Surah 25: Al-Furqan (75 – 77)

Balasan kepada ‘Ibadurrahman dan Orang Musyrik

Surah 25: Al-Furqan (75 – 77)


Ayat 75

أُو۟لَـٰٓئِكَ يُجْزَوْنَ ٱلْغُرْفَةَ بِمَا صَبَرُوا۟ وَيُلَقَّوْنَ فِيهَا تَحِيَّةً وَسَلَـٰمًا

Mereka itulah orang yang akan diberi balasan dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) atas kesabaran mereka dan mereka akan disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya.

Ayat 76

خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ حَسُنَتْ مُسْتَقَرًّا وَمُقَامًا

Mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.

Setelah Allah Ta’ala menghuraikan sifat-sifat hamba-hamba-Nya yang beriman yang merupakan sifat-sifat terpuji, maka dalam ayat ini Dia menjanjikan mereka dengan balasan syurga yang penuh kemuliaan. Mereka kekal di dalamnya sebagaimana firman-Nya:

“Adapun orang-orang yang berbahagia, maka (tempatnya) di dalam syurga, mereka kekal di dalamnya…..”

Hud 11:108

Ayat 77

قُلْ مَا يَعْبَؤُا۟ بِكُمْ رَبِّى لَوْلَا دُعَآؤُكُمْ ۖ فَقَدْ كَذَّبْتُمْ فَسَوْفَ يَكُونُ لِزَامًا

Katakanlah (kepada orang-orang musyrik), “Rabbku tidak mengendahkan kamu, melainkan kalau ada ibadahmu. (Tetapi bagaimana kamu beribadah kepada-Nya), padahal kamu sungguh telah mendustakan-Nya? Kerana itu kelak (azab) pasti (menimpamu).”

Pada akhir surah ini, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw memberitahu orang-orang musyrik bahawa Dia tidak mempedulikan mereka kerana mereka tidak beribadah kepada-Nya. Padahal Dia menciptakan makhluk-Nya agar beribadah kepada-Nya, mengesakan-Nya dan mensucikan-Nya. Dia juga tidak memerlukan peribadatan hamba-hamba-Nya, tetapi sebenarnya manfaat ketaatan itu adalah bagi hamba-hamba-Nya sendiri.

Oleh itu, sikap pendustaan mereka yang mereka tunjukkan kelak akan menyeret mereka ke dalam seksaan yang pedih di dunia dan di akhirat. Pentafsiran ini dikemukakan oleh Abdullah bin Mas’ud, Ubay bin Ka’ab, Mujahid, Adh-Dhahhak, Qatadah dan sebahagian yang lain.