Surah 24: An-Nur (43 – 45)

Di antara Kekuasaan dan Penciptaan Allah Swt

Surah 24: An-Nur (43 – 45)


Ayat 43

أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يُزْجِى سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُۥ ثُمَّ يَجْعَلُهُۥ رُكَامًا فَتَرَى ٱلْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَـٰلِهِۦ وَيُنَزِّلُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن جِبَالٍ فِيهَا مِنۢ بَرَدٍ فَيُصِيبُ بِهِۦ مَن يَشَآءُ وَيَصْرِفُهُۥ عَن مَّن يَشَآءُ ۖ يَكَادُ سَنَا بَرْقِهِۦ يَذْهَبُ بِٱلْأَبْصَـٰرِ

Tidakkah kamu lihat bahawa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara (bahagian-bahagian)nya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka terlihatlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya. Dan Allah (juga) menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit, (iaitu) dari (gumpalan-gumpalan awan seperti) gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya (butiran-butiran) ais itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan dipalingkan-Nya daripada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia-lah yang menggerakkan awan secara perlahan-lahan dengan kekuasaan-Nya. Kemudian Dia mengumpulkan satu bahagian awan kepada bahagian yang lain menjadi kelompok dan yang satu berada di atas yang lain. Akhirnya hujan akan turun dari celah-celah awan.

Allah Ta’ala juga menurunkan hujan air batu daripada gumpalan-gumpalan awan yang membentuk seperti gunung-gunung air batu yang saling bertindih di langit lalu menimpa sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya sebagai azab. Hal ini kerana apabila hujan air batu turun, ia akan merosakkan tanam-tanaman, tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang ternak. Walau bagaimanapun dihindarkan-Nya bencana tersebut daripada orang-orang yang dikehendaki-Nya sebagai rahmat kepada mereka.

Allah Ta’ala juga menyatakan gambaran lain tentang kekuatan-Nya iaitu menerusi kilat. Semasa hujan, Dia memperlihatkan kilat dari celah-celah awan. Hampir sahaja cahaya kilat yang terang itu menghilangkan penglihatan orang yang melihatnya atau hampir sahaja kilat itu menyambarnya.

Ayat 44

يُقَلِّبُ ٱللَّهُ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَعِبْرَةً لِّأُو۟لِى ٱلْأَبْصَـٰرِ

Allah menggantikan malam dan siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran yang besar bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan.

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah Ta’ala mengatur pertukaran siang dan malam yang silih berganti. Adakalanya Dia memendekkan waktu siang dan memanjangkan waktu malamnya. Begitulah juga sebaliknya.

Sesungguhnya penurunan hujan, hujan air batu, pancaran kilat serta pergantian malam dan siang merupakan pelajaran yang sangat besar kepada orang-orang mahu berfikir. Allah mengatur semua ini dengan keperkasaan, keagungan dan ilmu-Nya dan ini merupakan dalil atau tanda kebesaran-Nya seperti firman-Nya:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.”

Ali ‘Imran 3:190

Ayat 45

وَٱللَّهُ خَلَقَ كُلَّ دَآبَّةٍ مِّن مَّآءٍ ۖ فَمِنْهُم مَّن يَمْشِى عَلَىٰ بَطْنِهِۦ وَمِنْهُم مَّن يَمْشِى عَلَىٰ رِجْلَيْنِ وَمِنْهُم مَّن يَمْشِى عَلَىٰٓ أَرْبَعٍ ۚ يَخْلُقُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan daripada air, maka sebahagian daripada haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya dan sebahagian berjalan dengan dua kaki, sedang sebahagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Setelah Allah Swt memaparkan bukti-bukti akan keesaan dan kekuasaan-Nya dengan langit dan bumi serta segala fenomena yang terjadi di alam langit, seterusnya dalam ayat ini Dia menyebutkan pula tentang kekuasaan-Nya menciptakan manusia dan haiwan dalam pelbagai bentuk, rupa, warna dan gerak dan diam yang berbeza. Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menciptakan setiap jenis yang melata di bumi daripada air yang merupakan unsur material dan komponen utama struktur fiziknya.

Walaupun asal semuanya dicipta daripada air, iaitu dengan bercampurnya sperma dan ovum, namun hasilnya berbeza-beza. Ada yang berjalan dengan perutnya seperti ular, berjalan dengan kedua-dua kakinya seperti manusia dan burung serta ada yang berjalan dengan empat kaki seperti binatang ternakan dan binatang-binatang yang lain.

Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Pencipta dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan tidak ada sesuatu pun di langit dan di bumi yang berada di luar kekuasaan-Nya.