Penjelasan tentang Sebahagian daripada Sifat-sifat Allah Swt
Surah 25: Al-Furqan (59 – 62)
Ayat 59
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِى سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ ۚ ٱلرَّحْمَـٰنُ فَسْـَٔلْ بِهِۦ خَبِيرًا
Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara kedua-duanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy, (Dia-lah) yang Maha Pemurah. Maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia.
Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Mengetahui setiap sesuatu dan Dia-lah yang menciptakan langit tujuh lapis dan bumi tujuh lapis dalam enam masa dengan kekuasaan-Nya dan kebesaran-Nya. Kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy yang sesuai dengan keagungan-Nya.
Allah Ta’ala adalah Ar-Rahman iaitu Yang Maha Pemurah. Maka Dia menyuruh Rasulullah saw bertanyakan tentang sifat-Nya kepada Yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya Dia-lah yang mengetahui sifat-sifat-Nya, kebesaran, dan keagungan-Nya, dan tidak seorang pun yang lebih mengetahui tentang-Nya dan lebih teliti tentang-Nya selain hamba dan Rasul-Nya iaitu baginda saw.
Rasulullah saw tidak pernah memperkatakan sesuatu menurut hawa nafsunya bahkan apa yang dikatakan oleh baginda adalah wahyu yang diturunkan kepadanya. Oleh itu, segala perkara yang sesuai dengan perbuatan dan sabda baginda itulah yang benar. Manakala perkara yang menyalahi perbuatan dan sabda baginda hendaklah ditolak. Jika ada yang tidak sesuai dengan perbuatan dan sabda baginda maka dikembalikan kepada Allah dan Rasul-Nya. Firman-Nya:
“……………Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya)…………..”
An-Nisa’ 4:59
Ayat 60
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱسْجُدُوا۟ لِلرَّحْمَـٰنِ قَالُوا۟ وَمَا ٱلرَّحْمَـٰنُ أَنَسْجُدُ لِمَا تَأْمُرُنَا وَزَادَهُمْ نُفُورًا
Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Sujudlah kamu sekalian kepada yang Maha Pemurah,” mereka menjawab, “Siapakah yang Maha Pemurah itu? Apakah Kami akan sujud kepada Tuhan yang kamu perintahkan kami (bersujud kepada-Nya)?” Dan (perintah sujud itu) menambah mereka jauh (dari iman).
Allah Ta’ala menyatakan orang-orang kafir membalas kenikmatan daripada-Nya setelah ditunjukkan dalil-dalil dan hujjah-hujjah yang jelas dan nyata dengan kekufuran dan kesombongan. Mereka mengingkari salah satu sifat-Nya iaitu الرَّحْمَٰنُ dengan menyatakan mereka tidak mengetahui tentang الرَّحْمَٰنُ dan bagaimana mereka hendak bersujud kepada-Nya.
Oleh itu, perintah bersujud kepada Allah ini menjadikan mereka bertambah jauh daripada keimanan dan menjadi lebih kufur daripada kebenaran.
Para ulama bersepakat bahawa disunnahkan untuk bersujud pada saat mendengar atau membaca ayat sajdah pada ayat 60 ini. Ini adalah akhlak seorang mukmin yang mengesakan Allah Ta’ala.
Ayat 61
تَبَارَكَ ٱلَّذِى جَعَلَ فِى ٱلسَّمَآءِ بُرُوجًا وَجَعَلَ فِيهَا سِرَٰجًا وَقَمَرًا مُّنِيرًا
Maha Suci Allah yang menjadikan di langit gugusan-gugusan bintang dan Dia menjadikan juga padanya matahari dan bulan yang bercahaya.
Allah Ta’ala mengagungkan dan membesarkan Zat-Nya, atas apa yang diciptakan-Nya dilangit berupa ‘buruj’ iaitu gugusan bintang-bintang yang berukuran besar. Semuanya merupakan rahmat-Nya untuk keperluan hamba-hamba-Nya, sebagaimana disebutkan dalam firman-firman-Nya yang lain:
“Dan sesunguhnya telah Kami hiasi langit yang dekat, dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan……”
Al-Mulk 67:5
“Dan Kami menjadikan pelita yang terang benderang (matahari).”
An-Naba’ 78:13
“Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya……”
Yunus 10:5
Ayat 62
وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ خِلْفَةً لِّمَنْ أَرَادَ أَن يَذَّكَّرَ أَوْ أَرَادَ شُكُورًا
Dan Dia (pula) yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang ingin bersyukur.
Allah Ta’ala menjadikan malam dan siang berputar secara bergantian, kedua-duanya menjalankan tugas tidak pernah berhenti. Apabila satu lenyap maka satu lagi muncul dan begitulah sebaliknya.
Hal yang sama dijelaskan dalam firman-firman Allah Swt yang lain:
“Dan Dia telah menundukkan (pula) matahari dan bulan bagi kamu yang terus-menerus beredar (dalam orbitnya); dan telah menundukkan bagi kamu malam dan siang.”
Ibrahim 14:33
“Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan, dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.”
Yasin 36:40
Maksud ayat, “Bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang ingin bersyukur,” ialah Allah Ta’ala menjadikan siang dan malam silih berganti sebagai panduan untuk para hamba-Nya beribadah kepada-Nya. Sesiapa yang luput waktu beramal pada waktu malam, dia dapat meraihnya pada waktu siang. Sesiapa yang luput beramal pada waktu siang, dia dapat meraihnya pada waktu malam.
Dalam hadis sahih disebutkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah Swt membentangkan tangan-Nya pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan kesalahan pada waktu siang, dan membentangkan tangan-Nya pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang melakukan kesalahan pada waktu malam.”
(HR. Muslim)