Hukum Aurat bagi Wanita yang Lanjut Usia
Surah 24: An-Nur (60)
Ayat 60
وَٱلْقَوَٰعِدُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ ٱلَّـٰتِى لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَن يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَـٰتٍۭ بِزِينَةٍ ۖ وَأَن يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَّهُنَّ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (daripada haid dan mengandung) yang tiada ingin kahwin (lagi), tidaklah atas mereka dosa menanggalkan pakaian (luar) mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
Allah Ta’ala menerangkan pula tentang hukum wanita-wanita yang telah lanjut usianya. Wanita-wanita tua yang telah berhenti haid dan tidak lagi dapat melahirkan anak kerana usianya, juga tidak lagi mengharapkan untuk berkahwin, maka dalam keadaan ini tidaklah dituntut untuk menutup aurat sebagaimana yang diwajibkan kepada wanita-wanita yang masih muda, ini adalah kerana mereka diberi kelonggaran untuk menanggalkan pakaian luar mereka di hadapan yang bukan mahram.
Pakaian luar bermaksud pakaian yang dikenakan oleh wanita yang jika dibuka tidak menampakkan aurat kerana terdapat pakaian lain di dalamnya yang menutup aurat. Pakaian luar ini dikenali juga sebagai hijab dan biasanya dipakai oleh orang-orang Arab.
Ada yang berpendapat hijab adalah pakaian yang menutupi seluruh tubuh termasuk wajah, tangan dan kaki. Kebiasaannya seorang wanita mengenakan dua lapis pakaian yang menutupi seluruh tubuhnya. Demikian juga penutup kepala, biasanya terdiri daripada dua lapis dengan lapisan luar sekali menutupi wajahnya. Oleh itu, wanita tua tersebut dibolehkan untuk membuka pakaian luar, penutup kepala dan menampakkan wajahnya tetapi rambut serta aurat yang lain masih tertutup.
Namun sekiranya mengambil sikap menjaga diri dan berhati-hati dengan tetap menutup aurat secara lengkap serta mengenakan lapisan pakaian luar mereka seperti biasa tentunya lebih baik dan lebih utama buat mereka.
Oleh itu, para wanita yang beriman hendaklah memilih apa yang telah Allah pilihkan untuk mereka. Dia Maha Mengetahui ucapan hamba-hamba-Nya dan keadaan serta perbuatan mereka. Oleh itu, bertakwalah kepada-Nya dengan mentaati perintah-Nya dan mensyukuri nikmat-nikmat-Nya.