang baik.

Ayat 28

قَالَ ذَٰلِكَ بَيْنِى وَبَيْنَكَ ۖ أَيَّمَا ٱلْأَجَلَيْنِ قَضَيْتُ فَلَا عُدْوَٰنَ عَلَىَّ ۖ وَٱللَّهُ عَلَىٰ مَا نَقُولُ وَكِيلٌ

Dia (Musa) berkata, “Itulah (perjanjian) antara aku dan kamu. Mana sahaja daripada kedua-dua waktu yang ditentukan itu yang aku sempurnakan, maka tidak ada tuntutan tambahan atas diriku (lagi) dan Allah adalah saksi atas apa yang kita ucapkan.”

Setelah mempertimbangkan segala syarat-syarat yang dikemukakan oleh bakal bapa mertuanya, Nabi Musa as menerima cadangan tersebut, dan baginda menyatakan bahawa permasalahan ini terpulang kepada apa yang telah dikatakan oleh bakal bapa mertuanya itu.

Baginda akan bekerja selama lapan tahun secara sempurna dan pilihan waktu yang seterusnya itu baginda belum dapat memastikannya lagi. Setelah disempurnakan segala syarat berkenaan, maka tidak ada tuntutan tambahan atas dirinya lagi dan Allah menjadi saksi atas apa yang mereka berdua ucapkan.