Orang Kafir seperti Binatang Ternak, Bahkan Mereka Lebih Sesat Jalannya
Surah 25: Al-Furqan (44)
Ayat 44
أَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُونَ أَوْ يَعْقِلُونَ ۚ إِنْ هُمْ إِلَّا كَٱلْأَنْعَـٰمِ ۖ بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيلًا
Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (daripada binatang ternak itu).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa kaum Quraisy kebanyakannya tidak mendengar ayat-ayat-Nya dengan penuh penghayatan atau berusaha untuk memahami apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw.
Oleh itu, Allah Ta’ala menyatakan mereka itu sebenarnya tidak ubah seperti binatang-binatang ternak kerana tidak memikirkan kehidupan mereka pada hari akhirat kelak, malah kelakuan mereka lebih buruk lagi daripada binatang ternak. Binatang ternak selalu melakukan apa yang terbaik dan bermanfaat serta menjauhkan diri daripada perkara yang membahayakannya.
Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat), mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai.”
Al-A’raf 7:179