Surah 24: An-Nur (63)

Larangan Menjadikan Panggilan Rasulullah saw seperti Panggilan Sebahagian Orang kepada Sebahagian yang Lain

Surah 24: An-Nur (63)


Ayat 63

لَّا تَجْعَلُوا۟ دُعَآءَ ٱلرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَآءِ بَعْضِكُم بَعْضًا ۚ قَدْ يَعْلَمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنكُمْ لِوَاذًا ۚ فَلْيَحْذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِۦٓ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain). Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang beransur-ansur pergi di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya), maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa ujian atau ditimpa azab yang pedih.

Adh-Dhahhak meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa dahulu kaum muslimin selalu memanggil Rasulullah saw dengan panggilan “Wahai Muhammad! Wahai Abul Qasim!” Kemudian Allah Ta’ala melarang penggunaan panggilan tersebut dan memerintahkan mereka memanggil “Wahai Nabiyyullah! Wahai Rasulullah.” Menurut Qatadah, Allah memerintahkan demikian supaya mereka menghormati dan memuliakan baginda serta menjadikan baginda sebagai seorang pemimpin.

Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala menyatakan Dia mengetahui secara pasti siapa di kalangan orang-orang munafik yang berada dalam kumpulan bersama-sama Rasullullah saw. Mereka ini keluar beransur-ansur dari tempat perkumpulan tersebut seorang demi seorang tanpa meminta izin terlebih dahulu daripada baginda.

Maksud ayat, “Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa ujian atau ditimpa azab yang pedih,” dijelaskan dengan sabda baginda:

“Sesiapa yang melakukan amal ibadah yang tidak sesuai dengan ajaran kami, maka amal tersebut akan ditolak.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, maksud ayat ini ialah sesiapa yang menyalahi syariat Rasulullah saw, baik secara zahir ataupun di dalam hati hendaklah berasa khuatir tertimpa fitnah, iaitu hati mereka terkena fitnah kekufuran, kemunafikan atau bid’ah ataupun mereka tertimpa azab yang pedih di dunia dengan ditegakkan hukuman hudud atau hukuman jenis yang lain. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada Abu Hurairah ra dia berkata, Rasulullah saw bersabda:

“Perumpamaan aku dan kamu adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Ketika api itu mulai menerangi sekitarnya, maka kupu-kupu dan serangga-serangga yang biasanya jatuh ke dalam api datang menghampirinya hingga nyaris terbakar. Lalu lelaki itu berusaha menghalang binatang-binatang itu agar tidak jatuh ke dalamnya. Namun serangga-serangga itu berhasil mengalahkan lelaki itu dan, hingga akhirnya terjerumus ke dalam api. Begitulah perumpamaan aku dengan kamu, aku berusaha keras mencegah kamu daripada api neraka seraya berseru, “Mari menjauh darinya!” Namun kamu mengalahkan aku, lalu kamu masuk ke dalamnya.”

(HR. Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim)