Surah 24: An-Nur (36)

Masjid Dibina untuk Mengagungkan Allah Ta’ala

Surah 24: An-Nur (36)


Ayat 36

فِى بُيُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا ٱسْمُهُۥ يُسَبِّحُ لَهُۥ فِيهَا بِٱلْغُدُوِّ وَٱلْـَٔاصَالِ

(Cahaya dan ilmu itu berada) di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang. Allah memerintahkan untuk mensucikan dan membersihkan masjid daripada kotoran, perkataan sia-sia seperti meninggikan suara dan sebagainya.

Allah Ta’ala menjelaskan tentang tempat di mana hidayah dan ilmu dapat dicari iaitu di masjid-masjid. Dia memerintahkan agar masjid-masjid disucikan dan dibersihkan daripada kotoran, perkara sia-sia dan percakapan ataupun perbuatan yang tidak layak dilakukan di dalamnya.

‘Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas ra dalam mentafsirkan ayat ini dia berkata, Allah Swt melarang manusia melakukan tindakan dan ucapan yang tidak berguna di dalam masjid.

Terdapat banyak hadis yang menjelaskan tentang keutamaan membina masjid, menghormatinya, mengagungkannya dan mengharumkannya.

Daripada ‘Uthman bin ‘Affan ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:

“Sesiapa yang membangunkan masjid untuk mencari redha Allah Swt, maka Allah Swt akan membangunkan untuknya sebuah bangunan yang seumpamanya di dalam syurga.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Masjid juga perlu dijaga dan dilindungi daripada sesuatu yang boleh merosakkan kedudukannya yang mulia kerana itu adalah rumah-rumah Allah.

Ibnu ‘Abbas ra menyatakan maksud ayat, “disebut nama-Nya di dalamnya,” ialah dibacakan kitab-Nya (Al-Quran) di dalamnya.

Azan yang dikumandangkan, iqamat, solat yang didirikan, zikir, tasbih dan doa adalah termasuk dalam perbuatan mensucikan Allah Ta’ala di dalam masjid, pada waktu pagi dan petang.