Kisah Nabi Ibrahim as – Pelajaran daripada Kisah Baginda
Surah 26: Asy-Syu’ara’ (90 – 104)
Ayat 90
وَأُزْلِفَتِ ٱلْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ
Dan (pada hari itu) didekatkanlah syurga kepada orang-orang yang bertakwa.
Pada Hari Akhirat juga syurga didekatkan kepada calon penghuninya dengan dinampakkan kemegahan dan kemewahan perhiasan bagi orang-orang yang memandangnya. Mereka adalah orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang mencintai kehidupan di akhirat ketika berada di dunia dahulu dan mereka beramal dengan mengharapkan balasan syurga.
Ayat 91
وَبُرِّزَتِ ٱلْجَحِيمُ لِلْغَاوِينَ
Dan diperlihatkan dengan jelas Neraka Jahim kepada orang-orang yang sesat.
Neraka Jahim pula dinampakkan dan dibukakan selebar-lebarnya kepada orang-orang yang sesat. Lalu muncullah lidah-lidah api dari neraka yang menyambar dengan cepat dan bersuara gemuruh menyebabkan hati sesak hingga naik ke kerongkong kerana terlalu takut.
Ayat 92
وَقِيلَ لَهُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ تَعْبُدُونَ
Dan dikatakan kepada mereka, “Di manakah berhala-berhala yang dahulu kamu selalu menyembah(nya)
Ayat 93
مِن دُونِ ٱللَّهِ هَلْ يَنصُرُونَكُمْ أَوْ يَنتَصِرُونَ
Selain Allah? Dapatkah mereka menolong kamu atau menolong diri mereka sendiri?”
Ayat 94
فَكُبْكِبُوا۟ فِيهَا هُمْ وَٱلْغَاوُۥنَ
Maka mereka (sembahan-sembahan itu) dilemparkan ke dalam neraka bersama orang-orang yang sesat.
Ayat 95
وَجُنُودُ إِبْلِيسَ أَجْمَعُونَ
Dan bala tentera Iblis semuanya.
Dikatakan kepada calon penghuni neraka dengan nada kecaman dan ejekan, di manakah berhala-berhala yang mereka sembah ketika berada di dunia dahulu. Tuhan-tuhan palsu yang mereka sembah itu sedikit pun tidak dapat menolong mereka bahkan tidak dapat menolong diri sendiri. Mereka dan apa yang mereka sembah akan menjadi bahan bakar Neraka Jahannam dan semua akan memasukinya.
Ayat 96
قَالُوا۟ وَهُمْ فِيهَا يَخْتَصِمُونَ
Mereka berkata sambil bertengkar di dalamnya (neraka).
Ayat ini menjelaskan bahawa kelak akan berlaku dialog sesama penghuni neraka iaitu di antara pengikut dan pemimpin yang menyebabkan mereka sesat semasa di dunia. Ini sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya yang demikian itu pasti terjadi, (iaitu) pertengkaran di antara penghuni neraka.”
Sad 38:64
Ayat 97
تَٱللَّهِ إِن كُنَّا لَفِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ
“Demi Allah, sungguh kami dahulu (di dunia) dalam kesesatan yang nyata,
Ayat 98
إِذْ نُسَوِّيكُم بِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
kerana kami menyamakan kamu (berhala-berhala) dengan Rabb seluruh alam.
Ayat 99
وَمَآ أَضَلَّنَآ إِلَّا ٱلْمُجْرِمُونَ
Dan tidak ada yang menyesatkan kami kecuali orang-orang yang berdosa.
Ayat-ayat ini merupakan kebenaran bahawa tiadalah yang mengajak mereka kepada dosa besar melainkan orang-orang yang berdosa yang terdiri daripada para syaitan, para pemimpin dan para pembesar mereka.
Ayat 100
فَمَا لَنَا مِن شَـٰفِعِينَ
Maka sekarang kami tidak mempunyai seorang pun pemberi syafaat.
Ayat 101
وَلَا صَدِيقٍ حَمِيمٍ
Dan tidak pula mempunyai teman yang akrab.
Mereka berasa begitu rugi dan menyesal kerana semua janji-janji dan harapan-harapan yang diberikan ketika di dunia dahulu adalah palsu belaka kerana pada hari itu mereka tidak mempunyai penolong atau teman sejati yang disangkakan boleh menjadi penolong mereka.
Firman Allah Ta’ala tentang syafaat dan teman karib bagi orang-orang kafir dalam ayat yang lain:
“……….Tidak ada seorang pun teman setia bagi orang-orang yang zalim dan tidak (pula) ada baginya seorang pemberi syafaat yang diterima (syafaatnya).”
Ghafir 40:18
Ayat 102
فَلَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً فَنَكُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Maka sekiranya kami dapat kembali (ke dunia) nescaya kami menjadi orang-orang yang beriman.”
Mereka berangan-angan untuk dikembalikan ke dunia supaya mereka dapat menjalankan perintah Allah, lalu mereka memohon kepada-Nya dengan menyatakan penyesalan mereka. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:
“Wahai Rabb kami, keluarkanlah kami darinya (kembalikanlah kami ke dunia), maka jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim.”
Al-Mu’minun 23:107
Ayat 103
إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً ۖ وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ
Sesungguhnya demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.
Ayat 104
وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ
Dan sesungguhnya Rabbmu benar-benar Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.
Sesungguhnya pada kisah Nabi Ibrahim as benar-benar terdapat pelajaran penting bagi orang-orang yang mahu mengambil pelajaran, tetapi kebanyakan orang-orang yang mendengar kisah ini tidak menjadi orang-orang yang beriman.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa untuk memberikan balasan terhadap orang-orang yang mendustakannya, namun Dia Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya yang beriman.