Al-Quran telah Disebutkan di dalam Kitab-Kitab Nabi Terdahulu
Surah 26: Asy-Syu’ara’ (192 – 196)
Ayat 192
وَإِنَّهُۥ لَتَنزِيلُ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Dan sesungguhnya, (Al-Quran) ini benar-benar diturunkan oleh Rabb semesta alam,
Ayat 193
نَزَلَ بِهِ ٱلرُّوحُ ٱلْأَمِينُ
yang dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril),
Ayat 194
عَلَىٰ قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ ٱلْمُنذِرِينَ
ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan,
Ayat 195
بِلِسَانٍ عَرَبِىٍّۢ مُّبِينٍ
dengan bahasa Arab yang jelas.
Dalam ayat-ayat ini, Allah Ta’ala menerangkan keistimewaan kitab yang diturunkan-Nya kepada Rasulullah saw bahawa ia merupakan wahyu daripada-Nya dan sekali gus menunjukkan kenabian baginda, iaitu:
▪️ Al-Quran merupakan wahyu daripada Allah Ta’ala dan mukjizat bagi baginda as kerana kefasihan bahasanya dan terdapat kisah-kisah terdahulu serta yang akan datang.
Risalah dan wahyu ini dibawa turun oleh Jibril as yang mulia lagi dipercayai dan mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah Ta’ala.
Kemudian Jibril as membacakannya kepada baginda saw dan memasukkan ke dalam jiwa baginda agar ia terpelihara daripada penambahan ataupun pengurangan.
Allah Swt juga menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan kepada baginda agar baginda menyampaikan berita gembira kepada orang-orang beriman yang mengikuti ajaran-Nya dan peringatan tentang adanya seksaan kepada orang-orang yang menentang-Nya.
Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:
“Katakanlah (Muhammad), ‘Sesiapa yang menjadi musuh Jibril, maka (ketahuilah) bahawa dialah yang telah menurunkannya (Al-Quran) ke dalam hatimu dengan izin Allah, membenarkan apa (kitab-kitab) yang terdahulu dan menjadi petunjuk serta berita gembira bagi orang-orang yang beriman.’”
Al-Baqarah 2:97
▪️ Al-Quran yang diturunkan Allah Ta’ala adalah dalam bahasa Arab, iaitu bahasa kaum musyrikin Quraisy sendiri tetapi mereka tidak mampu menandinginya walaupun dengan membuat suatu surah yang sefasih, sempurna, lengkap dan seindah bahasa Al-Quran yang menjadi pedoman yang jelas dan nyata serta dapat menunjukkan bukti kepada kebenarannya.
Oleh itu, tiada alasan bagi kaum kafir Quraisy untuk mengatakan bahawa Al-Quran ini adalah rekaan Rasulullah saw.
Ayat 196
وَإِنَّهُۥ لَفِى زُبُرِ ٱلْأَوَّلِينَ
Dan sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar (disebut) dalam kitab-kitab orang-orang yang terdahulu.
▪️ Penurunan Al-Quran telah disebutkan dalam kitab-kitab terdahulu.
Allah Swt menyebutkan bahawa berita tentang Al-Quran dan isyarat akan diturunkan-Nya kitab yang terakhir ini benar-benar ada di dalam kitab-kitab terdahulu yang dibawa oleh para Nabi sebelumnya.
Berita itu ditentukan oleh Allah Swt sebagai sebuah janji daripada para Nabi untuk disampaikan kepada umat masing-masing. Bahkan Nabi terakhir sebelum Nabi Muhammad saw iaitu Nabi ‘Isa as berdiri dan berkhutbah di hadapan kaumnya menyampaikan berita gembira tentang kedatangan Rasul terakhir bernama Ahmad (Nabi Muhammad saw) membawa bersama-samanya Al-Quran ini sebagaimana firman-Nya:
“Dan (ingatlah) ketika ‘Isa putera Maryam berkata, ‘Wahai Bani Israil! Sesungguhnya aku utusan Allah kepadamu, yang membenarkan kitab (yang turun) sebelumku, iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan seorang Rasul yang akan datang setelahku, yang namanya Ahmad (Muhammad).’ Namun ketika Rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata, ‘Ini adalah sihir yang nyata.’”
As-Saff 61:6