Surah 24: An-Nur (23 – 25)

Ancaman kepada Orang yang Menuduh Zina kepada Wanita yang Baik

Surah 24: An-Nur (23 – 25)


Ayat 23

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَرْمُونَ ٱلْمُحْصَنَـٰتِ ٱلْغَـٰفِلَـٰتِ ٱلْمُؤْمِنَـٰتِ لُعِنُوا۟ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik, yang lalai (daripada berbuat zina bahkan tidak ada sedikit pun dalam hati mereka untuk melakukannya) lagi beriman, mereka kena laknat di dunia dan akhirat, dan bagi mereka azab yang besar.

Ayat 23-25 ini berisi ancaman dan hukuman kepada orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik (qazaf) dengan tiga hal:

▪️  Mereka dilaknat di dunia dan di akhirat. Ini merupakan ancaman yang paling keras.

‘Abdurrahman bin Zaid bin Aslam mengatakan, ayat ancaman ini pada asalnya ditujukan kepada Abdullah bin Ubay bin Salul dan lain-lain yang menuduh zina terhadap ‘Aisyah ra. Namun ditujukan juga kepada sesiapa sahaja yang melakukan tuduhan yang sama terhadap perempuan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, yang baik-baik dan tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk melakukan perbuatan keji ini kerana kesucian hati mereka.

Orang-orang yang melemparkan tuduhan ini akan jauh daripada rahmat Allah. Mereka akan mendapat hukuman seperti yang disebutkan dalam ayat ini. Namun tuduhan terhadap ‘Aisyah ra, Ummul Mukminin lebih lagi diutamakan untuk mendapat hukuman iaitu mereka dilaknati Allah di dunia dan di akhirat, manakala azab disediakan bagi mereka di akhirat kelak. Firman-Nya:

“Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya seksa yang menghinakan.”

Al-Ahzab 33:57

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Jauhi tujuh dosa (besar) yang dapat merosak amal perubatan.” Mereka bertanya, “Apakah itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda, “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan jalan yang hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri pada hari peperangan dan menuduh zina wanita-wanita yang baik serta beriman yang tidak terlintas dalam fikirannya berbuat zina.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 24

يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Pada hari (ketika) lidah, tangan, dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.

▪️  Mulut, tangan dan kaki mereka akan menjadi saksi terhadap segala perbuatan yang telah mereka lakukan. Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Ibnu Anas bin Malik ra, dia berkata, “Ketika kami duduk bersama Rasulullah saw tiba-tiba baginda tertawa hingga terlihat gigi gerahamnya. Kemudian baginda bersabda:

“Tahukah kamu kenapa aku tertawa?” Kami menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda, “(Aku tertawa) kerana ada perdebatan antara seorang hamba dengan Rabb-Nya.” Hamba itu berkata, “Wahai Rabbku, bukankah Engkau telah memberi rasa aman bahawa Engkau tidak menzalimiku?” Allah menjawab, “Benar.” Hamba itu melanjutkan, “Aku tidak akan menerima kesaksian atasku kecuali diriku sendiri.” Allah berfirman, “Cukuplah dirimu menjadi saksi bagimu pada hari ini dan para malaikat yang mulia adalah saksi atas dirimu.” Lalu dikuncikan mulutnya dan dikatakan kepada anggota tubuhnya, “Bicaralah kamu!” Lalu anggota tubuhnya menceritakan seluruh amal perbuatannya. Kemudian hamba itu diberikan kuasa untuk berbicara, dia berkata, “Celaka kamu (anggota tubuhnya)! Sesungguhnya untuk kamulah dahulu aku berbuat.”

(HR. Muslim dan An-Nasa-i)

Ayat 25

يَوْمَئِذٍ يُوَفِّيهِمُ ٱللَّهُ دِينَهُمُ ٱلْحَقَّ وَيَعْلَمُونَ أَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْحَقُّ ٱلْمُبِينُ

Pada hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya, dan tahulah mereka bahawa Dia-lah Yang Benar, lagi Yang Menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya).

▪️  Pada Hari Kiamat, Allah Ta’ala memberi balasan kepada mereka.

Ketika itu barulah pelaku qazaf ini sedar bahawa sesungguhnya Allah Maha Benar lagi Maha Menjelaskan yang hak, janji-Nya hak, ancaman-Nya hak, dan segala sesuatu daripada-Nya adalah hak. Dia sekali-kali tidak akan menzalimi sesiapapun walau sebesar biji sawi.