Ciptaan Allah Swt yang Menunjukkan Kewujudan-Nya
Surah 25: Al-Furqan (45 – 54)
Ayat 45
أَلَمْ تَرَ إِلَىٰ رَبِّكَ كَيْفَ مَدَّ ٱلظِّلَّ وَلَوْ شَآءَ لَجَعَلَهُۥ سَاكِنًا ثُمَّ جَعَلْنَا ٱلشَّمْسَ عَلَيْهِ دَلِيلًا
Tidakkah kamu memerhatikan (penciptaan) Rabbmu, bagaimana Dia memanjangkan (dan memendekkan) bayang-bayang dan sekiranya Dia menghendaki, nescaya Dia jadikannya (bayang-bayang itu) tetap, kemudian Kami jadikan matahari sebagai petunjuk.
Setelah Allah Ta’ala menerangkan tentang kejahilan orang-orang musyrik yang menentang bukti keesaan-Nya, lalu dalam ayat 45-54 ini dijelaskan pula 5 bukti yang dapat dilihat bagi menunjukkan kewujudan-Nya yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana.
Pertama
▪️ Betapa ajaib ciptaan-Nya berupa bayang-bayang. Allah Ta’ala telah menjadikan bayang-bayang yang keadaannya mula-mula kelihatan memanjang ketika matahari mula terbit kemudian pendek apabila matahari berada pada tengah-tengah langit, seterusnya memanjang kembali ketika matahari beransur-ansur terbenam. Bayang-bayang itu dapat dijadikan teduhan oleh manusia daripada kepanasan matahari.
Sekiranya Allah Ta’ala menghendaki bayang-bayang itu berada dalam keadaan tetap, nescaya Dia boleh melakukannya. Namun Dia tidak melakukannya malah Dia menjadikan bayang-bayang itu berubah-ubah, lalu menjadikannya sebagai ukuran waktu. Firman-Nya:
“Katakanlah (Wahai Muhammad), ‘Bagaimana pendapatmu, jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai Hari Kiamat, siapakah Rabb selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu. Apakah kamu tidak mendengar?’”
Al-Qasas 28:71
Maksud ayat, “Kemudian Kami jadikan matahari sebagai petunjuk,” ialah seandainya matahari tidak terbit, nescaya bayang-bayang itu tidak diketahui. Qatadah dan As-Suddi mengatakan kedudukan matahari menjadi tanda bagi bayangan. Ini bermaksud kedudukan matahari mempengaruhi bayang-bayang tersebut sehingga ketika matahari berada tegak di atas kepala, matahari akan menutup bayang-bayang.
Ayat 46
ثُمَّ قَبَضْنَـٰهُ إِلَيْنَا قَبْضًا يَسِيرًا
Kemudian Kami menariknya (bayang-bayang itu) kepada Kami sedikit demi sedikit.
Kemudian Allah Ta’ala menghilangkan bayang-bayang itu perlahan-lahan sesuai dengan terbenamnya matahari sedikit demi sedikit.
Ayat 47
وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ لِبَاسًا وَٱلنَّوْمَ سُبَاتًا وَجَعَلَ ٱلنَّهَارَ نُشُورًا
Dan Dia-lah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian, dan tidur untuk istirahat dan Dia menjadikan siang untuk bangkit berusaha.
Kedua
▪️ Allah Ta’ala menjadikan malam sebagai penutup bagi manusia dengan kegelapannya, sebagaimana pakaian menutupi badan dan menjadikan tidur agar badan dapat beristirahat, kerana tidur memberikan kerehatan dan ketenangan. Manakala Dia menjadikan siang untuk manusia bertebaran di muka bumi dan mencari penghidupan.
Firman Allah dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan malam apabila menutupi (cahaya siang).”
Al-Lail 92:1
“Dan adalah kerana rahmat-Nya, Dia menjadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu beristirahat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian daripada kurniaan-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.”
Al-Qasas 28:73
Ayat 48
وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ ٱلرِّيَـٰحَ بُشْرًۢا بَيْنَ يَدَىْ رَحْمَتِهِۦ ۚ وَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً طَهُورًا
Dia-lah yang meniupkan angin (sebagai) pembawa berita gembira, sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan) dan Kami turunkan dari langit air yang sangat bersih.
Ayat 49
لِّنُحْـِۧىَ بِهِۦ بَلْدَةً مَّيْتًا وَنُسْقِيَهُۥ مِمَّا خَلَقْنَآ أَنْعَـٰمًا وَأَنَاسِىَّ كَثِيرًا
Agar (dengan air itu) Kami menghidupkan negeri (tanah) yang mati (tandus) dan Kami memberi minum kepada sebahagian daripada apa yang Kami ciptakan, (berupa) binatang-binatang ternakan dan manusia yang ramai.
Ketiga
▪️ Allah Ta’ala mengirimkan angin yang membawa awan yang mengandungi berita gembira bagi manusia dengan (turunnya) hujan sebagai rahmat daripada-Nya.
Manusia dan haiwan termasuk binatang ternak sangat memerlukan air demi meneruskan kehidupan mereka. Air ini boleh digunakan sebagai minuman dan juga bersuci bagi manusia serta menumbuhkan tumbuhan-tumbuhan di tempat yang tidak ada tanaman sama sekali, maka tanah yang kering menjadi hidup kembali setelah kematiannya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya bahawa kamu melihat bumi itu kering dan tandus, tetapi apabila Kami turunkan hujan atasnya, nescaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya (Allah) yang menghidupkannya, pasti dapat menghidupkan yang mati, sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas sesuatu.”
Fussilat 41:39
“Maka perhatikanlah pada bekas-bekas rahmat Allah, bagaimana Allah menghidupkan bumi setelah mati (kering). Sesungguhnya, itu bererti Dia pasti (berkuasa) menghidupkan yang telah mati. Dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
Ar-Rum 30:50
Daripada Abu Sai’d Al-Khudri ra, beliau berkata, “Seseorang bertanya, ‘Wahai Rasullullah! Bolehkah kami berwuduk di telaga bidha’ah, telaga yang menjadi tempat pembuangan barang-barang kotoran dan daging anjing?’ Baginda bersabda:
‘Sesungguhnya air itu (pada dasarnya) suci, tidak menjadi najis oleh sesuatu apa pun (kecuali tercampur oleh hal yang najis, baik sedikit mahupun banyak).’”
(HR. Imam Ahmad, Abu Dawud, An-Nasa-i dan At-Tirmizi)
Ayat 50
وَلَقَدْ صَرَّفْنَـٰهُ بَيْنَهُمْ لِيَذَّكَّرُوا۟ فَأَبَىٰٓ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ إِلَّا كُفُورًا
Dan sesungguhnya Kami telah mempergilirkan (hujan) itu di antara mereka agar mereka mengambil pelajaran (daripadanya), tetapi kebanyakan manusia tidak mahu (bersyukur), bahkan mereka mengingkari (nikmat).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menurunkan hujan pada suatu tempat tertentu dan tidak pada tempat yang lain, agar orang-orang yang mendapat hujan tersebut mengingati nikmat-Nya atas mereka, lalu mereka bersyukur kepada-Nya.
Manakala orang-orang yang tidak mendapat hujan akan mengingatkan apa yang tidak diturunkan pada mereka, lalu bersegera untuk bertaubat kepada Allah Ta’ala supaya kemudian Dia merahmati mereka dan menurunkan hujan bagi mereka.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan kebanyakan manusia tidak mahu bersyukur, bahkan mereka mengingkari nikmat-nikmat yang diberikan kepada mereka.
Ayat 51
وَلَوْ شِئْنَا لَبَعَثْنَا فِى كُلِّ قَرْيَةٍ نَّذِيرًا
Dan seandainya Kami menghendaki, nescaya Kami utus pada tiap-tiap negeri seorang yang memberi peringatan (Rasul).
Sebagaimana hujan merupakan nikmat daripada Allah Ta’ala yang wajib disyukuri, ada nikmat yang lebih besar bagi umat manusia iaitu diutus-Nya Rasulullah saw sebagai Rasul akhir zaman dengan membawa Al-Quran.
Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia mengutuskan Nabi Muhammad saw khusus sebagai Rasul bagi semua penghuni bumi dan baginda diperintahkan untuk menyampaikan ajaran-ajaran Al-Quran kepada mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“………..Dan Al-Quran ini diwahyukan kepadaku supaya dengannya aku memberi peringatan kepadamu dan kepada orang-orang yang sampai Al-Quran (kepadanya)…………….”
An-An’am 6:19
“……….Dan sesiapa di antara mereka (orang Quraisy) dan sekutu-sekutunya yang kafir kepada Al-Quran, maka nerakalah tempat yang dijanjikan baginya.”
Hud 11:17
“Katakanlah (Muhammad), ‘Wahai manusia! Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua…..’”
Al-A’raf 7:158
Rasullullah saw bersabda:
“Para Nabi diutuskan kepada kaumnya sendiri-sendiri sedangkan aku diutuskan kepada sekalian manusia secara umum.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 52
فَلَا تُطِعِ ٱلْكَـٰفِرِينَ وَجَـٰهِدْهُم بِهِۦ جِهَادًا كَبِيرًا
Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengannya (Al-Quran) dengan (semangat) jihad yang besar.
Allah Ta’ala melarang Rasulullah saw daripada mengikuti ajakan orang-orang kafir atau menyetujui pendapat mereka semata-mata ingin mengambil hati mereka.
Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menghadapi mereka dengan ketegasan dan kesungguhan hati dalam menyampaikan wahyu-Nya iaitu Al-Quran dan membantah ucapan-ucapan mereka dengan dalil-dalil yang kuat. Ini kerana mereka adalah manusia yang sangat angkuh lagi menyombongkan diri.
Dalam ayat lain, Allah Swt berfirman:
“Wahai Nabi! Berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah Neraka Jahannam. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”
At-Taubah 9:73
Ayat 53
وَهُوَ ٱلَّذِى مَرَجَ ٱلْبَحْرَيْنِ هَـٰذَا عَذْبٌ فُرَاتٌ وَهَـٰذَا مِلْحٌ أُجَاجٌ وَجَعَلَ بَيْنَهُمَا بَرْزَخًا وَحِجْرًا مَّحْجُورًا
Dan Dia-lah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit, dan Dia jadikan antara kedua-duanya dinding dan batas yang tidak tembus.
Keempat
▪️ Allah Swt menciptakan dua jenis air laut yang saling bersentuhan namun tidak mengalami pencampuran seakan-akan ada pembatas yang kuat. Salah satunya adalah air tawar dan yang satu lagi air masin. Kedua-duanya dalam pandangan mata seperti satu tetapi pada hakikatnya terpisah. Maha Suci Allah yang menciptakannya tanpa sedikitpun kecacatan.
Allah Ta’ala juga menerangkan hal yang sama dalam ayat yang lain:
“Dia membiarkan dua lautan mengalir yang (kemudian) kedua-duanya bertemu. Di antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing. Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan.”
Ar-Rahman 55:19-21
Ayat 54
وَهُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ مِنَ ٱلْمَآءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُۥ نَسَبًا وَصِهْرًا ۗ وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا
Dan Dia (juga) yang menciptakan manusia daripada air, lalu Dia jadikan manusia itu (mempunyai) keturunan dan musaharah dan adalah Rabbmu Maha Kuasa.
Kelima
▪️ Allah-lah yang menciptakan manusia daripada air mani yang lemah, kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya dan menjadikan susunan anggota tubuh dengan sebaik-baik kejadian bagi lelaki dan wanita. Dia menambahkan lagi akal pemikiran dan perasaan kepada mereka untuk memakmurkan dan memanfaatkan dunia ini.
Musaharah bermaksud hubungan kekeluargaan yang berasal daripada perkahwinan seperti menantu, ipar, mertua dan sebagainya.
Firman-firman Allah dalam ayat lain:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.”
Al-Hujurat 49:13
“Wahai manusia! Bertakwalah kepada Rabbmu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), dan Allah menciptakan pasangannya (Hawa) daripada (diri)nya, dan (lalu) daripada kedua-duanya Allah mengembang biakkan lelaki dan perempuan yang sangat banyak…..”
An-Nisa’ 4:1
Kelima-lima dalil di atas menunjukkan Maha Suci Allah, Pencipta Yang Maha Hebat, yang memiliki ciptaan yang menakjubkan dan Pemberi kehidupan kepada seluruh makhluk.