Surah 26: Asy-Syu’ara’ (141 – 159)

Kisah Nabi Saleh as dan Kaum Thamud

Surah 26: Asy-Syu’ara’ (141 – 159)


Ayat 141

كَذَّبَتْ ثَمُودُ ٱلْمُرْسَلِينَ

Kaum Thamud telah mendustakan Rasul-rasul.

Ayat 142

إِذْ قَالَ لَهُمْ أَخُوهُمْ صَـٰلِحٌ أَلَا تَتَّقُونَ

Ketika saudara mereka Saleh, berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidak bertakwa?

Ayat 143

إِنِّى لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ

Sesungguhnya aku adalah seorang Rasul yang amanah (yang diutus) kepadamu.

Ayat 144

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ

Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Ayat 145

وَمَآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ ۖ إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakanku itu, upahku tidak lain hanyalah daripada Rabb seluruh alam.”

Setelah Allah Ta’ala menceritakan kisah Nabi Hud as dan kebinasaan kaumnya, dalam ayat-ayat di atas Dia menceritakan pula tentang Nabi Saleh as yang diutuskan kepada kaum Thamud. Mereka adalah orang Arab yang tinggal di daerah Hijr terletak di antara lembah Al-Qura dengan negeri Syam. Mereka ini hidup setelah generasi kaum ‘Aad.

Nabi Saleh as menyeru kaumnya dengan kata-kata yang sama seperti yang diucapkan oleh Nabi Hud as kepada kaumnya. Baginda mengajak kaumnya agar beriman kepada Allah Ta’ala dengan mengesakan-Nya dan menyembah-Nya serta mengikuti apa yang disampaikannya kerana baginda adalah seorang Rasul yang diutuskan-Nya.

Nabi Saleh as menyatakan bahawa baginda tidak meminta apa-apa upah atau bayaran atas dakwah baginda. Balasannya hanya daripada Allah Ta’ala yang telah mengutusnya.

Dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala menyatakan seruan Nabi Saleh as kepada kaumnya, sepertimana firman-Nya:

“Dan kepada kaum Thamud (Kami utus) saudara mereka, Saleh. Dia berkata, ‘Wahai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Ilah bagimu selain Dia. Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya. Oleh itu mohonlah keampunan kepada-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Rabbku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya).’”

Hud 11:61

Ayat 146

أَتُتْرَكُونَ فِى مَا هَـٰهُنَآ ءَامِنِينَ

Adakah kamu (mengira) akan dibiarkan tinggal di sini (di negeri kamu ini) dengan aman.

Ayat 147

فِى جَنَّـٰتٍ وَعُيُونٍ

Di dalam kebun-kebun dan mata air.

Ayat 148

وَزُرُوعٍ وَنَخْلٍ طَلْعُهَا هَضِيمٌ

Dan tanam-tanaman dan pohon-pohon kurma yang mayangnya lembut.

Ayat 149

وَتَنْحِتُونَ مِنَ ٱلْجِبَالِ بُيُوتًا فَـٰرِهِينَ

Dan kamu pahat sebahagian dari gunung-gunung untuk dijadikan rumah-rumah dengan rajin.

Ayat 150

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ

Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Dalam ayat-ayat di atas, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Saleh as mengingatkan kaumnya agar tidak melupakan nikmat-nikmat yang telah diberikan-Nya kepada mereka. Baginda mengingatkan agar mereka tidak menganggap mereka akan dibiarkan tinggal kekal dalam negeri mereka dengan aman, menikmati segala kesenangan dengan adanya taman-taman perkebunan dan sungai-sungai yang menumbuhkan tanam-tanaman yang menghasilkan buah-buahan.

Kaum Thamud ini dikurniakan oleh Allah Ta’ala kemahiran memahat dan mengukir. Mereka membina rumah-rumah kediaman di pergunungan dengan memahat gunung. Mereka membina rumah-rumah itu hanyalah untuk bermegah-megah iaitu untuk menunjuk-nunjuk bahawa mereka memiliki kemahiran mengukir dan bukanlah satu keperluan.

Oleh itu, Nabi Saleh as menasihati mereka agar bertakwa kepada Allah dengan melakukan perkara-perkara yang memberikan manfaat kepada mereka di dunia dan di akhirat.

Ayat 151

وَلَا تُطِيعُوٓا۟ أَمْرَ ٱلْمُسْرِفِينَ

Dan janganlah kamu mentaati perintah orang-orang yang melampaui batas.

Ayat 152

ٱلَّذِينَ يُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا يُصْلِحُونَ

Yang membuat kerosakan di muka bumi dan tidak melakukan kebaikan.”

Kemudian Nabi Saleh as melarang kaumnya mengikuti perintah orang-orang yang telah melampaui batas kepada diri mereka dengan berbuat maksiat dan benar-benar melakukan kerosakan di muka bumi dan tidak ada kebaikan sama sekali.

Orang-orang yang melampaui batas itu adalah pemimpin-pemimpin mereka yang mengajak kepada kesyirikan dan kekafiran. Mereka itulah sembilan lelaki yang berada di kota Thamud sebagaimana firman Allah Ta’ala:

“Dan adalah di kota itu sembilan orang lelaki yang membuat kerosakan di muka bumi, dan mereka tidak berbuat kebaikan.”

An-Naml 27:48

Nasihat dan peringatan Nabi Saleh as kepada kaumnya ini juga disebutkan dalam firman Allah yang lain:

“Dan ingatlah ketika Dia menjadikan kamu khalifah-khalifah setelah kaum ‘Aad dan menempatkan kamu di bumi. Di tempat yang datar kamu dirikan istana-istana dan di bukit-bukit kamu pahat menjadi rumah-rumah. Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu membuat kerosakan di bumi.”

Al A’raf 7:74

Ayat 153

قَالُوٓا۟ إِنَّمَآ أَنتَ مِنَ ٱلْمُسَحَّرِينَ

Mereka berkata, “Sesungguhnya kamu adalah salah seorang daripada orang-orang yang terkena sihir.

Ayat 154

مَآ أَنتَ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُنَا فَأْتِ بِـَٔايَةٍ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Kamu tidak lain melainkan seorang manusia seperti kami. Maka datangkanlah sesuatu mukjizat, jika kamu memang termasuk orang-orang yang benar.”

Kaum Thamud berkata kepada Nabi Saleh as bahawa baginda termasuk orang yang terkena sihir sehingga menguasai akalnya dan menasihati mereka seperti itu. Ini kerana baginda hanya seorang manusia biasa yang serupa dengan mereka.

Mereka mengatakan sekiranya Nabi Saleh as adalah benar seorang Rasul seperti yang dikatakannya, maka mereka meminta agar didatangkan sebuah hujjah nyata yang menunjukkan kebenaran kerasulannya.

Ayat 155

قَالَ هَـٰذِهِۦ نَاقَةٌ لَّهَا شِرْبٌ وَلَكُمْ شِرْبُ يَوْمٍ مَّعْلُومٍ

Dia (Saleh) menjawab, “Ini seekor unta betina, ia mempunyai giliran untuk mendapatkan air, dan kamu juga mempunyai giliran untuk mendapatkan air pada hari yang tertentu.

Ayat 156

وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوٓءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابُ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Dan janganlah kamu menyentuhnya (unta betina itu) dengan sesuatu kejahatan, nanti kamu akan ditimpa azab pada hari yang agung (dahsyat).”

Pembesar kaum Thamud berkumpul dan meminta Nabi Saleh as mengeluarkan unta betina dari sebongkah batu dan berjanji untuk beriman kepada baginda dengan menyembah Allah sekiranya permintaan mereka dikabulkan.

Nabi Saleh as pun mendirikan solat dan berdoa kepada Allah Ta’ala agar Dia memperkenankan permohonan kaumnya. Lalu dengan seketika batu yang mereka tunjuk itu terbelah dan keluarlah seekor unta betina yang hamil sama sifat-sifatnya seperti yang mereka minta.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Dan kepada kaum Thamud (Kami utus) saudara mereka, Saleh. Dia berkata, ‘Wahai kaumku! Sembahlah Allah! Tidak ada Ilah bagi kamu selain-Nya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti yang nyata kepadamu daripada Rabb kamu. Ini (seekor) unta betina daripada Allah sebagai tanda bagi kamu. Maka biarkanlah dia makan di bumi Allah, janganlah disakiti, nanti akibatnya kamu akan ditimpa seksaan yang pedih.’”

Al-A’raf 7:73

Ayat 157

فَعَقَرُوهَا فَأَصْبَحُوا۟ نَـٰدِمِينَ

Kemudian mereka membunuhnya, lalu mereka menyesal.

Namun ternyata mereka melanggar ketentuan ini. Salah seorang di antara mereka membunuhnya, manakala yang lain mendiamkannya sahaja, sebagai tanda persetujuan. Dengan persetujuan ini semuanya dianggap ikut terlibat dalam pembunuhan itu.

Lalu mereka berasa kesal atas apa yang telah mereka lakukan, kerana mereka tahu akan akibat daripada perbuatan mereka iaitu datangnya seksaan Allah Ta’ala. Namun penyesalan mereka itu tidak lagi berguna.

Dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala berfirman:

“Kemudian mereka sembelih unta betina itu, dan berlaku angkuh terhadap perintah Rabb mereka. Mereka berkata, ‘Wahai Saleh, datangkanlah apa yang kamu ancamkan kepada kami, jika (betul) kamu termasuk orang-orang yang diutus (Allah).’”

Al-A’raf 7:77

Ayat 158

فَأَخَذَهُمُ ٱلْعَذَابُ ۗ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً ۖ وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ

Maka mereka ditimpa azab. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat bukti yang nyata. Dan kebanyakan mereka tidak beriman.

Mereka diberi tempoh selama tiga hari. Lalu datanglah azab yang mereka tidak sangka sebelumnya berupa gempa bumi yang sangat dahsyat diiringi dengan suara yang bergemuruh. Mereka semua mati bergelimpangan, kecuali Nabi Saleh as dan orang-orang yang beriman dengan risalahnya. 

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Lalu datanglah gempa yang dahsyat menimpa mereka dan mereka pun mati bergelimpangan dalam runtuhan rumah mereka. Kemudian Saleh pergi meninggalkan mereka sambil berkata, ‘Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan risalah Rabbku kepada kamu tetapi kamu tidak menyukai orang yang memberi nasihat.’”

Al-A’raf 7:78-79

Ayat 159

وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Dan sesungguhnya Rabbmu benar-benar Dia-lah yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya pada yang demikian itu, terdapat tanda yang nyata atas kekuasaan Allah Ta’ala dan janji serta ancaman-Nya itu benar-benar akan berlaku. Namun kebanyakan mereka tidak beriman kerana hati mereka telah terkunci mati oleh kesombongan mereka.