Tujuan Allah Swt Menurunkan Al-Furqan (Al-Quran)
Surah 25: Al-Furqan (1)
Ayat 1
تَبَارَكَ ٱلَّذِى نَزَّلَ ٱلْفُرْقَانَ عَلَىٰ عَبْدِهِۦ لِيَكُونَ لِلْعَـٰلَمِينَ نَذِيرًا
Maha Suci Allah yang telah menurunkan Al-Furqan (Al-Quran) kepada hamba-Nya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam.
Allah Ta’ala membuka surah ini dengan memuji diri-Nya bahawa kebaikan-Nya begitu besar dan keberkahan-Nya menyebar ke seluruh makhluk-Nya.
Salah satu kurniaan-Nya ialah Dia telah menurunkan Al-Quran yang dinamakan Al-Furqan (pembeza) kerana di dalamnya dijelaskan tentang perbezaan antara yang hak dengan yang batil, tauhid dengan syirik, petunjuk dengan kesesatan, yang halal dengan yang haram dan antara keadilan dengan kezaliman sebagaimana firman-Nya:
“Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya Al-Kitab (Al-Quran) dan Dia tidak mengadakan penyelewengan di dalamnya, sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan akan seksaan yang sangat pedih di sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal soleh, bahawa mereka akan mendapat pembalasan yang baik.”
Al-Kahfi 18:1-2
Allah Ta’ala menurunkan Al-Quran secara beransur-ansur tidak seperti kitab-kitab lain yang diturunkan sekaligus. Ini untuk menunjukkan bahawa Al-Quran lebih utama jika dibandingkan dengan kitab-kitab-Nya yang lain. Di dalamnya terdapat perincian antara ayat dengan ayat yang lain dan antara satu hukum dengan hukum yang lain sebagaimana firman-Nya:
“Berkatalah orang-orang yang kafir, “Mengapa Al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun sahaja?” Demikianlah supaya Kami perkuatkan hatimu dengannya dan Kami membacakannya secara tartil (berturut-turut dan benar). Tidaklah orang-orang kafir itu datang kepadamu (membawa) sesuatu yang ganjil, melainkan Kami datangkan kepadamu suatu yang benar dan yang paling baik penjelasannya.”
Al-Furqan 25:32-33
Kalimah “hamba-Nya” dalam ayat ini merujuk kepada Rasulullah saw yang mengandungi pujian dan sanjungan kepada baginda terhadap perhambaan baginda kepada-Nya. Kalimah ini juga disebut ketika baginda menempuh perjalanan yang mulia iaitu pada malam Israk seperti firman-Nya:
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam………”
Al-Isra’ 17:1
Allah Ta’ala menurunkan Al-Quran yang suci kepada Rasulullah saw supaya disampaikan ajaran-Nya kepada dua makhluk-Nya iaitu jin dan manusia. Baginda bersabda:
“Aku diutus kepada segenap manusia dan jin.”
(HR. Ahmad dan Muslim)
Baginda juga bersabda:
“Aku dianugerahi lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun daripada para Nabi sebelum aku.” Kemudian baginda menyebutkan satu di antaranya, iaitu “Para Nabi diutus kepada kaumnya sahaja secara khusus, sedangkan aku diutus kepada seluruh manusia.”
(HR. Al-Bukhari)