Surah 24: An-Nur (39 – 40)

Orang yang Tidak Mendapat Cahaya Ilahi

Surah 24: An-Nur (39 – 40)


Ayat 39

وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَعْمَـٰلُهُمْ كَسَرَابٍۭ بِقِيعَةٍۢ يَحْسَبُهُ ٱلظَّمْـَٔانُ مَآءً حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَهُۥ لَمْ يَجِدْهُ شَيْـًٔا وَوَجَدَ ٱللَّهَ عِندَهُۥ فَوَفَّىٰهُ حِسَابَهُۥ ۗ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ

Dan orang-orang yang kafir, amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu, dia tidak mendapati sesuatu apa pun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya.

Allah Ta’ala menyebut perumpamaan terhadap orang kafir yang menyeru kepada kekufuran dan mengajak kepada kesesatan. Dia menyangka bahawa dia beramal baik dan berada di jalan yang benar dan segala amal baiknya akan mendapat balasan. Padahal amal perbuatan dan keyakinannya itu tidak mempunyai nilai sedikit pun di sisi Allah.

Perumpamaan dalam hal ini sama dengan fatamorgana yang berlaku di tanah datar yang luas dilihat dari jauh. Pemandangannya kelihatan seakan-akan lautan yang sedang pasang.

Apabila orang yang memerlukan air atau dalam keadaan sangat dahaga melihat fatamorgana ini, dia menyangka bahawa terdapat air di kawasan yang lapang itu. Dia pun berlari untuk mendapatkannya dengan harapan dapat mengambil atau meminumnya tetapi apabila sampai di sana, dia mendapati tiada suatu apa pun. Fatamorgana telah menipunya. Demikian keadaan orang kafir yang menyangka dirinya telah melakukan amal-amal kebaikan, dan mengira dia pasti mendapat sesuatu pahala. Namun ketika Allah Ta’ala menghisabnya, meminta pertanggungjawaban dan memberi balasan pada Hari Kiamat nanti, ternyata tidak ada satu pun amalan baiknya diterima. Sesungguhnya perhitungan-Nya amatlah cepat dan dia termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi. Firman-Nya:

“Dan Kami akan perlihatkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.”

Al-Furqan 25:23

Ayat 40

أَوْ كَظُلُمَـٰتٍ فِى بَحْرٍۢ لُّجِّىٍّۢ يَغْشَىٰهُ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِۦ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِۦ سَحَابٌ ۚ ظُلُمَـٰتٌۢ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ إِذَآ أَخْرَجَ يَدَهُۥ لَمْ يَكَدْ يَرَىٰهَا ۗ وَمَن لَّمْ يَجْعَلِ ٱللَّهُ لَهُۥ نُورًا فَمَا لَهُۥ مِن نُّورٍ

Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan, gelap gelita yang bertindih-tindih. Apabila dia mengeluarkan tangannya, tidaklah dia dapat melihatnya, (dan) sesiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah, tidaklah dia mempunyai cahaya sedikit pun.

Ini pula perumpamaan bagi hati orang-orang kafir yang jahil (ahli taklid) yang tidak mengetahui hakikat sebenar orang yang diikutinya dan tidak tahu ke mana tujuannya. Mereka hidup dalam kegelapan kekafiran, keyakinan yang batil, kebodohan terhadap apa yang dikehendaki dan dijanjikan Allah. Itulah gelap gelita yang bertindih-tindih.

Ubay bin Ka’ab, As-Suddi dan Ar-Rabi’ bin Anas mengatakan, orang kafir tidak terlepas daripada lima kegelapan: (1) ucapannya gelap, (2) amal perbuatannya gelap, (3) tempat masuknya gelap, (4) tempat keluarnya gelap dan (5) tempat kembalinya pada Hari Kiamat menuju kepada kegelapan iaitu neraka.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa cahaya (petunjuk) itu adalah milik-Nya. Sesiapa yang tidak diberikan petunjuk oleh-Nya, dia pasti hidup dalam kegelapan dan pasti binasa. Wal‘iyazubillahi min zalik! Firman-Nya:

“Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada yang dapat memberikan petunjuk kepadanya…..”

Al-A’raf 7:186

Hal ini berlawanan dengan apa yang disebutkan oleh Allah Ta’ala tentang perumpamaan orang-orang mukmin dalam firman-Nya:

“………Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki…..”

An-Nur 24:35

Kita berdoa kepada Allah Yang Maha Agung, semoga Dia menjadikan cahaya dalam hati kita, di kiri kanan kita dan membesarkan cahaya itu dalam kehidupan kita. Allahumma aamiin!