Surah 24: An-Nur (53)

Kisah Perilaku Orang Munafik

Surah 24: An-Nur (53)


Ayat 53

وَأَقْسَمُوا۟ بِٱللَّهِ جَهْدَ أَيْمَـٰنِهِمْ لَئِنْ أَمَرْتَهُمْ لَيَخْرُجُنَّ ۖ قُل لَّا تُقْسِمُوا۟ ۖ طَاعَةٌ مَّعْرُوفَةٌ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sumpah yang bersungguh-sungguh, (bahawa) jika kamu suruh mereka berperang, pastilah mereka akan pergi. Katakanlah, “Janganlah kamu bersumpah, (kerana ketaatan yang diminta ialah) ketaatan yang sudah dikenal. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Allah Ta’ala menyebutkan lagi sikap orang-orang munafik iaitu apabila mereka bersumpah kepada Rasulullah saw bahawa sekiranya baginda memerintahkan mereka keluar berperang, mereka pasti akan taat.

Namun, Allah Ta’ala menyangkal pernyataan mereka dengan mendedahkan kebohongan mereka kerana Dia mengetahui bahawa ketaatan mereka itu hanya kata-kata kosong kerana setiap kali mereka bersumpah pasti mereka berdusta seperti firman-firman-Nya:

“Mereka akan bersumpah kepadamu, agar kamu redha kepada mereka. Tetapi jika sekiranya kamu redha kepada mereka, sesungguhnya Allah tidak redha kepada orang-orang yang fasik itu.”

At-Taubah 9:96

“Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka halangi (manusia) dari jalan Allah, kerana itu mereka mendapat azab yang menghinakan.”

Al-Mujadilah 58:16

Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang mereka kerjakan, sama ada yang mereka nampakkan atau sembunyikan.