Surah 27: An-Naml (45 – 53)

Kisah Nabi Saleh as dan Kaum Thamud

Surah 27: An-Naml (45 – 53)


Ayat 45

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَآ إِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَـٰلِحًا أَنِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ فَإِذَا هُمْ فَرِيقَانِ يَخْتَصِمُونَ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus kepada (kaum) Thamud saudara mereka iaitu Saleh (yang menyeru), “Sembahlah Allah.” Tetapi tiba-tiba mereka (menjadi) dua golongan yang bermusuhan.

Allah Ta’ala menceritakan tentang kesesatan kaum Thamud. Apabila Nabi Saleh as diutuskan kepada mereka dan menyeru agar menyembah-Nya, mereka berpecah menjadi dua golongan. Mujahid berkata, “iaitu golongan mukmin dan golongan kafir.” Ini sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Pembesar-pembesar yang menyombongkan diri berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah, iaitu orang-orang yang telah beriman di antara kaumnya, ‘Tahukah kamu bahawa Saleh adalah seorang Rasul daripada Rabbnya?’ Mereka menjawab, ‘Sesungguhnya kami percaya kepada apa yang disampaikannya.’ Orang-orang yang menyombongkan diri berkata, ‘Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu percayai.’”

Al-A’raf 7:75-76

Ayat 46

قَالَ يَـٰقَوْمِ لِمَ تَسْتَعْجِلُونَ بِٱلسَّيِّئَةِ قَبْلَ ٱلْحَسَنَةِ ۖ لَوْلَا تَسْتَغْفِرُونَ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Dia (Saleh) berkata, “Wahai kaumku! Mengapa kamu meminta disegerakan keburukan sebelum (kamu meminta) kebaikan? Mengapa kamu tidak memohon keampunan kepada Allah, agar kamu mendapat rahmat.”

Nabi Saleh as mempersoalkan mengapa kaumnya meminta azab sedangkan Allah Ta’ala menjadikan mereka mampu mendapatkan rahmat dan pahala-Nya dengan beriman dengan-Nya serta mentaati risalah yang dibawa oleh baginda.

Kemudian Nabi Saleh as menasihati kaumnya agar memohon keampunan daripada Allah agar mereka mendapat rahmat-Nya.

Ayat 47

قَالُوا۟ ٱطَّيَّرْنَا بِكَ وَبِمَن مَّعَكَ ۚ قَالَ طَـٰٓئِرُكُمْ عِندَ ٱللَّهِ ۖ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تُفْتَنُونَ

Mereka menjawab, “Kami mendapat nasib yang malang disebabkan oleh kamu dan orang-orang yang bersamamu.” Dia (Saleh) berkata, “Nasibmu ada pada Allah, (bukan kami yang menjadi sebab), tetapi kamu adalah kaum yang sedang diuji.”

Kemudian kaum Nabi Saleh as menjawab kata-kata baginda dengan mengatakan bahawa mereka ditimpa malapetaka adalah disebabkan baginda dan orang-orang yang beriman dengannya. Ini kerana baginda menyeru agar meninggalkan tuhan-tuhan mereka dan hanya menyembah Allah Ta’ala Yang Maha Esa.

Mereka percaya mereka akan terus ditimpa bencana kerana kemarahan tuhan-tuhan mereka akibat perbuatan Nabi Saleh as.

Nabi Saleh as kemudian menjawab dengan mengatakan bahawa bencana yang menimpa mereka itu adalah daripada Allah Ta’ala. Baginda mengatakan lagi bahawa kesenangan atau kecelakaan, kebaikan atau keburukan yang mereka rasai itu adalah takdir-Nya dan tertulis di sisi-Nya. Sesungguhnya Dia memberikan balasan atas perbuatan mereka. Baginda dan pengikutnya bukanlah menjadi penyebab mereka ditimpa musibah dan sesungguhnya mereka sedang diuji oleh Allah Ta’ala dengan kesenangan, kesusahan, kebaikan dan keburukan.

Allah Ta’ala menyatakan sikap dan tuduhan orang-orang kafir terhadap para Rasul dalam firman-firman-Nya yang lain:

“Kemudian apabila kebaikan (kemakmuran) datang kepada mereka, mereka berkata, ‘Ini adalah kerana (usaha) kami.’ Dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka lemparkan akibat malang itu kepada Musa dan pengikutnya. Ketahuilah, sesungguhnya nasib mereka di tangan Allah, namun kebanyakan daripada mereka tidak mengetahui.”

Al-A’raf 7:131

“……….Dan jika mereka mendapat kebaikan, mereka mengatakan, ‘Ini dari sisi Allah,’ dan jika mereka ditimpa suatu keburukan, mereka mengatakan, ‘Ini daripada engkau (Muhammad).’ Katakanlah, ‘Semuanya (datang) daripada Allah’…….”

An-Nisa’ 4:78

“Mereka menjawab, ‘Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu. Sungguh, jika kamu tidak berhenti (menyeru kami), nescaya kami rejam kamu dan kamu pasti akan merasakan seksaan yang pedih daripada kami.’ Mereka (utusan-utusan) itu berkata, ‘Kemalangan kamu itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah kerana kamu diberi peringatan? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.’”

Yasin 36:18-19

Ayat 48

وَكَانَ فِى ٱلْمَدِينَةِ تِسْعَةُ رَهْطٍ يُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا يُصْلِحُونَ

Dan di kota itu ada sembilan orang lelaki yang berbuat kerosakan di bumi, mereka tidak melakukan kebaikan.

Ayat ini menerangkan sebab-sebab berlakunya kebinasaan Kota Thamud. Ini kerana terdapat sembilan orang yang membuat kerosakan yang berlebih-lebihan dan tidak ada sedikit pun tanda-tanda kebaikan pada diri mereka. Merekalah yang membawa kaumnya kepada kesesatan, kekafiran dan keingkaran kepada Nabi Saleh as.

Mereka jugalah yang merancang untuk membunuh unta dan Nabi Saleh as serta pengikut-pengikutnya yang beriman.

Menurut mufassir, yang dimaksudkan dengan kota ini ialah kota kaum Thamud, iaitu kota Al-Hijr.

Ayat 49

قَالُوا۟ تَقَاسَمُوا۟ بِٱللَّهِ لَنُبَيِّتَنَّهُۥ وَأَهْلَهُۥ ثُمَّ لَنَقُولَنَّ لِوَلِيِّهِۦ مَا شَهِدْنَا مَهْلِكَ أَهْلِهِۦ وَإِنَّا لَصَـٰدِقُونَ

Mereka berkata, “Bersumpahlah kamu dengan (nama) Allah, bahawa kita pasti akan menyerang dia (Saleh) bersama dengan keluarganya pada malam hari, kemudian kita akan mengatakan kepada ahli warisnya (bahawa) kita tidak menyaksikan kebinasaan keluarganya itu, dan sesungguhnya, kita adalah orang-orang yang benar.”

Selepas mereka membunuh unta betina tersebut, mereka membuat perancangan pula untuk membunuh Nabi Saleh as.

Ada di antara mereka yang mengajak bersumpah dengan bersungguh-sungguh untuk membunuh Nabi Saleh as pada waktu malam dan membunuhnya bersama dengan keluarganya yang beriman. Kemudian mereka akan memberitahu ahli waris baginda bahawa mereka tidak menyaksikan pembunuhan tersebut dan mereka juga tidak mengetahui tentangnya serta bersumpah bahawa mereka adalah orang-orang yang jujur atas ucapan mereka.

Ayat 50

وَمَكَرُوا۟ مَكْرًا وَمَكَرْنَا مَكْرًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Dan mereka membuat tipu daya dengan bersungguh-sungguh, namun Kami juga menyusun tipu daya, sedang mereka tidak menyedari.

Walaupun mereka merancang kejahatan tersebut dengan begitu licik, Allah Ta’ala menolong Nabi Saleh as dan orang-orang beriman. Dia menggagalkan perancangan mereka sehingga mereka tidak mampu melaksanakannya. Hukuman kepada mereka disegerakan-Nya dalam keadaan mereka tidak mengetahui kedatangannya.

Ayat 51

فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ مَكْرِهِمْ أَنَّا دَمَّرْنَـٰهُمْ وَقَوْمَهُمْ أَجْمَعِينَ

Maka perhatikanlah bagaimana akibat daripada tipu daya mereka, sesungguhnya Kami membinasakan mereka dan kaum mereka semuanya.

Allah Ta’ala memerintahkan manusia memerhatikan dan merenungkan kesudahan kaum yang merancang tipu daya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka kesemuanya akhirnya telah dibinasakan-Nya.

Ayat 52

فَتِلْكَ بُيُوتُهُمْ خَاوِيَةًۢ بِمَا ظَلَمُوٓا۟ ۗ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً لِّقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maka itulah rumah-rumah mereka runtuh kerana kezaliman mereka. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mengetahui.

Ayat 53

وَأَنجَيْنَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَكَانُوا۟ يَتَّقُونَ

Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman dan mereka itu selalu bertakwa.

Allah Ta’ala menyatakan rumah-rumah mereka runtuh akibat turunnya azab kepada mereka. Ini adalah disebabkan oleh kezaliman mereka sendiri yang mendustakan Rasul-Nya dan sombong serta angkuh terhadap kebenaran.

Sementara itu, Allah Ta’ala menyelamatkan Nabi Saleh as dan orang-orang yang beriman. Keimanan dan ketakwaan akan memberikan keuntungan kepada pelakunya baik di dunia mahupun di akhirat, kerana itulah kehendak Allah kepada manusia.

Sesungguhnya kisah ini terdapat pelajaran dan nasihat bagi orang-orang yang tetap dalam kekafiran dan keangkuhan terhadap kebenaran risalah Allah Swt.