Penentangan dan Pendustaan Orang Kafir terhadap Kerasulan Nabi Muhammad saw dan Hari Kiamat
Surah 25: Al-Furqan (7 – 11)
Ayat 7
وَقَالُوا۟ مَالِ هَـٰذَا ٱلرَّسُولِ يَأْكُلُ ٱلطَّعَامَ وَيَمْشِى فِى ٱلْأَسْوَاقِ ۙ لَوْلَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مَلَكٌ فَيَكُونَ مَعَهُۥ نَذِيرًا
Dan mereka berkata, “Mengapa Rasul ini makan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengannya.
Ayat 8
أَوْ يُلْقَىٰٓ إِلَيْهِ كَنزٌ أَوْ تَكُونُ لَهُۥ جَنَّةٌ يَأْكُلُ مِنْهَا ۚ وَقَالَ ٱلظَّـٰلِمُونَ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلًا مَّسْحُورًا
Atau (mengapa tidak) diturunkan kepadanya perbendaharaan, atau (mengapa tidak) ada kebun baginya, yang dia dapat makan daripada (hasil)nya?” Dan orang-orang yang zalim itu berkata, “Kamu sekalian tidak lain hanyalah mengikuti seorang lelaki yang kena sihir.”
Sebelum ini orang-orang kafir menuduh Rasulullah saw mereka-reka Al-Quran, dalam ayat ini pula Dia menyatakan mereka menyebutkan lima sifat yang ada pada baginda yang menyebabkan baginda tidak layak menjadi Rasul-Nya, iaitu:
▪️ Baginda bukanlah seorang Rasul kerana tidak memiliki apa-apa keistimewaan. Baginda makan dan minum seperti manusia biasa. Pada anggapan mereka seorang utusan Allah itu mestilah mempunyai keistimewaan seperti tidak perlu makan dan minum sebagaimana malaikat.
▪️ Baginda sentiasa pergi dan balik dari pasar untuk mencari nafkah untuk keperluan hidup dengan berdagang.
▪️ Tidak ada malaikat diturunkan bersama-sama baginda yang boleh menjadi saksi terhadap kebenaran pengakuannya dan membantah sesiapa yang menyelisihinya.
▪️ Tidak diturunkan harta dari langit kepada baginda sehingga baginda tidak perlu bekerja dan berulang alik ke pasar mencari nafkah.
▪️ Sekurang-kurangnya baginda terdiri dalam golongan orang-orang yang kaya, mempunyai kebun dan dapat hidup serta makan daripada hasilnya.
Oleh itu, orang-orang kafir ini mengatakan Nabi Muhammad saw adalah seorang yang telah terkena sihir dan terencat akalnya.
Para pembesar Quraisy juga berusaha menentang Rasullullah saw agar baginda meninggalkan dakwahnya. Mereka menawarkan harta, takhta dan wanita serta kedudukan, tetapi baginda dengan tegas menolak tawaran tersebut. Akhirnya mereka berkata kepada baginda sebagaimana ayat-ayat di atas. Ini merupakan penentangan terhadap kebenaran tanpa ada dalil yang jelas.
Mereka juga mengatakan sesiapa yang mengikuti seruan baginda, telah terkena sihir iaitu telah ditipu dan fikirannya sudah tidak waras.
Ayat 9
ٱنظُرْ كَيْفَ ضَرَبُوا۟ لَكَ ٱلْأَمْثَـٰلَ فَضَلُّوا۟ فَلَا يَسْتَطِيعُونَ سَبِيلًا
Perhatikanlah, bagaimana mereka membuat perbandingan-perbandingan tentang kamu, lalu sesatlah mereka, mereka tidak sanggup (mendapatkan) jalan (untuk menentang kerasulanmu).
Kemudian Allah Ta’ala menjawab tuduhan orang-orang musyrik dengan menyatakan bahawa perumpamaan atau tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada Rasullullah saw sebagai seorang ahli sihir, penyair dan gila adalah batil dan omong-omong kosong belaka. Mereka telah tersesat dari jalan kebenaran sehingga tidak dapat diharapkan lagi untuk mendapat hidayah. Oleh itu, mereka telah sesat daripada petunjuk-Nya.
Ayat 10
تَبَارَكَ ٱلَّذِىٓ إِن شَآءَ جَعَلَ لَكَ خَيْرًا مِّن ذَٰلِكَ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ وَيَجْعَل لَّكَ قُصُورًا
Maha Suci (Allah) yang jika Dia menghendaki, nescaya dijadikan-Nya bagimu yang lebih baik daripada yang demikian, (iaitu) syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, dan dijadikan-Nya (pula) untukmu istana-istana.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa sekiranya Dia kehendaki, nescaya Dia mampu mendatangkan anugerah kepada Rasulullah saw yang jauh lebih besar, lebih utama dan lebih berharga daripada apa yang mereka katakan di dunia.
Ayat 11
بَلْ كَذَّبُوا۟ بِٱلسَّاعَةِ ۖ وَأَعْتَدْنَا لِمَن كَذَّبَ بِٱلسَّاعَةِ سَعِيرًا
Bahkan mereka mendustakan Hari Kiamat. Dan Kami menyediakan neraka yang menyala-nyala bagi siapa yang mendustakan Hari Kiamat.
Perkataan atau tuduhan keji yang dilemparkan kepada Rasullullah saw adalah semata-mata ingin mendustakan dan menentang baginda. Bahkan pendustaan mereka terhadap Hari Kiamat menjadikan mereka berani mengeluarkan kata-kata keji kepada baginda.
Allah Ta’ala mengancam mereka dengan menyatakan bahawa Dia menyediakan azab yang pedih dan sangat panas yang tidak mungkin dapat dibendung kepedihannya iaitu di Neraka Jahannam.