Nabi Sulaiman as Mewarisi Kerajaan Nabi Daud as dan Kisah Baginda dengan Semut
Surah 27: An-Naml (16 – 19)
Ayat 16
وَوَرِثَ سُلَيْمَـٰنُ دَاوُۥدَ ۖ وَقَالَ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ عُلِّمْنَا مَنطِقَ ٱلطَّيْرِ وَأُوتِينَا مِن كُلِّ شَىْءٍ ۖ إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْفَضْلُ ٱلْمُبِينُ
Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia (Sulaiman) berkata, “Wahai manusia, kami telah diajarkan bahasa burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurniaan yang nyata.”
Setelah kewafatan Nabi Daud as, Nabi Sulaiman as mewarisi kenabian dan kerajaan Nabi Daud as serta ilmu pengetahuan dan kitab Zabur yang diturunkan kepadanya. Mewarisi dalam ayat ini bukan bermaksud mewarisi harta kerana para Nabi tidak mewariskan harta kepada keturunannya setelah mereka meninggal dunia.
Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis, Rasulullah saw telah bersabda:
“Kami para Nabi tidak meninggalkan warisan (harta), sedangkan apa-apa yang kami tinggalkan itu adalah sedekah.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Sulaiman as memberitahu rakyatnya bahawa baginda telah dianugerahkan oleh-Nya kerajaan yang sempurna dan kedudukannya yang sangat tinggi hinggakan baginda dapat menakluki manusia, jin dan burung. Baginda pandai berbahasa burung dan binatang yang lain.
Nabi Sulaiman as menyatakan semua anugerah Allah Ta’ala ini benar-benar suatu kurniaan yang nyata dari sisi-Nya.
Ayat 17
وَحُشِرَ لِسُلَيْمَـٰنَ جُنُودُهُۥ مِنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ وَٱلطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ
Dan untuk Sulaiman dikumpulkan bala tenteranya daripada jin, manusia dan burung, lalu mereka itu berbaris dengan tertib.
Nabi Sulaiman as mampu membentuk bala tenteranya yang sangat kuat terdiri daripada manusia, jin dan burung-burung. Baginda menyusun barisan tentera-tenteranya dengan begitu tertib.
Ayat 18
حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَوْا۟ عَلَىٰ وَادِ ٱلنَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّمْلُ ٱدْخُلُوا۟ مَسَـٰكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَـٰنُ وَجُنُودُهُۥ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut, “Wahai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.”
Ayat 19
فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِىٓ أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَىَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَـٰلِحًا تَرْضَىٰهُ وَأَدْخِلْنِى بِرَحْمَتِكَ فِى عِبَادِكَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
Maka dia (Sulaiman) tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa, “Wahai Rabbku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua ibu bapaku dan agar aku mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.”
Ketika Nabi Sulaiman as dan bala tenteranya hendak melalui satu lembah semut, baginda dapat mendengar ketua semut mengarahkan anak buahnya masuk ke sarang masing-masing agar tidak dipijak oleh baginda dan tentera-tenteranya.
Nabi Sulaiman as tersenyum kerana semut itu menyedari kedatangan baginda dan tentera-tenteranya lebih awal sehingga tidak berlaku penganiayaan kepada semut-semut itu. Lalu baginda berdoa agar baginda diberikan ilham untuk mensyukuri nikmat berupa baginda diajarkan-Nya bahasa semut dan juga pemberian nikmat-nikmat lain kepadanya yang begitu banyak.
Baginda juga memohon agar dapat mensyukuri nikmat berupa anugerah Allah Ta’ala kepada kedua ibu bapanya yang juga dikurniakan nikmat yang banyak.
Selain itu, baginda memohon kepada Allah Ta’ala memberikan ilham kepadanya agar dapat melakukan amalan soleh yang diredhai-Nya. Seterusnya baginda memohon agar apabila baginda diwafatkan, baginda dimasukkan ke dalam golongan orang-orang soleh yang berkedudukan tinggi di sisi-Nya.