Surah 27: An-Naml (91 – 93)

Perintah agar Menyembah Allah Swt dan Mengikuti Ajaran Al-Quran

Surah 27: An-Naml (91 – 93)


Ayat 91

إِنَّمَآ أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ رَبَّ هَـٰذِهِ ٱلْبَلْدَةِ ٱلَّذِى حَرَّمَهَا وَلَهُۥ كُلُّ شَىْءٍ ۖ وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Aku (Muhammad) hanya diperintahkan untuk menyembah Rabb negeri ini (Mekah) yang telah menjadikannya suci dan kepunyaan-Nya-lah segala sesuatu, dan aku diperintahkan agar aku termasuk orang-orang yang berserah diri.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengatakan bahawa baginda hanya diperintahkan untuk menyembah Rabb negeri Mekah dan juga merupakan Rabb sekalian alam iaitu Rabb Yang Maha Esa.

Allah Ta’ala telah mensucikan negeri itu dengan menjadikannya aman daripada pertumpahan darah, tidak ada seorang pun dizalimi, tidak ada seekor haiwan pun diburu dan tidak ada pohon yang ditebang.

Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw agar termasuk orang-orang yang mengesakan-Nya, ikhlas, tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan-Nya.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:

“Katakanlah (Muhammad), ‘Wahai manusia, jika kamu masih dalam keraguan tentang agamaku maka (ketahuilah) aku tidak menyembah yang kamu sembah selain Allah, tetapi aku menyembah Allah yang akan mematikan kamu dan aku diperintahkan agar termasuk orang yang beriman.’”

Yunus 10:104

“Maka hendaklah mereka menyembah Rabb (pemilik) rumah ini (Kaabah), yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada ketakutan.”

Quraisy 106:3-4

Ayat 92

وَأَنْ أَتْلُوَا۟ ٱلْقُرْءَانَ ۖ فَمَنِ ٱهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِى لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن ضَلَّ فَقُلْ إِنَّمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُنذِرِينَ

Dan agar aku membacakan Al-Quran (kepada manusia). Maka sesiapa yang mendapat petunjuk maka sesungguhnya dia hanyalah mendapat petunjuk untuk (kebaikan) dirinya, dan sesiapa yang sesat maka katakanlah, “Sesungguhnya aku (ini) tidak lain hanyalah salah seorang pemberi peringatan.”

Allah Ta’ala juga memerintahkan Rasulullah saw membacakan Al-Quran kepada sekalian manusia. Maka sesiapa yang berusaha mendapatkan hidayah melalui kandungannya dan mengikuti risalah yang baginda bawa, sesungguhnya kebaikan dan balasan baik adalah untuk dirinya.

Namun sesiapa yang tersesat daripada kebenaran, maka dia akan mendapat balasan daripada kesesatan itu. Sesungguhnya Rasulullah saw hanyalah berkewajipan menyampaikan dakwah dan memberi peringatan.

Ayat 93

وَقُلِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ سَيُرِيكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ فَتَعْرِفُونَهَا ۚ وَمَا رَبُّكَ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan Katakanlah (Muhammad), “Segala puji bagi Allah, Dia akan memperlihatkan kepadamu tanda-tanda (kebesaran)-Nya, maka kamu akan mengetahuinya. Dan Rabbmu tiada lalai daripada apa yang kamu lakukan.”

Segala puji hanyalah milik Allah yang tidak menyeksa seseorang kecuali setelah disampaikan hujjah dan dalil-dalil yang kukuh kepadanya. Sesungguhnya Allah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu.

Allah Ta’ala berfirman:

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kebesaran) Kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar. Tidak cukupkah (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Rabbmu menjadi saksi atas segala sesuatu?”

Fussilat 41:53