Surah 25: Al-Furqan (41 – 43)

Ejekan Orang Kafir terhadap Rasulullah saw

Surah 25: Al-Furqan (41 – 43)


Ayat 41

وَإِذَا رَأَوْكَ إِن يَتَّخِذُونَكَ إِلَّا هُزُوًا أَهَـٰذَا ٱلَّذِى بَعَثَ ٱللَّهُ رَسُولًا

Dan apabila mereka melihat kamu (Muhammad), mereka hanyalah menjadikan kamu sebagai ejekan (dengan mengatakan), “Inikah orangnya yang diutus Allah sebagai Rasul?

Allah Swt menceritakan tentang ejekan orang-orang musyrik terhadap Rasullullah saw. Mereka sering mengejek, mencela dan menghina baginda sebagaimana Firman-Nya:

“Dan apabila orang-orang kafir itu melihat engkau (Muhammad), mereka hanya membuat engkau menjadi olok-olok. (Mereka mengatakan), “Apakah ini orang yang mencela tuhan-tuhanmu?” Padahal mereka adaIah orang-orang yang ingkar mengingati Allah Yang Maha Pemurah.”

Al-Anbiya’ 21:36

Ayat 42

إِن كَادَ لَيُضِلُّنَا عَنْ ءَالِهَتِنَا لَوْلَآ أَن صَبَرْنَا عَلَيْهَا ۚ وَسَوْفَ يَعْلَمُونَ حِينَ يَرَوْنَ ٱلْعَذَابَ مَنْ أَضَلُّ سَبِيلًا

Sesungguhnya hampirlah dia menyesatkan kita daripada sembahan-sembahan kita, seandainya kita tidak sabar (menyembah)nya,” dan mereka kelak akan mengetahui pada saat mereka melihat azab, siapa yang paling sesat jalannya.

Orang-orang kafir musyrik sebenarnya mengetahui tentang kebenaran Nabi Muhammad saw kerana mereka mengenali baginda sejak baginda masih kecil dan selama empat puluh tahun mereka mempercayai baginda. Baginda memang terkenal sebagai seorang yang jujur dan sangat dihormati serta dimuliakan kaumnya pada ketika itu. Namun apabila baginda mula menyebarkan dakwah tentang keesaan Allah Ta’ala dan syariat-Nya, mereka menolaknya dan memperlihatkan kebatilan.

Orang-orang kafir musyrik mengatakan sekiranya mereka tidak sabar dalam mempertahankan dan berpegang teguh dengan penyembahan berhala-berhala mereka, pasti Rasulullah saw akan berhasil memalingkan mereka daripada penyembahan tersebut dan membawa mereka kepada Islam.

Maka pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala mengancam mereka dengan mengatakan bahawa kelak ketika mereka melihat azab mereka tidak dapat melarikan diri daripadanya. Ketika itu barulah mereka mengetahui siapa sebenarnya yang berada dalam kesesatan.

Ayat 43

أَرَءَيْتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُۥ هَوَىٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa inilah sikap orang-orang kafir musyrik yang menunjukkan sikap keras kepala, kesombongan dan berlebih-lebihan sehingga mereka mengatakan apa yang dibawa oleh Rasulullah saw itu merupakan kesesatan. Sedangkan sebenarnya apa yang mereka pertahankan itu merupakan taklid buta dan hawa nafsu mereka dijadikan sebagai tuhan yang perlu diikuti.

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Rasulullah saw tidak mampu menjadi pelindung mereka dan juga tidak akan mampu menahan mereka daripada kesesatan. Ini kerana tugas baginda hanyalah menyampaikan risalah-Nya. Firman-Nya:

“Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka.”

Al-Ghasyiyah 88:22

Allah Ta’ala mengingatkan bahawa orang yang Allah tetapkan mendapat kecelakaan, maka tiada satupun yang mampu memberikan hidayah kepadanya kecuali Dia. Dalam ayat yang lain, Allah Swt berfirman:

“Maka apakah orang yang dijadikan (syaitan) menganggap baik pekerjaannya yang buruk lalu dia meyakini pekerjaan itu baik, (sama dengan orang yang tidak ditipu oleh syaitan)? Maka sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dia juga memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

Fatir 35:8