Kisah Nabi Nuh as dan Kaumnya
Surah 26: Asy-Syu’ara’ (105 – 122)
Ayat 105
كَذَّبَتْ قَوْمُ نُوحٍ ٱلْمُرْسَلِينَ
Kaum Nuh telah mendustakan para Rasul.
Ayat 106
إِذْ قَالَ لَهُمْ أَخُوهُمْ نُوحٌ أَلَا تَتَّقُونَ
Ketika saudara mereka (Nuh) berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidak bertakwa?
Ayat 107
إِنِّى لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ
Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu.
Ayat 108
فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ
Maka bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.
Ayat 109
وَمَآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ ۖ إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Dan aku tidak minta upah kepadamu atas ajakan-ajakan itu, upahku tidak lain hanyalah daripada Rabb semesta alam.
Ayat 110
فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ
Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.”
Dalam ayat 105 hingga 110 ini, Allah Swt menceritakan kisah Nabi Nuh as iaitu Rasul-Nya yang pertama yang diutuskan ke muka bumi setelah penduduk bumi ada yang mulai menyembah berhala dan sembahan lainnya. Nabi Nuh as diutuskan-Nya agar baginda melarang dan mengancam kaumnya dengan seksa api neraka yang pedih.
Nabi Nuh as menghadapi tentangan yang hebat daripada kaumnya. Mereka mendustakan dan menolak dakwah baginda sebagaimana ucapan mereka dalam firman Allah Ta’ala yang lain:
“Pembesar-pembesar (pemuka-pemuka) kaumnya berkata, ‘Sesungguhnya kami memandang kamu benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.’”
Al-A’raf 7:60
Nabi Nuh as mempersoalkan kaumnya dengan mengatakan mengapa mereka tidak takut kepada Allah semasa mereka menyembah kepada selain-Nya. Oleh itu, baginda menasihati kaumnya agar mereka bertakwa kepada-Nya. Firman-firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dan sungguh, Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata, ‘Wahai kaumku! Sembahlah Allah, (kerana) tidak ada Ilah (yang berhak disembah) bagimu selain Dia. Maka mengapa kamu tidak bertakwa (kepadaNya)?’”
Al-Mu’minun 23:23
“Sesungguhnya Kami benar-benar telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata, ‘Wahai kaumku! Sembahlah Allah! Tidak ada Ilah (sembahan) bagimu selain Dia. Sesungguhnya (kalau kamu tidak menyembah Allah), aku takut kamu akan ditimpa azab pada hari yang dahsyat (Kiamat).’”
Al-A’raf 7:59
Kemudian Nabi Nuh as mengingatkan kaumnya tentang dua perkara:
Pertama
▪️ Baginda adalah utusan Allah yang bertugas menyampaikan ajaran yang diwahyukan kepadanya dengan jujur. Segala perintah Allah kesemuanya disampaikan tanpa menambah atau menguranginya sedikit pun.
Kedua
▪️ Baginda tidak meminta upah daripada kaumnya atas nasihat yang disampaikannya. Baginda hanya menyerahkan kepada Allah untuk membalasnya.
Oleh itu, Nabi Nuh as sekali lagi memberi peringatan kepada kaumnya agar mereka bertakwa kepada Allah dengan mengikuti segala nasihatnya.
Ayat 111
قَالُوٓا۟ أَنُؤْمِنُ لَكَ وَٱتَّبَعَكَ ٱلْأَرْذَلُونَ
Mereka berkata, “Apakah kami akan beriman kepadamu, padahal pengikut-pengikutmu adalah orang-orang yang hina?”
Kaum Nabi Nuh as menolak untuk beriman dan bersama-sama dengan pengikut baginda yang mereka anggap terdiri daripada orang-orang yang rendah kedudukannya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Maka berkatalah pembesar-pembesar yang kafir daripada kaumnya, ‘Kami tidak melihat engkau, melainkan hanyalah seorang manusia (biasa) seperti kami, dan kami tidak melihat orang-orang yang mengikuti engkau, melainkan orang-orang yang hina dina di antara kami yang cepat percaya. Kami tidak melihat kamu memiliki sesuatu kelebihan apa pun atas kami, bahkan kami menganggap kamu adalah orang yang berdusta.’”
Hud 11:27
Ayat 112
قَالَ وَمَا عِلْمِى بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Dia (Nuh) menjawab, “Bagaimana aku mengetahui apa yang telah mereka kerjakan?
Dalam ayat sebelum ini, kaum Nabi Nuh as yang ingkar, sombong dan takbur telah menghina pengikut-pengikut baginda yang telah mempercayai risalah yang dibawanya. Ini kerana pengikut-pengikutnya itu bukanlah daripada golongan pembesar dan bukan juga daripada golongan yang kaya raya. Ada pendapat mengatakan mereka adalah daripada golongan buruh.
Lalu dalam ayat ini, Nabi Nuh as menyatakan bahawa baginda tidak ditugaskan untuk mengetahui pekerjaan mereka. Baginda hanyalah diperintahkan untuk mengajak kepada keimanan tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Oleh itu bagi orang-orang yang mentaatinya, mereka akan mendapat kebahagiaan di sisi Allah Ta’ala sama ada mereka itu orang-orang yang terhormat ataupun yang rendah kedudukan mereka.
Ayat 113
إِنْ حِسَابُهُمْ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّى ۖ لَوْ تَشْعُرُونَ
Perhitungan (amal perbuatan) mereka tidak lain hanyalah kepada Rabbku, kalau kamu menyedari.
Kemudian Nabi Nuh as menyatakan lagi bahawa sekiranya kaum yang kufur itu mengetahui bahawa perhitungan amal ibadah seseorang itu hanya kepada Allah Ta’ala, mereka tidak akan mengejek pengikut-pengikutnya berdasarkan pekerjaan mereka.
Ayat 114
وَمَآ أَنَا۠ بِطَارِدِ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Dan aku sekali-kali tidak akan mengusir orang-orang yang beriman.
Ayat 115
إِنْ أَنَا۠ إِلَّا نَذِيرٌ مُّبِينٌ
Aku (ini) tidak lain melainkan pemberi peringatan yang jelas.”
Nabi Nuh as mengatakan baginda sekali-kali tidak akan mengusir orang-orang yang mengimani dakwah baginda walau apa pun keadaan mereka hanya kerana ingin memenuhi keinginan kaumnya yang kufur lagi sombong itu.
Pada akhir ayat ini, Nabi Nuh as menegaskan bahawa baginda tidak lain hanyalah pemberi peringatan dengan membawa amaran yang jelas. Ini sebagaimana firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya (dengan perintah), ‘Berilah kaummu peringatan sebelum datang kepadanya azab yang pedih.’”
Nuh 71:1
Ayat 116
قَالُوا۟ لَئِن لَّمْ تَنتَهِ يَـٰنُوحُ لَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلْمَرْجُومِينَ
Mereka berkata, “Sungguh jika kamu tidak (mahu) berhenti wahai Nuh, nescaya benar-benar kamu akan termasuk orang-orang yang direjam.”
Setelah Nabi Nuh as berhasil membuatkan mereka terdiam dengan segala ucapannya itu, orang-orang kafir tidak menemui cara lain selain mengancam baginda.
Oleh itu, orang-orang kafir itu mengatakan sekiranya baginda tidak berhenti mengajak mereka kepada agamanya, maka mereka akan merejam baginda. Ini merupakan ancaman pembunuhan daripada kaumnya yang ingkar.
Ayat 117
قَالَ رَبِّ إِنَّ قَوْمِى كَذَّبُونِ
Dia (Nuh) berkata, “Wahai Rabbku, sesungguhnya kaumku telah mendustakan aku.
Ayat 118
فَٱفْتَحْ بَيْنِى وَبَيْنَهُمْ فَتْحًا وَنَجِّنِى وَمَن مَّعِىَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Maka berikanlah suatu keputusan antara aku dengan mereka, dan selamatkanlah aku dan orang-orang yang beriman bersama denganku.”
Tatkala Nabi Nuh as berputus asa daripada keimanan kaumnya yang degil lagi sombong itu, baginda memohon kepada Allah Ta’ala agar memberi keputusan yang adil antara baginda dengan mereka sebagaimana firman-firman-Nya:
“Maka dia (Nuh) mengadu kepada Rabbnya, ‘Sesungguhnya aku telah dikalahkan, maka tolonglah (aku).’”
Al-Qamar 54:10
“Dan sungguh, Nuh telah berdoa kepada Kami, maka sesungguhnya Kami-lah sebaik-baik yang memperkenankan doa.”
As-Saffat 37:75
Kemudian Nabi Nuh as memohon kepada Allah Swt agar menyelamatkan baginda dan pengikut-pengikutnya yang beriman daripada azab-Nya.
Ayat 119
فَأَنجَيْنَـٰهُ وَمَن مَّعَهُۥ فِى ٱلْفُلْكِ ٱلْمَشْحُونِ
Maka Kami selamatkan Nuh dan orang-orang yang bersama dengannya di dalam kapal yang penuh muatan.
Ayat 120
ثُمَّ أَغْرَقْنَا بَعْدُ ٱلْبَاقِينَ
Kemudian setelah itu Kami tenggelamkan orang-orang yang tinggal.
Seterusnya, Allah Swt mengabulkan permohonan Nabi Nuh as. Dia menyelamatkan baginda bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman dalam bahtera yang dipenuhi barang-barang dan pelbagai jenis haiwan. Dia juga menenggelamkan kaum baginda yang ingkar dalam banjir yang besar.
Allah Swt menyatakan kisah ini dalam firman-firman-Nya yang lain:
“Maka mereka mendustakannya (Nuh), lalu kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersama dengannya di dalam kapal. Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya).”
Al-A’raf 7:64
“Maka Kami bukakan pintu-pintu langit dengan (menurunkan) air yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air maka bertemulah (semua air itu) untuk suatu urusan yang sungguh telah ditetapkan. Dan Kami angkut dia (Nuh) ke atas (bahtera) yang dibuat daripada papan dan paku.”
Al-Qamar 54:11-13
Ayat 121
إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً ۖ وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.
Sesungguhnya dengan terselamatnya orang-orang beriman dan tenggelamnya orang-orang yang kafir dalam peristiwa ini merupakan pelajaran dan nasihat bagi orang-orang yang mahu berfikir.
Allah Swt menyebutkan peristiwa ini dalam firman-Nya yang lain:
“Sesungguhnya ketika air telah naik (sampai ke gunung) Kami membawa (nenek moyang) kamu ke dalam kapal, agar Kami jadikan (peristiwa itu) sebagai peringatan bagi kamu dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar.”
Al-Haqqah 69:11-12
Ayat 122
وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ
Dan sesungguhnya Rabbmu Dia-lah yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.
Allah Swt Maha Kuat untuk membalas perbuatan orang-orang yang derhaka dan menyombongkan dirinya dengan menolak seruan para Rasul-Nya. Dia Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya yang taat kepada-Nya, berserah diri dan bertaubat kepada-Nya.