Surah 27: An-Naml (15)

Allah Ta’ala Memberikan Ilmu kepada Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as

Surah 27: An-Naml (15)


Ayat 15

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا دَاوُۥدَ وَسُلَيْمَـٰنَ عِلْمًا ۖ وَقَالَا ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى فَضَّلَنَا عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman, dan (kedua-duanya) mengucapkan, “Segala puji bagi Allah yang melebihkan Kami dari kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman.”

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menganugerahkan Nabi Daud as dan puteranya Nabi Sulaiman as sebahagian daripada ilmu iaitu ilmu syariat dan hukum-hukum.

Allah Ta’ala mengurniakan pelbagai nikmat kepada kedua-dua Nabi as ini. Mereka berdua dianugerahi kerajaan, kekayaan dan kekuasaan yang paling sempurna dalam bidang keduniaan. Dalam bidang keagamaan pula mereka dianugerahi darjat kerasulan yang tinggi.

Selain itu, Allah Ta’ala mengajar Nabi Daud as cara membuat pakaian besi untuk digunakan dalam pertempuran, sementara Nabi Sulaiman as diajarkan-Nya fasih bertutur dan memahami bahasa binatang.

Kedua-dua Nabi ini bersyukur kepada Allah Ta’ala atas segala nikmat-Nya yang dianugerahkan kepada mereka dan melebihkan mereka dari kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman.

Allah Ta’ala berfirman dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan (ingatlah kisah) Daud dan Sulaiman, ketika kedua-duanya memberikan keputusan tentang tanaman (ladang itu), dirosakkan oleh kambing-kambing kepunyaan kaumnya. Dan Kami menyaksikan keputusan yang diberikan oleh mereka itu. Maka Kami memberikan pengertian kepada Sulaiman (tentang hukum yang lebih tepat); dan kepada masing-masing mereka Kami berikan hikmah dan ilmu dan Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud. Dan Kami-lah yang melakukannya. Dan Kami ajarkan (pula) kepada Daud cara membuat baju besi untuk kamu, guna melindungi kamu dalam peperanganmu. Maka adakah kamu bersyukur (kepada Allah)?”

Al-Anbiya’ 21:78-80

“Bersabarlah atas apa yang mereka katakan, dan ingatlah hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan, sesungguhnya dia amat taat (kepada Allah). Sesungguhnya Kami-lah yang menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama dia (Daud) pada waktu petang dan pagi, dan (Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan terkumpul. Masing-masing amat taat (kepada Allah). Dan Kami kuatkan kerajaannya dan Kami berikan kepadanya hikmah serta kebijaksanaan dalam memutuskan perkara.”

Sad 38:17-20