Surah 24: An-Nur (27 – 29)

Adab Memasuki Rumah Orang Lain

Surah 24: An-Nur (27 – 29)


Ayat 27

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَدْخُلُوا۟ بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّىٰ تَسْتَأْنِسُوا۟ وَتُسَلِّمُوا۟ عَلَىٰٓ أَهْلِهَا ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.

Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang mukmin agar jangan sekali-kali memasuki rumah yang berpenghuni dan bukan rumahnya sendiri sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya terlebih dahulu. Meminta izin ini mestilah dilakukan sebanyak tiga kali. Apabila telah mendapat keizinan, barulah dibolehkan masuk. Namun apabila penghuni rumah tidak mengizinkan masuk maka hendaklah meninggalkan rumah tersebut.

Hukum ini bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari tentang Abu Musa Al-Asy’ari meminta izin untuk masuk ke rumah ‘Umar ra sebanyak tiga kali tetapi ‘Umar ra belum juga memberikan keizinan lalu beliau pulang. Ini kerana beliau telah mendengar Rasullullah saw bersabda:

“Apabila salah seorang di antara kamu meminta izin sebanyak tiga kali, kemudian dia tidak diizinkan masuk, maka hendaknya dia pergi.”

(HR. Al-Bukhari)

Selain itu, orang yang meminta izin untuk memasuki sesebuah rumah hendaklah tidak berdiri di hadapan muka pintu. Dia hendaklah berada di sebelah kiri atau kanan pintu tersebut. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada ‘Abdullah bin Busr, dia berkata,

“Rasullullah bila telah sampai ke hadapan pintu rumah orang, baginda tidak menghadapkan wajahnya ke arah pintu. Baginda berdiri di sisi kanan atau kiri pintu sambil mengucapkan, “Assalamu’alaikum! Assalamu’alaikum!” Hal ini kerana pada masa itu rumah-rumah belum menggunakan langsir.”

(HR. Abu Daud)

Perbuatan meminta izin terlebih dahulu ini menunjukkan akhlak yang mulia dan melindungi seseorang daripada terjerumus ke dalam dosa.

Ayat 28

فَإِن لَّمْ تَجِدُوا۟ فِيهَآ أَحَدًا فَلَا تَدْخُلُوهَا حَتَّىٰ يُؤْذَنَ لَكُمْ ۖ وَإِن قِيلَ لَكُمُ ٱرْجِعُوا۟ فَٱرْجِعُوا۟ ۖ هُوَ أَزْكَىٰ لَكُمْ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Jika kamu tidak menemui seorang pun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu, “Kembali (sahaja)lah,” maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih suci bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Allah Ta’ala melarang para hamba-Nya yang beriman memasuki rumah yang tiada penghuninya kecuali setelah mendapat izin.

Sekiranya penghuni rumah tidak bersedia untuk menerima tetamu pada hari itu maka hendaklah pulang dengan hati yang lapang dan berbaik sangka serta tidak pula berasa marah atau berkecil hati.

Sememangnya tidak patut menunggu-nunggu di hadapan pintu rumah orang. Allah Ta’ala sahajalah yang mengetahui tentang niat orang-orang yang menunggu-nunggu itu. Kelak Dia akan memberikan balasan.

Adab meminta izin sebelum masuk rumah itu baik bagi kedua-dua belah pihak sama ada bagi pihak yang meminta izin ataupun pihak tuan rumah. Ini kerana apabila memasuki sebuah rumah tanpa mendapat izin, mereka telah menggunakan hak milik orang lain dan ini adalah salah dari segi hukum syarak.

Ayat 29

لَّيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَدْخُلُوا۟ بُيُوتًا غَيْرَ مَسْكُونَةٍ فِيهَا مَتَـٰعٌ لَّكُمْ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا تَكْتُمُونَ

Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk didiami, yang di dalamnya ada keperluanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.

Allah Ta’ala menyatakan tiada dosa bagi seseorang yang memasuki rumah yang tidak digunakan sebagai tempat tinggal seperti rumah penginapan (hotel), rumah persinggahan, rumah tamu, kedai, tempat pemandian umum dan tempat umum lainnya sekiranya mempunyai keperluan untuk menggunakannya seperti menginap di rumah penginapan, meletakkan barang-barang di dalamnya, mandi dan sebagainya. Hal ini setelah berurusan terlebih dahulu dengan pemilik premis tersebut dan telah mendapat keizinannya.

Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan sama ada secara terang-terangan mahu pun secara tersembunyi, baik dari segi perbuatan ataupun percakapan. Oleh itu hendaklah sentiasa berasa diawasi-Nya dalam segala perintah dan larangan-Nya.