Surah 26: Asy-Syu’ara’ (123 – 140)

Kisah Nabi Hud as dan Kaum ‘Aad

Surah 26: Asy-Syu’ara’ (123 – 140)


Ayat 123

كَذَّبَتْ عَادٌ ٱلْمُرْسَلِينَ

(Kaum) ‘Aad telah mendustakan para Rasul.

Ayat 124

إِذْ قَالَ لَهُمْ أَخُوهُمْ هُودٌ أَلَا تَتَّقُونَ

Ketika saudara mereka Hud berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidak bertakwa?

Ayat 125

إِنِّى لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ

Sesungguhnya aku adalah seorang Rasul yang amanah (yang diutus) kepadamu.

Ayat 126

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ

Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Ayat 127

وَمَآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ ۖ إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dan sekali-kali aku tidak minta upah kepadamu atas ajakanku itu, upahku tidak lain hanyalah daripada Rabb seluruh alam.

Dalam rangkaian ayat 123-127 ini, Allah Swt menceritakan kisah Nabi Hud as yang berdakwah kepada kaumnya iaitu kaum ‘Aad. Mereka ini hidup setelah zaman Nabi Nuh as. Mereka mempunyai tubuh badan, tenaga dan kemampuan yang sangat kuat, namun meskipun diberikan anugerah yang tidak terhingga itu, mereka tetap juga menentang ajaran baginda. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Dan itulah (kisah) kaum ‘Aad yang mengingkari tanda-tanda kekuasaan Rabb mereka, dan menderhakai Rasul-rasul-Nya dan mereka menuruti perintah semua penguasa yang angkuh lagi derhaka (menentang kebenaran). Dan mereka selalu dilaknat di dunia ini dan (begitu juga) pada Hari Kiamat. Ingatlah, sesungguhnya kaum ‘Aad itu kafir kepada Rabb mereka. Ingatlah kebinasaanlah bagi kaum ‘Aad (iaitu) kaum Hud itu.”

Hud 11:59-60

Nabi Hud as memberikan peringatan kepada kaumnya sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Nuh as kepada kaumnya. Baginda mengucapkan perkara yang sama kerana tugas mereka masing-masing menyeru kaum mereka mengesakan Allah Ta’ala dan taat kepada-Nya dengan meninggalkan penyembahan kepada selain-Nya agar terhindar daripada azab sekiranya menentang-Nya. Allah Ta’ala juga berfirman dalam ayat yang lain:

“Dan kepada kaum ‘Aad (Kami utus) saudara mereka Hud. Dia berkata, ‘Wahai kaumku! Sembahlah Allah, Tidak ada Ilah bagimu selain Dia. Kamu hanyalah mengada-adakan sahaja.’”

Hud 11:50

Nabi Hud as menyatakan bahawa baginda tidak meminta upah daripada kaumnya atas nasihat yang disampaikannya. Baginda hanya menyerahkan kepada Allah Ta’ala untuk membalasnya. Ini sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Wahai kaumku! Aku tidak meminta balasan kepadamu atas (seruanku) ini. Balasanku hanyalah daripada Allah yang telah menciptakanku. Tidakkah kamu mengerti?”

Hud 11:51

Ayat 128

أَتَبْنُونَ بِكُلِّ رِيعٍ ءَايَةً تَعْبَثُونَ

Adakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermain-main.

Ayat 129

وَتَتَّخِذُونَ مَصَانِعَ لَعَلَّكُمْ تَخْلُدُونَ

Dan kamu membuat benteng-benteng dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)?

Ayat 130

وَإِذَا بَطَشْتُم بَطَشْتُمْ جَبَّارِينَ

Dan apabila kamu menyeksa, maka kamu menyeksa secara kejam dan bengis.

Kemudian Nabi Hud as berdialog dengan kaumnya dalam tiga perkara iaitu:

1.  Adakah dengan mendirikan bangunan yang kuat, besar, menjulang tinggi dan menakjubkan di setiap tempat yang tinggi itu merupakan tanda kekuatan, kemuliaan dan kekayaan hanya untuk menyombongkan diri?

Sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah sia-sia, hiburan dan untuk mempamerkan kekuatan bukan untuk memenuhi keperluan mereka. Perbuatan mereka itu adalah mensia-siakan waktu dengan menyibukkan diri kepada sesuatu yang tidak membawa manfaat di dunia mahupun di akhirat.

2.  Mereka mendirikan istana-istana dan benteng-benteng yang kuat, seolah-olah mereka akan kekal hidup selama-lamanya di dunia dan tidak akan mati.

3.  Memperlakukan manusia lain dengan tindakan kejam dan zalim dengan penuh kesombongan kerana mereka adalah satu bangsa yang kuat, kasar, keras, sombong dan angkuh.

Ayat-ayat ini merupakan peringatan kepada manusia bahawa kecintaan yang melampau terhadap dunia merupakan satu kesalahan dan membawa kepada kekafiran dan maksiat.

Ayat 131

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ

Maka bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Ayat 132

وَٱتَّقُوا۟ ٱلَّذِىٓ أَمَدَّكُم بِمَا تَعْلَمُونَ

Dan tetaplah kamu bertakwa kepada-Nya yang telah menganugerahkan kepadamu apa yang kamu ketahui.

Seterusnya, Nabi Hud as menasihati kaumnya agar takut kepada hukuman Allah Ta’ala. Baginda menyeru mereka menyembah-Nya yang telah memberikan kelebihan kepada mereka dan taat kepada Rasul-Nya.

Ayat 133

أَمَدَّكُم بِأَنْعَـٰمٍ وَبَنِينَ

Dia (Allah) telah menganugerahkan kepadamu haiwan-haiwan ternakan dan anak-anak.

Ayat 134

وَجَنَّـٰتٍ وَعُيُونٍ

Dan kebun-kebun dan mata air.

Ayat 135

إِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar.”

Kemudian Nabi Hud as mengingatkan kaumnya tentang nikmat dan rezeki yang melimpah berupa haiwan ternak, kebun-kebun yang baik dan sungai-sungai yang dianugerahkan Allah Ta’ala kepada mereka.

Mereka juga diingatkan agar menjadi hamba-hamba Allah Ta’ala yang bersyukur dengan beribadah hanya kepada-Nya yang telah menganugerahkan nikmat itu kepada mereka. Ini kerana sekiranya mereka kufur dengan menolak kebenaran, mereka akan ditimpakan azab pada hari yang sangat menakutkan.

Ayat 136

قَالُوا۟ سَوَآءٌ عَلَيْنَآ أَوَعَظْتَ أَمْ لَمْ تَكُن مِّنَ ٱلْوَٰعِظِينَ

Mereka menjawab, “Adalah sama sahaja bagi kami, apakah kamu memberi nasihat atau tidak memberi nasihat.

Walaupun Nabi Hud as telah menyampaikan peringatan kepada kaumnya dengan menarik perhatian (targhib) dan menakut-nakutkan (tarhib), namun dakwah baginda tidak memberikan manfaat sedikit pun kepada mereka. Dalam ayat yang lain Allah Ta’ala berfirman:

“Mereka (kaum ‘Aad) berkata, ‘Wahai Hud! Engkau tidak mendatangkan suatu bukti yang nyata kepada kami, dan kami tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana seruanmu, dan kami sekali-kali tidak akan mempercayaimu.’”

Hud 11:53

Ayat 137

إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا خُلُقُ ٱلْأَوَّلِينَ

(Agama kami) ini tidak lain hanyalah adat kebiasaan orang-orang terdahulu.

Ayat 138

وَمَا نَحْنُ بِمُعَذَّبِينَ

Dan kami (sama sekali) tidak akan diazab.”

Kaum Nabi Hud as mengatakan bahawa apa yang mereka lakukan pada masa itu hanyalah mengikuti adat kebiasaan orang-orang terdahulu. Mereka mengikuti jejak langkah nenek moyang mereka dan menjalani kehidupan mengikut gaya hidup yang sama seperti mereka.

Mereka juga mengatakan bahawa mereka tidak akan dibangkitkan lagi setelah mereka mati kerana tidak percaya adanya hari kebangkitan. Oleh itu, mereka yakin tidak ada balasan syurga atau neraka dan mereka tidak akan diazab.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Mereka berkata, ‘Adakah engkau datang kepada kami, agar kami hanya menyembah Allah sahaja dan meninggalkan apa yang biasa disembah oleh nenek moyang kami? Maka buktikanlah azab yang kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar.’”

Al-A’raf 7:70

Ayat 139

فَكَذَّبُوهُ فَأَهْلَكْنَـٰهُمْ ۗ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً ۖ وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ

Maka mereka mendustakannya (Hud), lalu Kami binasakan mereka. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.

Ayat 140

وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Dan sesungguhnya Rabbmu, Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa kaum Nabi Hud as tetap mendustakan risalah yang dibawanya sehingga Dia membinasakan mereka dengan angin yang sangat luar biasa kencangnya dan dingin yang sangat dahsyat.

Azab yang ditimpakan kepada mereka itu sangat sesuai dengan kederhakaan yang mereka lakukan terhadap Nabi Hud as. Mereka berasa diri mereka kuat dan dengan itu mereka berlaku kasar dan bengis kepada baginda.

Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:

“Maka adapun kaum ‘Aad maka mereka menyombongkan diri di muka bumi tanpa alasan yang benar dan berkata, ‘Siapakah yang lebih besar kekuatannya dari kami?’ Dan apakah mereka itu tidak memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka adalah lebih besar kekuatan-Nya daripada mereka? Dan adalah mereka mengingkari tanda-tanda (kekuatan) Kami.”

Fussilat 41:15

“Dan adapun kaum ‘Aad (kaum Nabi Hud), mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, yang diarahkan-Nya menimpa mereka selama tujuh malam lapan hari terus-menerus, (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum (‘Aad) pada waktu itu mati bergelimpangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang (kosong).”

Al-Haqqah 69:6-7

Sesungguhnya kebinasaan kaum ‘Aad akibat pendustaan mereka terhadap Rasul yang diutus kepada mereka merupakan pelajaran bagi seluruh bangsa yang diutus kepada mereka pembawa risalah daripada Allah Ta’ala. Namun Dia Maha Penyayang kepada hamba-Nya yang beriman dan bertaubat memperbaiki diri.