Surah 24: An-Nur (61)

Tiada Larangan Makan bersama dengan Orang Kurang Upaya dan Adab ketika Memasuki Rumah

Surah 24: An-Nur (61)


Ayat 61

لَّيْسَ عَلَى ٱلْأَعْمَىٰ حَرَجٌ وَلَا عَلَى ٱلْأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلَا عَلَى ٱلْمَرِيضِ حَرَجٌ وَلَا عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمْ أَن تَأْكُلُوا۟ مِنۢ بُيُوتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ ءَابَآئِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أُمَّهَـٰتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ إِخْوَٰنِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أَخَوَٰتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أَعْمَـٰمِكُمْ أَوْ بُيُوتِ عَمَّـٰتِكُمْ أَوْ بُيُوتِ أَخْوَٰلِكُمْ أَوْ بُيُوتِ خَـٰلَـٰتِكُمْ أَوْ مَا مَلَكْتُم مَّفَاتِحَهُۥٓ أَوْ صَدِيقِكُمْ ۚ لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَأْكُلُوا۟ جَمِيعًا أَوْ أَشْتَاتًا ۚ فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ مُبَـٰرَكَةً طَيِّبَةً ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Tidak ada halangan bagi orang buta, tidak (pula) bagi orang tempang, tidak (pula) bagi orang sakit, dan tidak (pula) bagi dirimu sendiri, makan (bersama-sama mereka) di rumah kamu sendiri, atau di rumah bapa-bapamu, di rumah ibu-ibumu, di rumah saudara-saudaramu yang lelaki, di rumah saudaramu yang perempuan, di rumah saudara bapamu yang lelaki, di rumah saudara bapamu yang perempuan, di rumah saudara ibumu yang lelaki, di rumah saudara ibumu yang perempuan, di rumah yang kamu miliki kuncinya atau di rumah kawan-kawanmu. Tidak ada halangan bagi kamu makan bersama-sama mereka atau sendirian. Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah dari) rumah-rumah (ini), hendaklah kamu memberi salam kepada (penghuninya yang bererti memberi salam) kepada dirimu sendiri, salam yang ditetapkan daripada sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-(Nya) bagimu, agar kamu memahaminya.

Allah Ta’ala meringankan sebahagian kesulitan yang dihadapi oleh para sahabat ketika makan bersama dengan orang-orang yang buta, tempang dan orang sakit. Dahulu para sahabat berasa kekok untuk makan bersama dengan orang buta disebabkan mereka tidak dapat melihat makanan yang terhidang di hadapan mereka. Mereka juga khuatir jika makanan yang dimakan oleh orang buta pernah dijamah oleh orang lain. Begitu juga dengan orang yang cacat, dirasakan mereka tidak dapat duduk dengan selesa dalam tempat yang sama sehingga menyusahkan orang lain.

Para sahabat ini juga berasa kasihan ketika makan bersama dengan orang yang sakit kerana orang yang sakit tidak dapat menikmati makanan secara sempurna sebagaimana orang yang sihat. Para sahabat enggan makan bersama dengan tiga golongan ini kerana khuatir akan menzalimi mereka. Maka Allah Ta’ala menurunkan ayat ini untuk meringankan bebanan perasaan mereka. Pendapat di atas adalah dikemukakan oleh Sa’id bin Jubair dan Miqsam.

Dalam masa yang sama, orang-orang yang berpenyakit juga berasa berat untuk makan bersama-sama orang yang sihat kerana bimbang akan menjadikan mereka berasa jijik atau janggal. Hal ini akan membuat mereka bersedih atau sakit hati. Lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat ini dan meringankan kesulitan yang dihadapi oleh kedua-dua pihak iaitu pihak yang sihat dan pihak yang sakit.

Az-Zuhri meriwayatkan daripada ‘Urwah daripada ‘Aisyah ra bahawa ketika kaum muslimin berangkat ke medan perang bersama dengan Rasulullah saw, mereka menyerahkan kunci-kunci rumah mereka kepada orang-orang yang dipercayai supaya mereka boleh makan apa yang mereka perlukan dalam rumah-rumah itu. Juga tidak berdosa untuk makan makanan di rumah kawan-kawan jika diyakini tidak membebankan dan telah mendapat izin terlebih dahulu.

Allah Ta’ala membolehkan orang-orang mukmin untuk makan di 11 rumah tanpa izin selagi kita mengetahui dan menyakini keikhlasan pemilik rumah tersebut dan dia bukanlah seorang yang kedekut serta tidak pula rasa terganggu. Sekiranya mereka terasa terganggu, tidak suka dan tidak nampak keikhlasan mereka, maka tidak dibolehkan makan di rumah mereka ketika ketiadaan mereka dan sikap yang perlu diambil adalah menjaga diri. Kesebelas rumah tersebut ialah:

▪️  Rumah sendiri termasuk rumah anak-anak kerana rumah anak-anak adalah rumah orang tua mereka juga dan harta anak-anak adalah harta mereka juga. Rasulullah saw bersabda:

“Kamu dan hartamu adalah kepunyaan bapamu juga.”

(HR. Ahmad)

“Sesungguhnya seenak-enak harta yang kamu makan adalah harta daripada hasil usaha dan jerih perih kamu sendiri, dan sesungguhnya anak-anak kamu adalah hasil usaha kalian.”

(HR. Al-Bukhari, At-Tarmizi, An-Nasa-i dan Ibnu Majah)

▪️  Rumah bapa dan rumah datuk.

▪️  Rumah ibu dan nenek.

▪️  Rumah adik beradik lelaki.

▪️  Rumah adik beradik perempuan.

▪️  Rumah bapa saudara sebelah bapa.

▪️  Rumah emak saudara sebelah bapa.

▪️  Rumah bapa saudara sebelah emak.

▪️  Rumah emak saudara sebelah emak.

▪️  Rumah yang telah diserahkan kuncinya dan dibenarkan oleh tuannya.

▪️  Rumah sahabat karib.

Kemudian Allah Ta’ala memberi keringanan kepada orang-orang mukmin membuat pilihan kerana ada di antara mereka yang suka makan bersendirian disebabkan mereka bimbang akan mengganggu orang lain atau termakan harta orang lain dan ada pula yang selesa makan beramai-ramai.

‘Ali bin Abi Talhah meriwayatkan athar daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa ketika turun ayat, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil (tidak benar),” iaitu ayat 29 daripada Surah An-Nisa’ maka mereka mengatakan Allah Ta’ala melarang mereka makan di rumah salah seorang daripada mereka sehinggalah turun ayat 61 di atas.

Sebahagian daripada para sahabat berasa janggal jika makan bersendirian dan perlu ditemani oleh orang lain sehingga Allah memberi keringanan dengan turunnya ayat 61 ini. Dia memberikan keringanan untuk makan bersendirian walaupun makan secara berjemaah lebih berkat. Ini sebagaimana riwayat daripada Wahsyi bin Harb bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah saw, “Sungguh kami sudah makan, namun masih tidak kenyang.” Lalu baginda bersabda:

“Barangkali kerana kamu makan bersendirian. Makanlah secara berjemaah dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Basmalah), nescaya Allah akan memberkati makanan kamu.”

(HR. Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan adab ketika memasuki rumah iaitu dengan mengucapkan salam kepada penghuni rumah sebelum masuk ke dalam rumahnya sama ada rumah sendiri atau rumah orang lain dengan salam yang telah ditetapkan oleh-Nya. Memberi salam membawa keberkatan kepada pemberi salam dan penghuni di dalamnya.

Sa’id bin Jubair, Al-Hasan Al-Basri, Qatadah dan Az-Zuhri berkata maksud ayat “Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah daripada) rumah-rumah (ini), hendaklah kamu memberi salam kepada (penghuninya yang bererti memberi salam) kepada dirimu sendiri,” ialah hendaklah sebahagian orang memberi salam kepada sebahagian yang lain.

Setelah Allah menjelaskan hukum-hukum dan syariat-Nya yang lurus dalam ayat ini, Allah mengingatkan pula para hamba-Nya bahawa Dia telah menjelaskan ayat-ayat-Nya dengan sangat sempurna agar mereka merenungi, memahami dan menghayatinya. Demikianlah hukum-hukum dan adab-adab yang telah diterangkan oleh-Nya kepada hamba-hamba-Nya agar dilaksanakan semoga mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.