Surah 24: An-Nur (26)

Wanita yang Tidak Baik adalah untuk Lelaki yang Tidak Baik, Begitu juga Sebaliknya

Surah 24: An-Nur (26)


Ayat 26

ٱلْخَبِيثَـٰتُ لِلْخَبِيثِينَ وَٱلْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَـٰتِ ۖ وَٱلطَّيِّبَـٰتُ لِلطَّيِّبِينَ وَٱلطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَـٰتِ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ ۖ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Wanita-wanita yang tidak baik adalah untuk lelaki yang tidak baik, dan lelaki yang tidak baik adalah untuk wanita-wanita yang tidak baik (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih daripada apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (iaitu syurga).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji seperti Abdullah bin Ubay dan begitulah sebaliknya. Sementara wanita yang baik seperti Ummul Mukminin, ‘Aisyah ra adalah untuk lelaki yang baik seperti Rasullullah saw dan begitulah sebaliknya.

Ayat ini juga menguatkan ayat, “Mereka (yang dituduh) itu bersih daripada apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu).” iaitu bersih daripada perkataan buruk yang diucapkan oleh Abdullah bin Ubay dan orang-orang yang turut menyebarkan tuduhan bersama-samanya.

Allah Ta’ala menyatakan “Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (iaitu syurga).” merupakan khabar gembira kepada orang-orang yang dituduh iaitu mereka akan diampunkan dosa-dosa dan dimasukkan ke syurga sebagai balasan terhadap fitnah yang mereka terima.

Dengan ini selesai sudah pembebasan diri Ummul Mukminin, ‘Aisyah ra daripada segala tuduhan. Segala puji bagi Allah di dunia dan akhirat.

Ayat ini juga mengandungi janji Allah Ta’ala bahawa ‘Aisyah ra akan dimasukkan ke dalam syurga penuh kenikmatan.