Semua Rasul adalah Manusia
Surah 25: Al-Furqan (20)
Ayat 20
وَمَآ أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ مِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ إِلَّآ إِنَّهُمْ لَيَأْكُلُونَ ٱلطَّعَامَ وَيَمْشُونَ فِى ٱلْأَسْوَاقِ ۗ وَجَعَلْنَا بَعْضَكُمْ لِبَعْضٍۢ فِتْنَةً أَتَصْبِرُونَ ۗ وَكَانَ رَبُّكَ بَصِيرًا
Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu, melainkan mereka sungguh makan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Dan Kami jadikan sebahagian kamu ujian bagi sebahagian yang lain. Mahukah kamu bersabar? Dan adalah Rabbmu Maha Melihat.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa semua Rasul adalah manusia biasa yang perlu berusaha untuk mencari nafkah bagi memenuhi keperluan hidup. Dia menjadikan mereka berakhlak mulia dan mengurniakan kepada mereka mukjizat yang agung serta dalil yang diterima akal. Oleh itu, mereka yang memiliki akal yang normal dan hati yang bersih akan membenarkan ajaran yang disampaikan oleh para Rasul seperti firman-Nya:
“Dan tidaklah Kami jadikan mereka tubuh-tubuh yang tidak makan makanan, dan tidak (pula) mereka itu orang-orang yang kekal.”
Al-Anbiya’ 21:8
Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa Dia menguji sebahagian daripada mereka dengan sebahagian yang lain. Ini adalah sunnatullah (ketetapan Allah) dalam ciptaan-Nya. Orang yang beriman akan diuji dengan orang kafir, orang kaya dengan orang fakir, orang sihat dengan orang berpenyakit dan orang mulia dengan orang hina.
Allah Maha Melihat siapa sahaja yang bersabar dan siapa yang berkeluh kesah. Dunia ini adalah tempat ujian. Oleh itu, Dia akan membalas orang-orang yang bersabar dengan balasan yang tidak terhingga.