Kisah Nabi Ibrahim as – Nasihat Nabi Ibrahim as kepada Kaumnya untuk Menghapuskan Kemusyrikan
Surah 26: Asy-Syu’ara’ (69 – 82)
Ayat 69
وَٱتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ إِبْرَٰهِيمَ
Dan bacakanlah kepada mereka kisah Ibrahim.
Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menyampaikan kisah Nabi Ibrahim as dengan kaumnya agar mereka meneladani Nabi Ibrahim as dalam keikhlasan, tawakkal dan ibadahnya hanya ditujukan kepada-Nya.
Nabi Ibrahim as berlepas diri daripada kemusyrikan dan juga kaumnya yang melakukan kesyirikan dengan menyembah berhala-berhala sebagai sekutu Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Allah Ta’ala telah memberikan petunjuk kepada baginda sejak kecil. Apabila menjelang dewasa baginda telah menentang kaumnya yang menyembah berhala.
Ayat 70
إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِۦ مَا تَعْبُدُونَ
Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya, “Apakah yang kamu sembah?”
Ayat 71
قَالُوا۟ نَعْبُدُ أَصْنَامًا فَنَظَلُّ لَهَا عَـٰكِفِينَ
Mereka menjawab, “Kami menyembah berhala-berhala dan kami sentiasa tekun menyembahnya.”
Ayat 72
قَالَ هَلْ يَسْمَعُونَكُمْ إِذْ تَدْعُونَ
Dia (Ibrahim) berkata, “Apakah berhala-berhala itu mendengar (doa)mu sewaktu kamu berdoa (kepadanya)?
Ayat 73
أَوْ يَنفَعُونَكُمْ أَوْ يَضُرُّونَ
Atau (dapatkah) mereka memberi manfaat kepadamu atau memberi mudharat?”
Nabi Ibrahim as berkata dalam bentuk pertanyaan agar mereka mulai berfikir iaitu dapatkah ilah-ilah itu memberi manfaat sekiranya mereka menyembahnya atau adakah sembahan itu dapat memberi mudharat sekiranya mereka tidak menyembahnya.
Ayat 74
قَالُوا۟ بَلْ وَجَدْنَآ ءَابَآءَنَا كَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ
Mereka menjawab, “Tidak, tetapi kami dapati nenek moyang kami berbuat demikian.”
Mereka mengakui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat melakukan sesuatu apa pun iaitu tidak dapat mendengar, tidak dapat memberi manfaat dan juga tidak dapat menghilangkan mudharat. Mereka tidak mempunyai alasan yang membenarkan perbuatan mereka itu selain bertaklid buta iaitu dengan mengikuti nenek moyang mereka yang berada dalam kesesatan.
Ayat 75
قَالَ أَفَرَءَيْتُم مَّا كُنتُمْ تَعْبُدُونَ
Dia (Ibrahim) berkata, “Maka apakah kamu telah memperhatikan apa yang selalu kamu sembah.
Ayat 76
أَنتُمْ وَءَابَآؤُكُمُ ٱلْأَقْدَمُونَ
Kamu dan nenek moyang kamu yang dahulu?
Ayat 77
فَإِنَّهُمْ عَدُوٌّ لِّىٓ إِلَّا رَبَّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
(Aku bertanya demikian) kerana sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhku, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Rabb sekalian alam.
Kemudian Nabi Ibrahim as lantas memperlihatkan sikapnya yang tegas dan bernada permusuhan, kerana dalam hal keimanan dan ibadah tidak ada tolak ansur dengan sesiapa pun.
Ini sebagaimana firman Allah Swt tentang penentangan Nabi Ibrahim as dalam ayat-ayat yang lain:
“Bagaimana aku takut kepada apa (sembahan-sembahan) yang kamu sekutukan (dengan Allah), padahal kamu tidak takut dengan apa yang Allah sendiri tidak menurunkan hujjah kepadamu untuk menyekutukan-Nya………”
Al-An’am 6:81
“Sesungguhnya telah ada suri teladan (contoh) yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengannya, ketika mereka berkata kepada kaum mereka, ‘Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami mengingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu terdapat permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sehingga kamu sekalian beriman hanya kepada Allah sahaja…….’”
Al-Mumtahanah 60:4
Ayat 78
ٱلَّذِى خَلَقَنِى فَهُوَ يَهْدِينِ
(Iaitu Rabb) Yang telah menciptakan aku, maka Dia-lah yang Memberi petunjuk kepadaku.
Ayat 79
وَٱلَّذِى هُوَ يُطْعِمُنِى وَيَسْقِينِ
Dan Yang Memberi makan dan minum kepadaku.
Ayat 80
وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ
Dan apabila aku sakit, Dia-lah Yang menyembuhkan aku.
Ayat 81
وَٱلَّذِى يُمِيتُنِى ثُمَّ يُحْيِينِ
Dan Yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku kembali.
Ayat 82
وَٱلَّذِىٓ أَطْمَعُ أَن يَغْفِرَ لِى خَطِيٓـَٔتِى يَوْمَ ٱلدِّينِ
Dan Yang sangat kuinginkan akan mengampuni kesalahanku pada Hari Kiamat.”
Kemudian Nabi Ibrahim as menyebutkan sifat-sifat Allah Ta’ala dengan menyatakan bahawa Dia-lah yang telah menciptakannya dalam sebaik-baik bentuk. Baginda diberikan petunjuk menuju ke jalan yang benar melalui wahyu yang diberikan kepadanya.
Allah Ta’ala jugalah yang memberi baginda makan dan minum. Apabila baginda sakit, Dia-lah yang menyembuhkannya.