Surah 26: Asy-Syu’ara’ (213 – 220)

Perintah agar Memurnikan Ibadah Hanya kepada Allah Swt

Surah 26: Asy-Syu’ara’ (213 – 220)


Ayat 213

فَلَا تَدْعُ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ فَتَكُونَ مِنَ ٱلْمُعَذَّبِينَ

Maka janganlah kamu menyeru (menyembah) ilah selain Allah, nanti kamu termasuk orang-orang yang diazab.

Ayat-ayat ini dan seterusnya mengandungi empat perintah Allah Ta’ala kepada Rasulullah saw yang berkaitan dengan penyampaian risalahnya.

Pertama

▪️  Sembahlah Allah Ta’ala yang tiada sekutu bagi-Nya dan jauhi berdoa mahupun beribadah kepada selain-Nya.

Ayat 214

وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ ٱلْأَقْرَبِينَ

Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat.

Kedua

▪️  Mengingatkan kaum kerabat baginda yang terdekat tentang adanya seksaan dan azab Allah Ta’ala kepada orang-orang yang menyekutukan-Nya.

Ayat 215

وَٱخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu iaitu orang-orang yang beriman.

Ketiga

▪️  Bersikap lemah lembut dan mengasihi kaum mukmin.

Firman Allah Ta’ala:

“Jadilah (engkau) pemaaf dan serulah kepada kebaikan, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.”

Al-A’raf 7:199

Ayat 216

فَإِنْ عَصَوْكَ فَقُلْ إِنِّى بَرِىٓءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ

Jika mereka menderhakaimu maka katakanlah, “Sesungguhnya aku tidak bertanggungjawab terhadap apa yang kamu lakukan.”

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw memberi peringatan kepada sanak saudara dan kerabat terdekatnya bahawa tidak ada seorang pun yang boleh menyelamatkan mereka daripada seksaan Allah kecuali keimanan mereka kepada-Nya.

Allah Ta’ala juga memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada mereka bahawa baginda berlepas diri daripada keingkaran mereka yang tidak mengendahkan dakwahnya.

Daripada ‘Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Wahai Fatimah binti Muhammad, wahai Safiyyah binti Abdul Mutalib, wahai keturunan anak keturunan Abdul Mutalib, aku sama sekali tidak dapat menolak (seksaan) Allah terhadap kalian. Mintalah daripadaku hartaku sekehendak kalian.”

(HR. Muslim)

Allah Ta’ala mengancam sikap dan tindakan mereka itu dengan azab yang sangat pedih sebagai balasan daripada perbuatan mereka.

Ayat 217

وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱلْعَزِيزِ ٱلرَّحِيمِ

Dan bertawakallah kepada (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.

Ayat 218

ٱلَّذِى يَرَىٰكَ حِينَ تَقُومُ

Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk solat).

Ayat 219

وَتَقَلُّبَكَ فِى ٱلسَّـٰجِدِينَ

Dan perubahan gerakan badanmu di antara orang-orang yang sujud.

Ayat 220

إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Sesungguhnya, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Keempat

▪️  Bertawakkal kepada Allah Ta’ala dan menyerahkan semua urusan kepada-Nya kerana Dia-lah menjaga, menolong dan meneguhkan kalimah dan ajaran yang baginda bawa.

Firman-firman Allah dalam ayat yang lain:

“Dan bersabarlah (Muhammad) menunggu ketetapan Rabbmu, kerana sesungguhnya engkau berada dalam pemeliharaan Kami, dan berzikirlah dengan memuji Rabbmu ketika engkau bangun.”

At-Tur 52:48

“Dan tidaklah engkau (Muhammad) berada dalam suatu urusan dan tidak membaca suatu ayat Al-Quran serta tidak pula melakukan sesuatu amalan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu ketika kamu melakukannya. Tidak lengah sedikit pun daripada pengetahuan Rabbmu biarpun sebesar zarah, baik di bumi mahupun di langit. Tidak ada sesuatu yang lebih kecil dan yang lebih besar daripada itu, melainkan semuanya tercatat dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).”

Yunus 10:61