Surah 27: An-Naml (20 – 44)

Kisah Nabi Sulaiman as, Burung Hud-hud dan Ratu Balqis

Surah 27: An-Naml (20 – 44)


Ayat 20

وَتَفَقَّدَ ٱلطَّيْرَ فَقَالَ مَا لِىَ لَآ أَرَى ٱلْهُدْهُدَ أَمْ كَانَ مِنَ ٱلْغَآئِبِينَ

Dan Dia memeriksa burung-burung lalu berkata, “Mengapa aku tidak melihat Hud-Hud (sejenis burung), apakah ia termasuk yang tidak hadir.

Ayat 21

لَأُعَذِّبَنَّهُۥ عَذَابًا شَدِيدًا أَوْ لَأَا۟ذْبَحَنَّهُۥٓ أَوْ لَيَأْتِيَنِّى بِسُلْطَـٰنٍ مُّبِينٍ

Sungguh aku benar-benar akan mengazabnya dengan azab yang keras atau benar-benar menyembelihnya kecuali jika benar-benar dia datang kepadaku dengan alasan yang terang.”

Ayat 22

فَمَكَثَ غَيْرَ بَعِيدٍ فَقَالَ أَحَطتُ بِمَا لَمْ تُحِطْ بِهِۦ وَجِئْتُكَ مِن سَبَإٍۭ بِنَبَإٍ يَقِينٍ

Maka tidak lama kemudian (datanglah Hud-Hud), lalu ia berkata, “Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya, dan aku bawa kepadamu dari negeri Saba’ suatu berita penting yang meyakinkan.

Ayat-ayat ini mengisahkan burung Hud-Hud yang hilang dari rombongan Nabi Sulaiman as. Hud-Hud adalah ahli penunjuk jalan untuk mencari air bagi Nabi Sulaiman as, sekiranya baginda singgah di negeri atau kawasan yang kering tanahnya. Akhirnya Hud-Hud datang semula dengan membawa berita yang dapat menyelamatkan dirinya daripada dihukum oleh Nabi Sulaiman as.

Saba’ adalah nama kerajaan pada zaman dahulu, ibu kotanya ialah Ma’rib yang terletak dekat dengan kota San’a, ibu kota Yaman sekarang.

Ayat 23

إِنِّى وَجَدتُّ ٱمْرَأَةً تَمْلِكُهُمْ وَأُوتِيَتْ مِن كُلِّ شَىْءٍ وَلَهَا عَرْشٌ عَظِيمٌ

Sesungguhnya aku dapati ada seorang perempuan yang memerintah mereka, dan dia dianugerahkan dengan segala sesuatu serta memiliki singgahsana yang besar.

Burung Hud-Hud menghadap Nabi Sulaiman as dan menyampaikan berita tentang negeri Saba’ yang diperintah oleh seorang perempuan iaitu Ratu Balqis. Dia memiliki singgahsana yang sangat besar dan dialah yang mengatur kerajaannya. Kerajaan ini juga dianugerahkan Allah Ta’ala dengan pelbagai kemewahan kehidupan dunia.

Kerajaan Saba’ ini juga menguasai negeri Yaman pada zaman Nabi Sulaiman as.

Ayat 24

وَجَدتُّهَا وَقَوْمَهَا يَسْجُدُونَ لِلشَّمْسِ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَزَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ أَعْمَـٰلَهُمْ فَصَدَّهُمْ عَنِ ٱلسَّبِيلِ فَهُمْ لَا يَهْتَدُونَ

Aku (Hud-Hud) dapati dia dan kaumnya menyembah matahari selain Allah, dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan (buruk) mereka, lalu menghalang mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak mendapat petunjuk.

Ayat 25

أَلَّا يَسْجُدُوا۟ لِلَّهِ ٱلَّذِى يُخْرِجُ ٱلْخَبْءَ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَيَعْلَمُ مَا تُخْفُونَ وَمَا تُعْلِنُونَ

Agar mereka tidak menyembah Allah yang mengeluarkan apa yang terpendam di langit dan di bumi dan yang mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan.

Burung Hud-Hud memberitahu Nabi Sulaiman as bahawa penduduk negeri Saba’ ini tidak mendapat petunjuk kepada agama yang benar sehingga mereka tidak menyembah Allah yang Esa. Sebaliknya menyembah makhluk ciptaan-Nya iaitu dengan bersujud kepada matahari.

Syaitan telah menjadikan segala perbuatan mensyirikkan Allah itu, indah pada pandangan mereka menyebabkan mereka tidak dapat memikirkan dan menilai bahawa Dia-lah yang telah menciptakan segala sesuatu yang tersembunyi di langit dan bumi seperti hujan, tanaman dan sebagainya.

Allah Ta’ala menyatakan dalam firman-Nya yang lain:

“Dan sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah bersujud kepada matahari dan jangan (pula) kepada bulan, tetapi bersujudlah kepada Allah yang menciptakannya, jika kamu hanya menyembah kepada-Nya.”

Fussilat 41:37

Sesungguhnya Allah Ta’ala mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nampakkan sebagaimana firman-Nya:

“Sama sahaja (bagi Allah), siapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi pada malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) pada siang hari.”

Ar-Ra’d 13:10

Ayat 26

ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ ٱلْعَرْشِ ٱلْعَظِيمِ ۩‏

Allah, tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi dengan benar) melainkan Dia, Rabb yang mempunyai ‘Arasy yang agung.”

Allah, Dia-lah Zat Yang berhak diibadahi, tiada selain-Nya dan kepada-Nya-lah selayaknya segala doa dipohonkan. Dia, Rabb yang mempunyai ‘Arasy yang agung yang tidak ada satu pun makhluk yang melebihi keagungan-Nya.

Ayat 27

قَالَ سَنَنظُرُ أَصَدَقْتَ أَمْ كُنتَ مِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ

Dia (Sulaiman) berkata, “Akan kami lihat, sama ada kamu (Hud-Hud) benar, atau termasuk orang-orang yang berdusta.

Ayat 28

ٱذْهَب بِّكِتَـٰبِى هَـٰذَا فَأَلْقِهْ إِلَيْهِمْ ثُمَّ تَوَلَّ عَنْهُمْ فَٱنظُرْ مَاذَا يَرْجِعُونَ

Pergilah dengan (membawa) suratku ini, lalu jatuhkanlah kepada mereka, kemudian berpalinglah daripada mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan.”

Selepas mendengar berita daripada burung hud-hud tentang Ratu Balqis dan rakyatnya yang menyembah matahari, Nabi Sulaiman as ingin memastikan kebenaran berita tersebut lalu baginda pun memerintahkan Burung Hud-Hud menghantar surat kepada Ratu Balqis.

Ayat 29

قَالَتْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمَلَؤُا۟ إِنِّىٓ أُلْقِىَ إِلَىَّ كِتَـٰبٌ كَرِيمٌ

Dia (Balqis) berkata, “Wahai para pembesar, sesungguhnya telah sampai kepadaku satu surat yang mulia.”

Ayat 30

إِنَّهُۥ مِن سُلَيْمَـٰنَ وَإِنَّهُۥ بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Sesungguhnya (surat) itu daripada SuIaiman yang isinya, “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Ayat 31

أَلَّا تَعْلُوا۟ عَلَىَّ وَأْتُونِى مُسْلِمِينَ

Janganlah engkau berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri.”

Setelah surat itu sampai kepada Ratu Balqis, dia memberitahu pembesar-pembesar dan penasihat-penasihatnya bahawa dia telah menerima sepucuk surat daripada seseorang yang bernama Sulaiman yang isinya merangkumi tiga perkara iaitu:

▪️  Surat itu dimulakan dengan بسم الله الرحمن الرحيم bermaksud “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.”

▪️  Larangan berlaku sombong dan bersikap angkuh terhadap apa yang baginda serukan kepada mereka.

▪️  Perintah agar Ratu Balqis dan kaumnya datang kepada baginda dalam keadaan tunduk dan menyerah diri kepada Allah Ta’ala yang Asma-Nya telah dijadikan pembuka kata dalam surat tersebut.

Ayat 32

قَالَتْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمَلَؤُا۟ أَفْتُونِى فِىٓ أَمْرِى مَا كُنتُ قَاطِعَةً أَمْرًا حَتَّىٰ تَشْهَدُونِ

Dia (Balqis) berkata, “Wahai para pembesar, berilah aku pertimbangan dalam perkaraku (ini). Aku tidak pernah memutuskan suatu perkara sebelum kamu hadir dalam majlis(ku).”

Lalu Ratu Balqis meminta pendapat daripada pembesar-pembesar dan penasihat-penasihatnya tentang surat yang dikirimkan kepadanya daripada Nabi Sulaiman as. Ratu Balqis mengatakan dia meminta pendapat tersebut kerana dia tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sehingga mereka semua berada dalam majlisnya.

Ayat 33

قَالُوا۟ نَحْنُ أُو۟لُوا۟ قُوَّةٍ وَأُو۟لُوا۟ بَأْسٍۢ شَدِيدٍ وَٱلْأَمْرُ إِلَيْكِ فَٱنظُرِى مَاذَا تَأْمُرِينَ

Mereka menjawab, “Kita memiliki kekuatan dan (juga) keberanian yang luar biasa (dalam peperangan), tetapi keputusan berada di tanganmu, maka pertimbangkanlah apa yang akan engkau perintahkan.”

Mendengar permintaan Ratu Balqis, para pembesar mengatakan bahawa mereka memiliki kekuatan dan keberanian yang luar biasa untuk berperang. Meskipun demikian, keputusan terakhir berada di tangan Ratu Balqis untuk mempertimbangkannya dan apa sahaja keputusan serta perintah daripada Ratu Balqis akan mereka turuti.

Ayat 34

قَالَتْ إِنَّ ٱلْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا۟ قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوٓا۟ أَعِزَّةَ أَهْلِهَآ أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

Dia (Balqis) berkata, “Sesungguhnya raja-raja apabila menakluki suatu negeri, mereka tentu membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia menjadi hina, dan demikian yang akan mereka perbuat.

Kemudian Ratu Balqis menyatakan bahawa peperangan akan membinasakan sesebuah negara, merosakkan harta benda dan menjadikan rakyatnya hina sama ada dengan pembunuhan atau dijadikan sebagai tawanan.

Ayat 35

وَإِنِّى مُرْسِلَةٌ إِلَيْهِم بِهَدِيَّةٍ فَنَاظِرَةٌۢ بِمَ يَرْجِعُ ٱلْمُرْسَلُونَ

Dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan aku akan menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh para utusan itu.”

Setelah itu, Ratu Balqis menyatakan keputusannya iaitu dia memilih untuk berdamai dengan menawarkan hadiah kepada Nabi Sulaiman as agar mereka tidak saling menyerang.

Ayat 36

فَلَمَّا جَآءَ سُلَيْمَـٰنَ قَالَ أَتُمِدُّونَنِ بِمَالٍ فَمَآ ءَاتَىٰنِۦَ ٱللَّهُ خَيْرٌ مِّمَّآ ءَاتَىٰكُم بَلْ أَنتُم بِهَدِيَّتِكُمْ تَفْرَحُونَ

Maka tatkala utusan itu sampai kepada Sulaiman, dia (Sulaiman) berkata, “Apakah (patut) kamu menolong aku dengan harta? Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikan-Nya kepadamu, tetapi kamu berasa bangga dengan hadiahmu.

Kebanyakan ulama tafsir menyebutkan bahawa Ratu Balqis mengirimkan hadiah yang sangat besar kepada Nabi Sulaiman as. Namun baginda menolaknya dan mengatakan bahawa baginda tidak teruja dengan harta tersebut.

Nabi Sulaiman as seterusnya mengatakan bahawa Allah Ta’ala telah memberi kepadanya lebih baik daripada apa yang diberikan oleh Ratu Balqis. Baginda telah diberikan-Nya kenabian, kerajaan yang sangat luas dan harta yang sangat banyak. Baginda tidak memerlukan hadiah atau kemewahan dunia daripada sesiapa pun. Oleh itu, baginda lebih memilih untuk berperang sekiranya mereka tidak mahu menerima Islam.

Nabi Sulaiman as adalah seorang hamba yang bersyukur dengan nikmat yang dianugerahkan kepadanya, dan baginda memuji Allah dalam firman-Nya:

“…..Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami daripada kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman.”

An-Naml 27:15

Ayat 37

ٱرْجِعْ إِلَيْهِمْ فَلَنَأْتِيَنَّهُم بِجُنُودٍ لَّا قِبَلَ لَهُم بِهَا وَلَنُخْرِجَنَّهُم مِّنْهَآ أَذِلَّةً وَهُمْ صَـٰغِرُونَ

Kembalilah kepada mereka, sungguh kami akan mendatangi mereka dengan bala tentara yang mereka tidak berkuasa melawannya, dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba’) dengan keadaan terhina dan mereka menjadi (tawanan-tawanan) yang hina dina.”

Kemudian Nabi Sulaiman as berkata kepada utusan dari negeri Saba’ itu agar kembali kepada Ratu Balqis dan menyampaikan peringatan iaitu baginda pasti akan mendatangi mereka dengan bala tentara yang tidak ada kemampuan bagi mereka untuk melawan dan memeranginya. Baginda akan mengusir mereka dari negeri mereka dalam keadaan terhina, seterusnya mereka menjadi orang-orang yang rendah lagi tertindas.

Utusan Ratu Balqis kemudiannya membawa pulang hadiah serta menyampaikan peringatan daripada Nabi Sulaiman as. Melihat kesungguhan Nabi Sulaiman as yang akan menyerang kerajaannya, akhirnya Ratu Balqis mengikut apa yang diperintahkan oleh baginda. Maka Ratu Balqis dan pembesar-pembesarnya berangkat dari Yaman menuju Palestin.

Ayat 38

قَالَ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمَلَؤُا۟ أَيُّكُمْ يَأْتِينِى بِعَرْشِهَا قَبْلَ أَن يَأْتُونِى مُسْلِمِينَ

Dia (Sulaiman) berkata, “Wahai pembesar-pembesar, siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgahsananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri?”

Sebelum Ratu Balqis tiba di Palestin, Nabi Sulaiman as mengadakan mesyuarat terlebih dahulu. Baginda mengumpulkan tenteranya daripada golongan manusia dan jin lalu bertanya siapakah di kalangan mereka yang sanggup membawa singgahsana Ratu Balqis kepadanya sebelum mereka datang menyerah diri.

Ini kerana Nabi Sulaiman as mendengar tentang kemewahan singgahsana Ratu Balqis dan dia (Balqis) sangat berbangga dengan singgahsananya itu. Maka baginda ingin melakukan kejutan kepada Ratu Balqis. Ini adalah satu cara untuk membuktikan bahawa kekuasaannya jauh lebih besar daripada kekuasaan Ratu Balqis.

Ayat 39

قَالَ عِفْرِيتٌ مِّنَ ٱلْجِنِّ أَنَا۠ ءَاتِيكَ بِهِۦ قَبْلَ أَن تَقُومَ مِن مَّقَامِكَ ۖ وَإِنِّى عَلَيْهِ لَقَوِىٌّ أَمِينٌ

Berkata ‘Ifrit daripada golongan jin, “Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu. Sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercayai.”

Maka Ifrit daripada bangsa jin berkata, dia akan membawa singgahsana tersebut kepada Nabi Sulaiman as sebelum baginda berdiri dari tempat duduknya itu.

Ifrit juga mengatakan bahawa dia benar-benar sanggup untuk membawanya, dia boleh dipercayai dan tidak akan melakukan pengkhianatan serta tidak akan mengambil sesuatu pun daripada singgahsana tersebut.

Ayat 40

قَالَ ٱلَّذِى عِندَهُۥ عِلْمٌ مِّنَ ٱلْكِتَـٰبِ أَنَا۠ ءَاتِيكَ بِهِۦ قَبْلَ أَن يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ ۚ فَلَمَّا رَءَاهُ مُسْتَقِرًّا عِندَهُۥ قَالَ هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّى لِيَبْلُوَنِىٓ ءَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّى غَنِىٌّ كَرِيمٌ

Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu daripada kitab, “Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip.” Maka tatkala (Sulaiman) melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata, “Ini termasuk kurniaan Rabbku untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmat-nikmat-Nya). Dan sesiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan sesiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Rabbku Maha Kaya lagi Maha Mulia.”

Salah seorang yang memiliki ilmu yang mengetahui rahsia-rahsia kitab berkata bahawa dia akan membawa singgahsana itu kepada Nabi Sulaiman as sebelum baginda mengerdipkan dua kelopak mata baginda. Maka Nabi Sulaiman as mengizinkannya. Lalu orang itu berdoa kepada Allah Ta’ala dan dia berhasil membawa singgahsana itu.

Ketika Nabi Sulaiman as melihat singgahsana itu tiba di hadapannya dan berada di sisinya, baginda berkata, itu adalah antara kurniaan Rabbnya yang telah menciptakannya dan menciptakan seluruh alam ini. Hal ini juga adalah ujian baginya sama ada baginda akan bersyukur dengan kejadian itu sebagai pengakuan atas nikmat-nikmat-Nya atau baginda akan mengkufuri nikmat tersebut.

Seterusnya, Nabi Sulaiman as berkata sesiapa bersyukur kepada Allah Ta’ala atas nikmat-nikmat-Nya, sesungguhnya manfaat bersyukur itu kembali kepada dirinya, dan sesiapa yang mengingkari nikmat dan tidak bersyukur, sesungguhnya Rabbnya Maha Kaya lagi Maha Mulia. Dia tidak memerlukan bantuan daripada sesiapa pun.

Ayat 41

قَالَ نَكِّرُوا۟ لَهَا عَرْشَهَا نَنظُرْ أَتَهْتَدِىٓ أَمْ تَكُونُ مِنَ ٱلَّذِينَ لَا يَهْتَدُونَ

Dia (Sulaiman) berkata, “Ubahlah baginya singgahsananya. Maka kita akan melihat adakah dia mengenali atau adakah dia termasuk orang-orang yang tidak mengenali(nya) lagi.”

Ayat 42

فَلَمَّا جَآءَتْ قِيلَ أَهَـٰكَذَا عَرْشُكِ ۖ قَالَتْ كَأَنَّهُۥ هُوَ ۚ وَأُوتِينَا ٱلْعِلْمَ مِن قَبْلِهَا وَكُنَّا مُسْلِمِينَ

Dan ketika dia (Balqis) datang, ditanyakanlah kepadanya, “Serupa inikah singgahsanamu?” Dia (Balqis) menjawab, “Seakan-akan singgahsana ini singgahsanaku, dan kami telah diberi pengetahuan sebelumnya dan kami adalah orang-orang yang berserah diri.”

Ketika singgahsana Ratu Balqis sampai di hadapan Nabi Sulaiman as iaitu sebelum Ratu Balqis sampai ke istana baginda, Nabi Sulaiman as memerintahkan pekerjanya untuk merombak sebahagian singgahsana tersebut untuk menguji kecerdasan Ratu Balqis. Ratu Balqis terkenal dengan sifat-sifat yang cerdik, cerdas, cermat dan teliti. Maka dia tidak cepat membuat kesimpulan bahawa itu singgahsananya dan tidak juga mengatakan itu bukan istananya.

Ayat 43

وَصَدَّهَا مَا كَانَت تَّعْبُدُ مِن دُونِ ٱللَّهِ ۖ إِنَّهَا كَانَتْ مِن قَوْمٍ كَـٰفِرِينَ

Kebiasaannya menyembah selain Allah itu (mencegahnya untuk melahirkan keislamannya), sesungguhnya dia (Balqis) dahulunya termasuk orang-orang yang kafir.

Kemudian Ratu Balqis menyatakan penyembahannya terhadap matahari telah mencegahnya daripada menyembah Allah Ta’ala dan seterusnya dia menyakini akan kekuasaan-Nya dan kebenaran kenabian Nabi Sulaiman as.

Ayat 44

قِيلَ لَهَا ٱدْخُلِى ٱلصَّرْحَ ۖ فَلَمَّا رَأَتْهُ حَسِبَتْهُ لُجَّةً وَكَشَفَتْ عَن سَاقَيْهَا ۚ قَالَ إِنَّهُۥ صَرْحٌ مُّمَرَّدٌ مِّن قَوَارِيرَ ۗ قَالَتْ رَبِّ إِنِّى ظَلَمْتُ نَفْسِى وَأَسْلَمْتُ مَعَ سُلَيْمَـٰنَ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dikatakan kepadanya (Balqis), “Masuklah ke dalam istana.” Maka tatkala dia melihat lantai istana itu, disangkanya kolam air yang besar, dan disingkapkannya sedikit kain daripada kedua-dua betisnya. Berkatalah (Sulaiman), “Sesungguhnya ini hanyalah lantai istana yang dilapisi kaca.” Berkatalah (Balqis), “Wahai Rabbku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Rabb semesta alam.”

Apabila Ratu Balqis melihat betapa besar anugerah Allah Ta’ala yang diberikan kepada Nabi Sulaiman as, dan menyedari bahawa baginda adalah seorang Nabi utusan yang mulia dan raja yang agung, dia pun tunduk kepada perintah Allah Ta’ala Rabb seluruh alam.