Al-Quran adalah Petunjuk dan Khabar Gembira kepada Orang Beriman
Surah 27: An-Naml (1 – 6)
Ayat 1
طسٓ ۚ تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْقُرْءَانِ وَكِتَابٍ مُّبِينٍ
Ta Sin. (Surah) ini adalah ayat-ayat Al-Quran, dan (ayat-ayat) kitab yang jelas.
Ayat 2
هُدًى وَبُشْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ
Untuk menjadi petunjuk dan berita gembira kepada orang-orang yang beriman.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa ayat-ayat Al-Quran adalah petunjuk bagi manusia agar selamat daripada kesesatan, dan pemberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Al-Quran adalah petunjuk jalan ke syurga.
Ayat-ayat mulia ini terang maknanya lagi jelas petunjuknya. Padanya terkandung ilmu-ilmu, hukum-hukum dan ajaran-ajaran syariat. Firman Allah Ta’ala:
“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa.”
Al-Baqarah 2:2
Petunjuk dan khabar gembira dalam Al-Quran hanya boleh diambil pengajaran oleh orang-orang yang beriman kepadanya kerana mereka memerhatikan dan memikirkannya serta membenarkannya, mengikutinya dan mengamalkannya. Ini sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:
“…………Katakanlah, ‘Al-Quran itu adalah penyejuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman. Dan orang-orang yang tidak beriman, pada telinga mereka ada sumbatan dan (Al-Quran) itu merupakan kegelapan bagi mereka. Mereka itu (seperti) orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh.’”
Fussilat 41:44
“Maka sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran itu dengan bahasamu, agar kamu dapat memberi khabar gembira dengan Al-Quran itu kepada orang-orang yang bertakwa, dan agar kamu memberi peringatan dengannya kepada kaum yang membangkang.”
Maryam 19:97
Ayat 3
ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُم بِٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
(iaitu) Orang-orang yang mendirikan solat dan menunaikan zakat dan mereka meyakini adanya Negeri Akhirat.
Orang-orang beriman yang mengambil faedah daripada Al-Quran berupa hidayah dan khabar gembira adalah orang-orang yang mendirikan solat secara sempurna rukun-rukun serta syarat-syaratnya.
Mereka juga mengeluarkan zakat untuk menyucikan harta dan jiwa mereka daripada dosa dan syubhat.
Selain itu, mereka yakin dengan adanya neraka dan syurga, lalu mereka mempersiapkan diri dengan mentaati perintah Allah Ta’ala dan menjauhi larangan-Nya.
Ayat 4
إِنَّ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ زَيَّنَّا لَهُمْ أَعْمَـٰلَهُمْ فَهُمْ يَعْمَهُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada Negeri Akhirat, Kami jadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka, maka mereka bergelimang (dalam kesesatan).
Allah Ta’ala menyebutkan orang-orang yang tidak mempercayai adanya hari akhirat. Mereka mengatakan mustahil mereka akan dibangkitkan semula untuk menerima balasan atas perbuatan baik atau jahat yang mereka lakukan.
Allah Ta’ala juga menyebutkan bahawa Dia menjadikan kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh orang-orang kafir itu nampak baik dan indah pada pandangan mereka. Dia membiarkan mereka berlama-lama bergelimang dalam kesesatan disebabkan ketidakpercayaan mereka kepada Hari Akhirat.
Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dan (begitu pula) Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (Al-Quran) pada permulaannya, dan Kami biarkan mereka bergelimang dalam kesesatannya yang sangat.”
Al-An’am 6:110
Ayat 5
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَهُمْ سُوٓءُ ٱلْعَذَابِ وَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ هُمُ ٱلْأَخْسَرُونَ
Mereka Itulah orang-orang yang mendapat azab yang buruk (di dunia) dan di akhirat mereka adalah orang-orang yang paling rugi.
Balasan bagi orang-orang yang tidak mempercayai Hari Kebangkitan adalah balasan yang buruk di dunia dan di akhirat.
Ayat 6
وَإِنَّكَ لَتُلَقَّى ٱلْقُرْءَانَ مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ عَلِيمٍ
Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar telah diberi Al-Quran dari sisi (Allah) yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
Setelah Allah Ta’ala menerangkan sifat-sifat Al-Quran dalam ayat-ayat sebelum ini, maka dalam ayat ini pula Dia menerangkan tentang Rasulullah saw, Rasul-Nya yang diberikan Al-Quran kepadanya. Sesungguhnya baginda sememangnya memelihara Al-Quran yang dibacakan kepadanya dan dipelajarinya.
Allah Ta’ala Maha Bijaksana dalam menentukan segala perintah dan larangan-Nya serta mentadbir makhluk-Nya. Dia Maha Mengetahui seluruh perkara dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara dalam memberikan kebaikan kepada mereka. Apa yang dijelaskan dalam Al-Quran adalah benar dan adil. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Telah sempurna kalimah Rabbmu (Al-Quran) sebagai kalimah yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimah-kalimah-Nya dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Al-An’am 6:115