Surah 26: Asy-Syu’ara’ (210 – 212)

Al-Quran Bukanlah Diturunkan Melalui Syaitan

Surah 26: Asy-Syu’ara’ (210 – 212)


Ayat 210

وَمَا تَنَزَّلَتْ بِهِ ٱلشَّيَـٰطِينُ

Dan Al-Quran itu bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan.

Ayat 211

وَمَا يَنۢبَغِى لَهُمْ وَمَا يَسْتَطِيعُونَ

Dan tidaklah patut mereka membawa turun Al-Quran itu, dan merekapun tidak akan kuasa.

Ayat 212

إِنَّهُمْ عَنِ ٱلسَّمْعِ لَمَعْزُولُونَ

Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan daripada mendengar Al-Quran itu.

Allah Ta’ala menegaskan bahawa Al-Quran bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan kepada Nabi Muhammad saw sebagaimana yang disangka oleh orang-orang kafir. Dia menjelaskan bahawa tidak mungkin Al-Quran yang mulia itu diturunkan-Nya melalui syaitan. Ini disebabkan oleh beberapa perkara:

Pertama

▪️  Al-Quran itu tidak layak bagi syaitan kerana Al-Quran bukanlah sesuatu yang dicari dan dingini serta boleh diterima oleh syaitan. Ini kerana syaitan selalu mengajak manusia kepada kesesatan dan membuat kerosakan. Sedangkan Al-Quran mengajak kepada berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran. Al-Quran juga membawa petunjuk dan dalil kepada kebenaran.

Kedua

▪️  Sekiranya syaitan itu diperintahkan membawa turun Al-Quran itu, nescaya ia tidak sanggup menanggungnya. Sedangkan gunung-gunung pun terpecah belah sekiranya diturunkan Al-Quran kepadanya, sebagaimana firman Allah Ta’ala:

“Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah………….”

Al-Hasyr 59:21

Ketiga

▪️  Meskipun sekiranya syaitan-syaitan itu dianggap layak atau sanggup menanggung dan menyampaikan Al-Quran, nescaya mereka tidak dapat melakukannya. Ini kerana mereka tidak dapat mendengar Al-Quran ketika diturunkan, disebabkan langit dipenuhi oleh para penjaga yang kuat dan terdapat panah-panah api. Allah Ta’ala berfirman:

“Dan sesungguhnya kami (jin) dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mencuri dengar (berita-beritanya). Tetapi sekarang sesiapa yang mencuri dengar (seperti itu) pasti akan menjumpai panah-panah api yang mengintai (untuk membakarnya). Dan sesungguhnya kami (jin) tidak mengetahui (adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki orang yang di bumi atau Rabb mereka hendak melimpahkan kebaikan bagi mereka.”

Jin 72:8-10