Surah 24: An-Nur (37 – 38)

Orang yang Mendapat Cahaya Ilahi

Surah 24: An-Nur (37 – 38)


Ayat 37

رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَـٰرَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءِ ٱلزَّكَوٰةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ ٱلْقُلُوبُ وَٱلْأَبْصَـٰرُ

Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli daripada mengingati Allah, dan (daripada) mendirikan solat, dan (daripada) membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (pada hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.

Allah Ta’ala menyebutkan tentang kaum lelaki yang tidak dilalaikan oleh dunia dan perniagaan yang menguntungkan daripada mengingati-Nya. Mereka yakin apa yang ada di sisi Allah jauh lebih baik dan bermanfaat daripada segala yang mereka miliki kerana apa yang mereka miliki akan musnah sedangkan apa yang ada di sisi Allah akan kekal selama-lamanya. Mereka mengutamakan ketaatan kepada Allah daripada mengikut keinginan diri sendiri. Mereka juga mendirikan solat pada waktunya dan menunaikan zakat yang diwajibkan ke atas mereka.

Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Jarir meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar ra bahawa pada satu hari dia berada di pasar dan iqamah berkumandang, maka para sahabat terus menutup kedai masing-masing dan segera memasuki masjid. Lalu Ibnu ‘Umar ra berkata, “Kepada orang-orang seperti inilah diturunkan ayat, ‘Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli daripada mengingati Allah, dan (daripada) mendirikan solat, dan (daripada) membayar zakat.’”

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa mereka takut kepada kedahsyatan Hari Kiamat. Pada hari itu seluruh hati dan penglihatan manusia menjadi goncang kerana terkejut melihat huru hara yang amat hebat. Firman-Nya:

“Berilah mereka peringatan dengan hari yang dekat (Hari Kiamat iaitu) ketika hati (menyesak) sampai di kerongkongan dengan menahan kesedihan……………”

Ghafir 40:18

Ayat 38

لِيَجْزِيَهُمُ ٱللَّهُ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا۟ وَيَزِيدَهُم مِّن فَضْلِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ يَرْزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

(Mereka mengerjakan yang demikian itu) supaya Allah memberi balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan, dan supaya Allah menambah kurniaan-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas.

Orang-orang yang sentiasa bertasbih mensucikan Allah Ta’ala dan mengingati-Nya dengan mengerjakan ibadat seperti mendirikan solat dan mengeluarkan zakat disertai perasaan takut adalah kerana mereka mengharapkan balasan pahala daripada-Nya atas amalan-amalan mereka. Firman-Nya:

“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.”

Yunus 10:26

Sesungguhnya Allah Maha Luas kurniaan dan kebaikan-Nya. Dia memberi rezeki kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki tanpa batas dan hitungan. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Firman-Nya:

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah adalah serupa dengan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

Al-Baqarah 2:261

Daripada Abu Hurairah ra, dalam hadis Qudsi, Allah Ta’ala berfirman:

“Aku telah menyiapkan untuk para hamba-Ku yang soleh, apa yang belum pernah dilihat oleh mata, tidak pula pernah didengar oleh telinga dan tidak pula terdetik dalam hati dan fikiran manusia.”

(HR. Al-Bukhari, Ahmad, Muslim, At-Tarmizi dan Ibnu Majah)

Mereka itu tergolong ke dalam kalangan orang-orang yang diterima kebaikan dan mendapat keampunan Allah Ta’ala terhadap segala kesalahan. Dia menerima segala kebaikan yang mereka lakukan serta melipat gandakannya untuk mereka sepertimana firman-Nya:

“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar.”

An-Nisa’ 4:40