Perintah agar Taat kepada Allah Swt dan Rasul
Surah 24: An-Nur (54)
Ayat 54
قُلْ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّمَا عَلَيْهِ مَا حُمِّلَ وَعَلَيْكُم مَّا حُمِّلْتُمْ ۖ وَإِن تُطِيعُوهُ تَهْتَدُوا۟ ۚ وَمَا عَلَى ٱلرَّسُولِ إِلَّا ٱلْبَلَـٰغُ ٱلْمُبِينُ
Katakanlah, “Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajipan Rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajipan kamu sekalian adalah semata-mata apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajipan Rasul itu melainkan menyampaikan (amanah Allah) dengan terang.”
Allah Ta’ala memerintahkan manusia supaya taat kepada-Nya dan Rasul-Nya dengan sebenar-benar ketaatan kerana apa yang dibawa oleh Rasulullah saw ialah mengajak kepada jalan yang lurus sebagaimana firman-Nya:
“(Iaitu) jalan Allah yang kepunyaan-Nya segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Ingatlah bahawa kepada Allah-lah kembali semua urusan.”
Asy-Syura 42:53
Allah Ta’ala menyatakan bahawa tugas dan kewajipan Rasulullah saw hanyalah menyampaikan risalah-Nya. Sedangkan tugas manusia hanyalah taat dan patuh kepada baginda. Firman-Nya:
“…………….kerana sesungguhnya tugasmu hanya menyampaikan sahaja, sedangkan Kamilah yang menghisab amalan mereka.”
Ar-Ra’d 13:40
“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka.”
Al-Ghasyiyah 88:21-22
Sekiranya manusia patuh dan taat kepada Rasulullah saw, mereka akan mendapat petunjuk kepada kebenaran.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala kembali memberi penegasan bahawa tugas dan kewajipan rasul-Nya hanyalah menyampaikan dengan penyampaian yang jelas dan nyata.