Semua Makhluk di Langit dan di Bumi Bertasbih kepada Allah Swt
Surah 24: An-Nur (41 – 42)
Ayat 41
أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُۥ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلطَّيْرُ صَـٰٓفَّـٰتٍ ۖ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلَاتَهُۥ وَتَسْبِيحَهُۥ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِمَا يَفْعَلُونَ
Tidakkah kamu tahu bahawasanya Allah, kepada-Nya bertasbih apa yang ada di langit dan di bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) solat dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.
Allah Ta’ala menyatakan seluruh makhluk-Nya yang berada di langit dan di bumi sentiasa bertasbih kepada-Nya. Para makhluk-Nya itu terdiri daripada para malaikat, manusia, jin dan haiwan bahkan benda-benda yang mati turut bertasbih. Firman-Nya:
“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka…………..”
Al-Isra’ 17:44
Allah Ta’ala menyatakan bahawa burung bertasbih kepada-Nya pada saat terbang di angkasa. Dia-lah yang mengilhamkan cara bertasbih dan beribadah kepada-Nya dan Dia mengetahui apa yang dilakukan oleh burung itu.
Allah Ta’ala menyebutkan burung dalam ayat ini kerana keindahan dan keunikan ciptaan-Nya yang sangat menakjubkan. Kemampuan manusia merekacipta kapal terbang yang boleh terbang di udara walaupun ia berat merupakan sebuah hujjah dan bukti yang sangat nyata akan kesempurnaan kekuasaan-Nya.
Maksud ayat, “Masing-masing telah mengetahui (cara) solat dan tasbihnya,” ialah masing-masing telah dibimbing dan diajarkan oleh Allah Ta’ala etika dan cara dalam beribadah kepada-Nya.
Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan hanya Dia sahaja Yang Mengetahui semuanya itu, tiada yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya.
Ayat 42
وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلْمَصِيرُ
Dan kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan kepada Allah-lah kembali (semua makhluk).
Kemudian Allah Ta’ala memberitahu bahawa Dia adalah Pemilik langit dan bumi. Dia-lah Yang Maha Berkuasa, Maha Mengatur, Maha Pencipta dan Maha Menguasai, bagi-Nya segala puji di dunia dan di akhirat.
Oleh itu, hanya kepada Allah Swt sahajalah yang wajib disembah dan Dia akan memutuskan pada Hari Kiamat kelak menurut apa yang Dia kehendaki. Firman-Nya:
“Dan hanya kepunyaan Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga).”
An-Najm 53:31