Hukum Qazaf (Menuduh Zina) dan Taubatnya Orang yang Menuduh Zina
Surah 24: An-Nur (4 – 5)
Ayat 4
وَٱلَّذِينَ يَرْمُونَ ٱلْمُحْصَنَـٰتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا۟ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ فَٱجْلِدُوهُمْ ثَمَـٰنِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا۟ لَهُمْ شَهَـٰدَةً أَبَدًا ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ
Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (melakukan zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.
Ayat ini memberikan penjelasan tentang hukuman sebat kepada orang yang menuduh wanita atau lelaki yang terpelihara kesuciannya, merdeka dan sudah mencapai umur baligh melakukan perzinaan padahal mereka tidak melakukannya. Orang yang menuduh mereka berzina itu perlu membawa saksi yang menyokong pertuduhan tersebut. Jika dia gagal mendatangkan saksi terhadap tuduhan yang dibuat itu maka dia akan dijatuhkan hukuman. Hukuman yang dikenakan ke atasnya ialah:
▪️ Disebat sebanyak 80 kali.
▪️ Ditolak kesaksiannya buat selama-lamanya.
▪️ Dia dinyatakan sebagai orang fasik dan bukan tergolong dalam kalangan orang-orang yang adil (soleh).
Ayat 5
إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Pengecualian diberikan sekiranya orang yang menuduh itu bertaubat iaitu kesaksiannya diterima dan dia bukan lagi seorang yang fasik. Namun dia masih tetap dihukum dengan sebatan. Ini dikemukakan dengan tegas oleh Sa’id bin Al-Musayyab dan segolongan besar ulama salaf.
Manakala Asy-Sya’bi dan Adh-Dhahhak pula menyatakan bahawa persaksiannya tidak diterima sekali pun dia bertaubat kecuali setelah dia mengakui bahawa dia telah mengatakan pendustaan yang besar. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dia mengampuni orang-orang yang melakukan dosa besar ini dan tidak mengazab mereka setelah mereka bertaubat.