Perintah agar Menjaga Pandangan
Surah 24: An-Nur (30)
Ayat 30
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا۟ مِنْ أَبْصَـٰرِهِمْ وَيَحْفَظُوا۟ فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ
Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”
Ayat ini mengandungi perintah daripada Allah Ta’ala kepada para hamba-Nya yang beriman agar menjaga pandangan daripada perkara yang diharamkan seperti memandang wanita-wanita yang bukan mahramnya dan menjaga kemaluan mereka daripada yang haram seperti zina.
Sekiranya terlihat sesuatu yang diharamkan dengan tidak sengaja maka hendaklah terus mengalihkan pandangannya. Ini bersesuaian dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya daripada Jubair bin ‘Abdillah Al-Bajali ra, dia berkata,
“Aku bertanya kepada Nabi saw tentang pandangan yang datang tiba-tiba dan tidak dilakukan dengan sengaja. Baginda memerintahkan aku agar segera memalingkannya pandanganku.”
(HR. Muslim)
Memandang perkara-perkara yang diharamkan boleh merosakkan hati. Oleh sebab itulah Allah Ta’ala memerintahkan hamba-hamba-Nya menjaga pandangan mata yang mendorong mereka kepada memelihara kemaluan.
Menjaga kemaluan kadangkala maksudnya adalah mencegah diri daripada perbuatan zina dan perbuatan kaum Nabi Lut as (sodomi, homoseksual) seperti firman Allah:
“Dan mereka yang menjaga kehormatannya.”
Al-Mu’minun 23:5
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang hamba-hamba-Nya lakukan seperti firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.”
Ghafir, 40:19