Pelajaran daripada Kebinasaan Kaum Terdahulu
Surah 25: Al-Furqan (35 – 40)
Ayat 35
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ وَجَعَلْنَا مَعَهُۥٓ أَخَاهُ هَـٰرُونَ وَزِيرًا
Sesungguhnya Kami telah memberikan kitab (Taurat) kepada Musa dan Kami telah menjadikan Harun saudaranya, menyertai dia sebagai wazir (pembantu).
Dalam ayat 35-40 ini, Allah Ta’ala menyebutkan beberapa kisah para Nabi bersama dengan umat masing-masing, iaitu:
Pertama
▪️ Kisah Nabi Musa as dan Nabi Harun as.
Allah Ta’ala memulai kisah mereka dengan mengatakan bahawa Nabi Harun as dilantik sebagai seorang Nabi yang akan membantu dan menolong Nabi Musa as dalam dakwahnya. Kenabian Nabi Harun as juga disebutkan dalam surah yang lain, firman-Nya:
“Dan Kami telah menganugerahkan kepadanya sebahagian daripada rahmat Kami, iaitu saudaranya, Harun menjadi seorang Nabi.”
Maryam 19:53
Ayat 36
فَقُلْنَا ٱذْهَبَآ إِلَى ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا فَدَمَّرْنَـٰهُمْ تَدْمِيرًا
Kemudian Kami berfirman kepada keduanya, “Pergilah kamu berdua kepada kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami.” Maka Kami membinasakan mereka sehancur-hancurnya.
Seterusnya, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Musa as dan Nabi Harun as bertemu dengan Firaun dan kaumnya untuk berdakwah menyampaikan risalah tauhid tentang keesaan-Nya
Namun Firaun dan kaumnya tetap mendustakan risalah yang dibawa oleh Nabi Musa as dan Nabi Harun as serta tidak mengakui keesaan Allah Ta’ala, maka Dia menghancurkan mereka sebagaimana firman-Nya:
“………..Allah telah membinasakan mereka, dan orang-orang yang kafir turut menerima (akibat-akibat) yang serupa.”
Muhammad 47:10
Ayat 37
وَقَوْمَ نُوحٍۢ لَّمَّا كَذَّبُوا۟ ٱلرُّسُلَ أَغْرَقْنَـٰهُمْ وَجَعَلْنَـٰهُمْ لِلنَّاسِ ءَايَةً ۖ وَأَعْتَدْنَا لِلظَّـٰلِمِينَ عَذَابًا أَلِيمًا
Dan (telah Kami binasakan) kaum Nuh ketika mereka mendustakan Rasul-rasul. Kami tenggelamkan mereka dan Kami jadikan (cerita) mereka itu pelajaran bagi manusia. Dan Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim azab yang pedih.
Kedua
▪️ Kisah Nabi Nuh as.
Allah Ta’ala menceritakan nasib kaum Nabi Nuh as. Dia telah membinasakan kaum Nabi Nuh as ketika mereka mendustakan baginda yang telah berdakwah kepada mereka selama 950 tahun, namun yang beriman kepadanya hanya sebahagian kecil sahaja.
Maka Allah Ta’ala menenggelamkan kaumnya yang kufur dalam banjir yang besar dan menjadikan kisah kebinasaan tersebut sebagai pelajaran kepada manusia yang lain. Firman-Nya:
“Sesungguhnya Kami, tatkala air telah naik (sampai ke gunung) Kami bawa (nenek moyang) kamu ke dalam bahtera, agar Kami jadikan peristiwa itu peringatan bagi kamu dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar.”
Al-Haqqah 69:11-12
Ayat 38
وَعَادًا وَثَمُودَا۟ وَأَصْحَـٰبَ ٱلرَّسِّ وَقُرُونًۢا بَيْنَ ذَٰلِكَ كَثِيرًا
Dan (Kami binasakan) kaum ‘Aad dan Thamud dan penduduk Rass dan banyak (lagi) generasi-generasi di antara kaum-kaum tersebut.
Ketiga
▪️ Kisah kaum ‘Aad, Thamud dan penduduk Rass.
Menurut Ibnu ‘Abbas ra, Ar-Rass adalah nama sebuah daerah yang ada di negeri kaum Thamud. Manakala ‘Ikrimah pula mengatakan Ar-Rass adalah nama sebuah sumber air, tempat yang dikuburkan Nabi kaum Thamud. Kaum ‘Aad telah mendustakan Rasul mereka iaitu Nabi Hud as. Kaum Thamud pula mendustakan Nabi mereka iaitu Nabi Saleh as. Manakala kisah Ashabur Rass ialah tentang penyembah berhala yang memiliki perigi-perigi dan haiwan ternakan yang telah mendustakan Nabi Syu’aib as. Lalu, Allah Ta’ala telah menghancurkan mereka semuanya.
Ayat 39
وَكُلًّا ضَرَبْنَا لَهُ ٱلْأَمْثَـٰلَ ۖ وَكُلًّا تَبَّرْنَا تَتْبِيرًا
Dan masing-masing telah Kami jadikan perumpamaan dan masing-masing telah Kami hancurkan dengan sehancur-hancurnya.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa setiap kaum itu telah diberikan hujjah, bukti-bukti dan dalil-dalil, namun mereka tetap tidak beriman dan mendustakan para Rasul walau pun telah dibantah segala pertuduhan itu dengan kebenaran. Oleh itu, Dia telah menghancurkan mereka dengan cara yang sangat pedih.
Ayat ini juga bermaksud bahawa banyak lagi umat-umat yang hidup di antara umat-umat yang telah disebutkan di atas yang telah dibinasakan akibat kekufuran mereka. Firman Allah Ta’ala dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan berapa banyak kaum setelah Nuh, yang telah Kami binasakan……..”
Al-Isra’ 17:17
“Kemudian sesudah mereka, Kami ciptakan umat-umat yang lain pula.”
Al-Mu’minun 23:42
Ayat 40
وَلَقَدْ أَتَوْا۟ عَلَى ٱلْقَرْيَةِ ٱلَّتِىٓ أُمْطِرَتْ مَطَرَ ٱلسَّوْءِ ۚ أَفَلَمْ يَكُونُوا۟ يَرَوْنَهَا ۚ بَلْ كَانُوا۟ لَا يَرْجُونَ نُشُورًا
Dan sesungguhnya mereka (kaum musyrik Mekah) telah melalui negeri (Sodom) yang (dahulu) dihujani dengan hujan yang buruk (hujan batu). Tidakkah mereka menyaksikan? Bahkan mereka sebenarnya tidak mengharapkan Hari Kebangkitan.
Keempat
▪️ Kisah Nabi Lut as.
Kaum musyrik Mekah pada saat mereka berniaga ke tanah Syam pada musim panas, mereka telah melalui negeri kaum Nabi Lut as iaitu daerah Sodom. Allah Ta’ala telah menghancurkan negeri itu dengan menterbalikkan bumi dan dengan hujan batu yang terbuat daripada tanah liat yang dibakar sebagaimana firman-firman-Nya:
“Dan Kami hujani mereka dengan hujan (batu) maka amat jeleklah hujan yang menimpa orang-orang yang telah diberi peringatan itu.”
Asy-Syu’ara’ 26:173
“Dan sesungguhnya kamu (penduduk Mekah) akan benar-benar melalui (bekas-bekas tinggalan) mereka pada waktu pagi dan pada waktu malam. Maka mengapa kamu tidak mengerti?”
As-Saffat 37:137-138
Namun orang-orang musyrik tidak mengambil pengajaran daripada peristiwa itu, bahkan mereka sebenarnya tidak mengharapkan Hari Kebangkitan. Mereka menganggap Hari Kebangkitan adalah omong kosong belaka.