Surah 27: An-Naml (82)

Binatang yang Boleh Berkata-Kata akan Keluar apabila Hampir Kiamat

Surah 27: An-Naml (82)


Ayat 82

وَإِذَا وَقَعَ ٱلْقَوْلُ عَلَيْهِمْ أَخْرَجْنَا لَهُمْ دَآبَّةً مِّنَ ٱلْأَرْضِ تُكَلِّمُهُمْ أَنَّ ٱلنَّاسَ كَانُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا لَا يُوقِنُونَ

Dan apabila perkataan (ketentuan masa kehancuran alam) telah berlaku atas mereka, Kami keluarkan sejenis binatang melata (bergerak yang bernyawa) dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka, bahawa sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami.

Allah Ta’ala menyebutkan tentang binatang melata dari dalam bumi akan muncul pada akhir zaman iaitu ketika kebanyakan manusia telah rosak kerana meninggalkan perintah-Nya dan agama yang benar. Ini dijelaskan daripada beberapa hadis sahih, antaranya:

Daripada Huzaifah bin Usaid Al-Ghiffari, dia berkata Rasulullah saw bersabda:

“Tidak akan terjadi Kiamat sehingga kalian melihat sepuluh tanda:

(1) matahari terbit dari arah barat, (2) keluar asap, (3) binatang melata……….”

(HR. Ahmad)

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr, dia mendengar Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya tanda-tanda Kiamat yang pertama muncul ialah terbitnya matahari dari sebelah barat, dan keluarnya binatang melata ketika waktu dhuha………”

(HR. Muslim)

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Segeralah beramal sebelum datang yang enam perkara: (1) Terbitnya matahari dari barat, (2) sebelum keluarnya kepulan asap, (3) sebelum datang Dajjal, (4) sebelum keluar binatang melata, (5) sebelum kematian menimpa kalian, (6) sebelum Hari Kiamat yang menimpa seluruh manusia (sehingga tidak berkesempatan lagi untuk berbuat baik).”

(HR. Muslim)